Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

36 bakat cilik dicungkil dalam peraduan pementasan dan penceritaan

36 pelajar sekolah rendah diuji daya cipta mengolah dan menyampaikan cerita dari buku-buku cerita Melayu kanak-kanak tempatan dalam satu peraduan pementasan dan penceritaan pada Sabtu (16 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 36 pelajar sekolah rendah diuji daya cipta mengolah dan menyampaikan cerita dari buku-buku cerita Melayu kanak-kanak tempatan dalam satu peraduan pementasan dan penceritaan pada Sabtu (16 Mac).

Peraduan 'Pentas Cilik - Kembara Cerita Singapura' diadakan di Perpustakaan Daerah Tampines sempena gerakan #BuySingLit2019 atau beli karya sastera tempatan.

Sebanyak sembilan pasukan dari tujuh sekolah berentap dalam kategori sekolah rendah bagi peraduan yang dianjurkan buat julung-julung kalinya ini.

Mereka diberi masa lapan minit untuk mementaskan cerita pilihan mereka, dengan masa 45 minit diberikan untuk membuat persiapan awal.

Antara judul buku-buku yang menjadi pilihan adalah "Kain Sarong Ajaib", "Selamat Tinggal Siti" dan "Anak Kampung Bernama Sidek".

Persembahan para pelajar darjah 3 dan 4 ini dinilai berdasarkan aksi spontan serta daya kreatif mereka dalam menyampaikan cerita.

"Tentunya saya berasa bahawa peraduan ini dapat mengasah kemahiran lisan, berbual, bercerita dan juga menunjukkan ekspresi-ekspresi ketika bercerita. Dan saya juga bangga dengan bakat-bakat seperti ini kerana ia meluaskan kesusasteraan kanak-kanak di Singapura," kata Guru Bahasa Melayu Sekolah Rendah Fuhua, Faridah Mohd Ali.

Menurut Pengasas Storyscribblers, Jumaini Ariff: "Matlamat besar kami ialah untuk memperkenalkan kesusasteraan penulisan kanak-kanak oleh penulis-penulis Singapura iaitu bersangkut paut dengan gerakan #BuySingLit2019.

"Kami berharap anak-anak akan lebih terbuka untuk membaca karya-karya penulisan Singapura dan menyokongnya sehingga sampai bila-bila."

Peraduan penceritaan anjuran StoryScribblers itu disokong Majlis Seni Kebangsaan, Majlis Buku Singapura dan Lembaga Perpustakaan Negara. 

Sumber : BERITA Mediacorp/HA/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan