Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

35 pesakit ginjal MKAC luang masa bersama keluarga di luar pusat dialisis, bercucuk tanam

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seramai 35 pesakit ginjal di bawah naungan Persatuan Bertindak Ginjal bagi Masyarakat Islam (MKAC) meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan kakitangan MKAC dalam sebuah program bercucuk tanam pada Selasa (6 Mei).

Kegiatan itu merupakan yang pertama seumpamanya dilakukan dengan kerjasama syarikat City Sprouts.

Sepanjang sesi selama tiga jam itu, para peserta berpeluang mempelajari jenis-jenis tanaman dan haiwan, serta menyertai bengkel membuat kuih tradisional ondeh-ondeh.

Menurut Penyelaras Program Kanan City Sprouts, Cik Nusaibah Sajiah Nailul Hafiz, berkebun bukan sekadar aktiviti fizikal, malah turut memberi manfaat emosi dan mental kepada pesakit kronik.

"Berkebun di kawasan bandar bukan sahaja boleh menghasilkan hasil pertanian tetapi juga merupakan satu terapi yang bermanfaat bagi pesakit kronik seperti pesakit ginjal. Aktiviti bercucuk tanam boleh mengurangkan rasa tekanan, meningkatkan kesihatan mental dan juga memberikan ketenangan kepada pesakit melalui interaksi dengan alam semula jadi," kata Cik Nusaibah.

Program itu mendapat sambutan positif daripada para peserta.

Antaranya, pesakit ginjal Cik Awa Sapari yang menyifatkan pengalaman tersebut sebagai menyeronokkan dan bermanfaat.

"Saya ke kebun ini untuk mengenali jenis-jenis sayur-sayuran, tanam-tanaman. Kami juga belajar cara membuat kuih-muih. Kami rasa gembira dan sangat berpuas hati dan kedatangan kami disambut oleh pekerja pekerja kakitangan di sini."

Seorang lagi peserta, Cik Noorsuhailah Anuar, turut berkongsi keterujaannya.

"Saya rasa gembira. Ini kali pertama saya datang untuk ziarah ke kebun ini. Saya belajar tentang bunga, tentang buah-buah, binatang-binatang seperti ikan dan ayam. Saya juga terima kasih juga dengan MKAC yang sudi membawa kita ke sini berjalan untuk waktu lapang," kata Cik Noorsuhailah.

Menurut Pegawai Eksekutif MKAC, Cik Asyiqin M Yazid, program pendampingan masyarakat (CEP) itu juga diharapkan dapat memberi motivasi kepada para pesakit ginjal, yang sering menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu di pusat-pusat dialisis.

Cik Asyiqin berkata: "Matlamat kami juga adalah untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan pesakit ginjal kami melalui pengalaman berasaskan alam semula jadi."

MKAC dan CitySprouts merancang untuk menganjurkan lebih banyak program serupa.

Satu lagi kumpulan 35 pesakit daripada kira-kira 280 yang kini berada di bawah jagaan MKAC akan dipilih bagi menyertai sesi seterusnya dalam tahun ini.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan