Skip to main content

Singapura

35,000 pengunjung raikan SG60 di Konsert Hari Kebangsaan Mediacorp dan Taman di Persisiran

Anggaran Waktu Membaca:
35,000 pengunjung raikan SG60 di Konsert Hari Kebangsaan Mediacorp dan Taman di Persisiran

Para penonton di Konsert Hari Kebangsaan Mediacorp dan Taman di Persisiran. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

SINGAPURA: Konsert Hari Kebangsaan Mediacorp dan Taman di Persisiran di kawasan The Meadow untuk meraikan SG60 berlangsung dengan meriahnya pada Ahad (3 Ogos) dengan sekitar 35,000 hadirin.

Jumlah itu termasuk mereka yang menonton konsert serta yang menyertai kegiatan-kegiatan sebelum konsert bermula.

Lebih istimewa lagi sempena SG60, ia menampilkan pelbagai kegiatan mesra keluarga serta persembahan oleh barisan artis tempatan.

Related article image
Taufik Batisah, antara artis yang membuat persembahan. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Para pengunjung antaranya dihiburkan oleh artis-artis tempatan seperti Hady Mirza, Taufik Batisah, Rahimah Rahim, Shazza dan Yung Raja.

HADY MIRZA PERSEMBAHKAN LAGU TEMA KONSERT HARI KEBANGSAAN BUAT KALI PERTAMA

Suasana meriah di The Meadow, Taman di Persisiran dapat dirasakan dengan orang ramai membanjiri kawasan itu untuk menyaksikan konsert yang berlangsung pada 7.30 malam.

Mereka datang lengkap berpakaian merah dan putih khas buat konsert itu.

Related article image
Para penonton menikmati persembahan barisan artis tempatan. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Membuka tirai konsert ialah persembahan oleh Hady Mirza, yang membawa lagu tema Konsert Hari Kebangsaan tahun ini berjudul "Ties That Bloom” buat pertama kalinya.

Selain itu, mereka turut dihiburkan dengan persembahan oleh Taufik Batisah dengan lagu-lagu klasik Singapura kegemaran ramai iaitu Chan Mali Chan dan Di Tanjong Katong, disertai Lyla Ng, yang berusia 10 tahun dalam versi mereka tersendiri.

RERUAI MAKANAN, PERMAINAN TRADISIONAL, BENGKEL KRAF TANGAN ANTARA DAYA TARIKAN

Related article image
Reruai makanan budaya. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Selain untuk konsert malam itu, ramai juga yang hadir untuk sertai pelbagai aktiviti mesra keluarga yang diadakan sejak 4.30 petang lagi di karnival itu.

Ada reruai makanan budaya di mana mereka boleh nikmati hidangan popular Singapura seperti popiah dan nasi beriani.

Ini selain peluang mencuba permainan nostalgia kanak-kanak seperti lawan pemadam versi gergasi, guli dan tikam-tikam.

Menjelang ulang tahun ke-60 Singapura, para pengunjung juga boleh menulis ucapan serta harapan mereka untuk negara dan menyertai bengkel-bengkel kraf tangan di sini.

PENGUNJUNG GEMBIRA, DAPAT LUANGKAN MASA BERSAMA KELUARGA SEMPENA SG60

Related article image
Cik Suriani Selamat (tudung merah) dan keluarga. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Ramai yang ditemui BERITA Mediacorp berkongsi keghairahan serta pengalaman mereka dapat sertai kegiatan-kegiatan yang disediakan.

Antaranya ialah Cik Suriani Selamat yang datang sekeluarga.

Beliau berkata, “Kami rasa gembira sebab ini kali pertama saya dapat meraikan SG60 bersama dengan menantu saya, dengan anak saya. Jadi kita rasa teruja dapat meluangkan waktu dengan seluruh keluarga.”

Related article image
Cik Rabiya Mohd Taib (kanan) bersama anak. (Gambar: Nazirah Jamzuri)
Seorang lagi pengunjung, Cik Rabiya Mohd Taib juga teruja dapat mencuba permainan tradisional.

“Saya sudah mencuba banyak permainan yang lama-lama seperti batu seremban, permainan guli. Itu yang kata orang menyeronokkan sebab sudah lama kita tidak bermain,” kongsi Cik Rabiya kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
 
Related article image
Nursyazana Norazman (tengah) bersama keluarga. (Gambar: Nazirah Jamzuri)
Nursyazana Norazman yang berusia 16 tahun pula gembira dapat meraikan SG60 bersama masyarakat majmuk di sana.

“Saya berasa gembira kerana saya boleh melihat ramai kaum lain di sini, untuk mencuba pelbagai permainan yang ada di sini dan mereka juga meluangkan masa dengan keluarga dan rakan-rakan mereka,” menurut Nursyazana.
Related article image
Encik Mohamad Nizar. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Perasaan yang sama dikongsi oleh Encik Mohamad Nizar.

Beliau berkata: “Saya gembira. Walau macam mana pancaroba yang kita telah lalui selama 60 tahun ini, kita sudah berjaya berpijak sebagai rakyat Singapura selama 60 tahun ini dalam keadaan yang aman dan sentosa.”

PERSEMBAHAN BERBILANG GENERASI

Related article image
Para penonton semasa Konsert Hari Kebangsaan. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Ramai antara mereka terus di The Meadow sehingga waktu malam untuk menikmati sajian hiburan dalam Konsert Hari Kebangsaan 2025.

Banyak lagi persembahan ditampilkan dalam edisi ketujuh konsert itu.

Antara lain, artis terkemuka seperti Rahimah Rahim yang berkongsi pentas dengan dengan adiknya, Rozie Rahim dan cucunya, ALY dalam satu persembahan khas.

Artis tempatan Kit Chan juga menyampaikan lagu ikonik Hari Kebangsaan 'Home', diiringi dengan terjemahan bahasa isyarat secara langsung oleh jurubahasa isyarat, Faaiqah Alkaff.

Kit Chan juga menyanyikan lagu tema NDP tahun ini bersama penyanyi dan penulis lagu Charlie Lim, berjudul 'Here We Are'.

Acara mencapai kemuncaknya apabila tetamu terhormat, Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Puan Jane Ittogi menyertai para artis di atas pentas untuk melafazkan Ikrar negara dan menyanyikan Lagu Kebangsaan.

Konsert malam itu menutup tirai dengan meriah dengan medley lagu-lagu NDP dan pertunjukan bunga api.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita