34 tan sisa elektronik dikumpul dalam dua minggu susuli program kitar semula
Sebanyak 34 tan sisa elektrik dan elektronik dikumpulkan sejak program kitar semula yang baru bermula dua minggu lalu.
SINGAPURA: Sebanyak 34 tan sisa elektrik dan elektronik dikumpulkan sejak program kitar semula yang baru bermula dua minggu lalu.
Jumlah tersebut membentuk sekitar 0.05 peratus sisa elektronik yang dibuang setiap tahun.
Barangan yang dibuang termasuk telefon bimbit, komputer riba dan perkakas rumah yang besar.
Pihak berkuasa menyatakan amalan mesra alam seperti itu akan membantu melanjutkan jangka hayat tapak pelupusan sampah Semakau.
Antara barangan yang dibuang adalah peti sejuk lama yang diberikan nafas baru setelah bahagian-bahagian gantiannya diguna semula.

Firma EWR2 yang terletak di Tuas View Square adalah satu-satunya syarikat yang boleh kitar semula secara automatik perkakas rumah seperti peti sejuk.
Sejauh ini, ia telah mengitar semula lebih 1,000 tan sisa elektronik dengan separuh daripadanya perkakas rumah yang besar.
Singapura membuang lebih 60,000 tan sisa elektronik setiap tahun. Malah, sisa-sisa sedemikian dijangka bertambah sedang ekonomi tumbuh dan lebih banyak alat elektrik dan elektronik digunakan, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Semasa lawatannya ke kemudahan kitar semula sisa elektrik pada Selasa (13 Jul), Menteri Negara Kanan bagi Kemampanan dan Sekitaran Amy Khor berkata perkakas rumah yang besar lebih sukar dikitar semula.

Ini kerana ia memerlukan peralatan lebih canggih. Selain itu, sesetengah perkakas seperti CPU atau skrin komputer serta LED harus dipecah-pecahkan terlebih dahulu kerana mengandungi bahan-bahan yang berbahaya.
Walau apapun, mengitar semula sisa elektrik akan membantu mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sampah Semakau sebanyak 20 peratus dan ia dijangka akan mengambil 5 tahun untuk dicapai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.