352 Jawatankuasa Latihan Syarikat ditubuh tingkat kemahiran pekerja
Lebih 350 Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) ditubuhkan syarikat-syarikat dan kesatuan sekerja untuk meningkatkan kemahiran pekerja. Setiausaha agung NTUC Ng Chee Meng hari ini (26 Feb) berkata, sasaran untuk menubuhkan 1,000 CTC dalam masa dua tahun boleh dicapai.
SINGAPURA: Lebih 350 Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) ditubuhkan syarikat-syarikat dan kesatuan sekerja untuk meningkatkan kemahiran pekerja.
Setiausaha agung NTUC Ng Chee Meng hari ini (26 Feb) berkata, sasaran untuk menubuhkan 1,000 CTC dalam masa dua tahun boleh dicapai.
CTC syarikat Wildlife Reserves Singapore (WRS) adalah antara pihak yang akan memanfaatkan kelembapan jumlah pengunjung ke tamannya sekarang ini untuk melatih pekerjanya.
LEBIH MASA JALANI LATIHAN
Kimberly Wee, 31 tahun, biasanya mempunyai jadual kerja yang padat menguruskan burung-burung dan juga para pengunjung ke Taman Burung Jurong.
Namun jumlah pelawat ke taman ini turut terjejas dengan penularan virus COVID-19.
Jadi, Cik Wee kini mempunyai lebih banyak masa untuk pertingkatkan diri.
Turut meraih manfaat adalah Encik Azmi Ibrahim, 50 tahun. Beliau berpendapat latihan yang dilalui adalah bermanfaat dalam kerja sehariannya.
"Dulu kita guna kaedah manual, untuk periksa arus elektrik dan sebagainya. Kini dengan cara digital, ia lebih mudah," kata eksekutif khidmat teknikal di WRS itu.
TINGKAT KEYAKINAN KEKAL DALAM KERJA
Mereka adalah dalam kalangan 1,100 pekerja WRS yang akan mendapat manfaat daripada kursus-kursus seperti latihan digital.
Juga taman ini akan memanfaatkan teknologi-teknologi baru apabila ia berpindah ke Mandai pada 2022.
Jawatankuasa Latihan Syarikat WRS adalah salah satu daripada 352 CTC yang ditubuhkan sejak inisiatif itu diperkenalkan setahun yang lalu.
Pergerakan buruh mengatakan inisiatif latihan sedemikian adalah penting, bukan hanya untuk pekerja meningkatkan kemahiran tetapi juga untuk meyakinkan mereka bahawa mereka boleh kekal dalam pekerjaan mereka.
"Peranan kita sebagai kesatuan ini untuk menggalakkan pekerja-pekerja sekarang dalam syarikat kita, baik yang tua atau yang muda untuk kekal relevan dengan latihan-latihan yang ada sekarang, yang syarikat akan adakan untuk semua pekerja," kata Roslee Mustaffa, timbalan presiden Kesatuan Sekerja bagi Tarikan, Resort dan Hiburan (AREU)
LAPORAN LAIN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.