Skip to main content

Singapura

350 bungkus nasi beriani diagih hasil 70kg daging sumbangan sohibul korban SG

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Agihan daging korban sememangnya amalan lazim di Singapura. Namun hakikatnya, tidak semua terdaya untuk memasak daging yang diterima atas beberapa faktor seperti kekangan fizikal.

Menyediakan hidangan seperti nasi beriani atau sup kambing juga bukanlah mudah. Ia memerlukan masa, tenaga dan kemahiran memasak tertentu.

Maka apabila Cik Rossaliza menerima nasi beriani dam yang disiapkan menggunakan daging korban pada Ahad (29 Jun), beliau berasa amat bersyukur.

"Gembira sebab selalunya, kalau musim korban, kita selalu dapat daging mentah. Kali ini, daging yang kita dapat sudah dimasak. Tak payah nak bawa balik nak masak dulu, nak bersihkan semua kan?" luah Cik Rossaliza, 45 tahun, yang kurang daya penglihatan.

"Orang-orang yang kurang upaya ni ada di kalangan kami yang tinggal sendiri."

Related article image
Sukarelawan bagi agihan hidangan daging korban untuk penerima golongan yang lebih memerlukan di BYSD dan Hayaa’ Network. (Gambar: BERITA Mediacorp/ Syafeera Sofian)
350 BUNGKUS BERIANI DAM DIAGIHKAN

Hasil kerjasama antara dua usahawan tempatan, golongan kurang upaya, ibu tunggal mahupun keluarga kurang berkemampuan pada Ahad (29 Jun) dapat menikmati hidangan 'panas-panas' yang disiapkan menggunakan daging korban.

Lebih tepat lagi, 350 bungkus beriani dam kesemuanya dimasak Hamidah's Kitchen, menggunakan 70 kilogram daging korban yang disumbangkan oleh para sohibul korban Ideal's Souq.

"Pada setiap tahun kami memberikan pilihan kepada pelanggan untuk menerima daging sebanyak satu pertiga atau dua pertiga, ataupun secara penuh. Bakinya akan diagihkan," kongsi pengasas Ideal's Souq, Encik Aidil Hanafiah.

Hamidah's Kitchen pula berkongsi dengan BERITAMediacorp bahawa pihaknya kian menerima banyak sumbangan daging korban. Syarikat itu sudah empat tahun beroperasi di Simpang Bedok.

"Baru-baru ni ada banyak daging korban yang dihantar kepada kami. Kami masak untuk diberikan kepada golongan susah. Jadi kami ingin membuat lebih banyak sumbangan kepada masyarakat jika diberi peluang," ujar pengurus pemasaran Hamidah's Kitchen, Cik Fadilah Abdul Majid.
Related article image
Agihan hidangan nasi beriani disiapkan oleh Hamidah’s Kitchen dengan sumbangan daging sohibul korban Ideal’s Souq. (Gambar: BYSD)
Sekitar 30 individu kurang upaya dibantu Persatuan Belia Bedok untuk Insan Kurang Upaya atau BYSD, menerima hidangan daging korban selepas mengikuti kelas agama di Masjid Al-Istighfar pagi tadi (29 Jun).

Baki bungkusan dihantar terus ke rumah 50 keluarga yang dibantu oleh Hayaa' Network, serta ramai lagi penerima bantuan BYSD.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita