342 penghuni dormitori Space@Tuas dipindahkan selepas 1 kes COVID-19 dikesan
Seramai 342 pekerja yang tinggal di dormitori Space@Tuas dipindahkan ke sebuah kemudahan kuarantin pemerintah setelah satu kes COVID-19 dikesan baru-baru ini, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Khamis (1 Okt).
(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Seramai 342 pekerja yang tinggal di dormitori Space@Tuas dipindahkan ke sebuah kemudahan kuarantin pemerintah setelah satu kes COVID-19 dikesan baru-baru ini, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Khamis (1 Okt).
Kes itu disahkan pada Isnin (28 Sep) dan dikesan melalui ujian rutin berjadual.
Langkah-langkah bagi membolehkan penginapan yang selamat "tidak dilaksanakan dengan tegas" di blok terjejas yang didiami oleh kes tersebut, menurut MOM.
"Atas sebab itu, 342 penghuni, yang bekerja untuk 27 majikan, yang tinggal di blok terjejas dianggap berisiko dan perlu dikuarantin," tambah MOM.
Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebelum ini dikeluarkan terhadap para pekerja yang tinggal di dua blok di dormitori Space@Tuas, selepas penilaian awal mendapati langkah-langkah pengasingan fizikal bagi mengelakkan berlakunya pergaulan antara penghuni dari dua blok berbeza "mungkin tidak dipatuhi", menurut MOM.
"Selepas siasatan lanjut dijalankan, tidak mungkin para pekerja dari blok-blok yang berbeza bergaul antara satu sama lain," menurut MOM. "Notis SHN bagi blok yang tidak terjejas sudah ditarik balik."
MOM menggesa semua pengendali dormitori, majikan dan pekerja supaya mematuhi langkah-langkah penginapan selamat yang tegas dalam dormitori.
Para pengendali dormitori mesti memastikan langkah-langkah itu terus dikuatkuasakan dan para pekerja pula mesti mematuhi langkah-langkah tersebut dan terus berada di zon kediaman masing-masing, menurut MOM.
Ini supaya jika terdapat sebarang kes COVID-19, hanya para pekerja terjejas yang tinggal di tingkat atau bahagian yang sama, dan bukan seluruh blok perlu dikuarantin, menurut kenyataan itu lagi.
Para majikan juga harus memastikan pekerja mereka menjalani ujian rutin berjadual secara konsisten, tambah MOM.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.