Skip to main content

Singapura

350 firma tidak amalkan dasar pengambilan pekerja adil, dedah Josephine Teo

Sekitar 350 syarikat diletakkan dalam senarai pemerhatian Rangka Kerja Pertimbangan Adil (FCF) atas amalan-amalan bersifat diskriminasi dalam pengambilan pekerja, kata Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo di Parlimen hari ini (6 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
350 firma tidak amalkan dasar pengambilan pekerja adil, dedah Josephine Teo

(Gambar hiasan: Jeremy Long)

Diterbitkan : 06 Aug 2018 08:01PM Dikemas Kini : 06 Aug 2018 08:04PM

SINGAPURA: Sekitar 350 syarikat diletakkan dalam senarai pemerhatian Rangka Kerja Pertimbangan Adil (FCF) atas amalan-amalan bersifat diskriminasi dalam pengambilan pekerja, kata Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo di Parlimen hari ini (6 Ogos).

Syarikat-syarikat berkenaan lazimnya daripada pentadbiran dan khidmat sokongan, binaan, pendidikan, infokom dan sektor-sektor khidmat kekaryawanan - bagi jawatan arkitek, jurutera, karyawan perniagaan, karyawan IT dan pengurus dengan gaji antara S$3,000 hingga S$10,000, tambah Cik Teo.

Di bawah rangka kerja itu, semua syarikat perlu membuka peluang kepada semua rakyat Singapura secara adil.

"Permohonan pas kerja syarikat-syarikat dalam senarai FCF akan diteliti dan selanjutnya menjalani tempoh proses lebih panjang," kata Cik Teo.

Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil (TAFEP) berhubungan dengan syarikat-syarikat berkenaan untuk menawarkan bantuan bagi membantu mereka mempertingkat amalan-amalan pengambilan pekerja.

Sejauh ini, lebih 2,000 karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) tempatan digajikan syarikat-syarikat dalam senarai FCF.

Cik Teo juga menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Patrick Tay tentang mengapa tiada perubahan pada senarai tersebut meskipun syarat-syarat FCF diperluaskan semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS).

"Jumlah syarikat dalam senarai itu stabil. Kami akan terus bekerjasama dengan setiap syarikat untuk memperbaiki amalan pengambilan pekerja. Sekiranya kami diberitahu bahawa ada syarikat yang mengamalkan sesuatu yang bersifat diskriminasi, TAFEP akan berhubungan dengan syarikat-syarikat itu," kata Cik Teo.

"Jumlah (syarikat) yang bekerjasama dengan kami tidak ditetapkan, namun ia satu petanda bagi usaha-usaha yang kami laksanakan," tambah beliau.

Anggota Parlimen Dilantik K Thanaletchmi bertanya jika syarikat-syarikat dalam senarai FCF layak menerima dana Pemerintah seperti skim Inisiatif Suai-Maju.

"Meskipun syarikat-syarikat ini dalam senarai tersebut - kami bekerjasama dengan mereka untuk mempertingkat amalan-amalan pengambilan pekerja - pada masa yang sama, mereka tetap majikan kepada rakyat Singapura. Kami tidak ingin bersikap tidak adil dan menghukum para pekerja mereka dalam proses itu," jelas Cik Teo.

"Jika skim-skim ini mampu memberi manfaat kepada rakyat kita, saya tidak dapat melihat mengapa kami perlu mencegah mereka daripada berbuat demikian," tambah beliau.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita