Skip to main content

Singapura

34 murid, 10 kakitangan alami gejala gastroenteritis di 2 cawangan prasekolah E-Bridge

Anggaran Waktu Membaca:
34 murid, 10 kakitangan alami gejala gastroenteritis di 2 cawangan prasekolah E-Bridge

34 murid, 10 kakitangan prasekolah E-Bridge di Dawson Road dan Sengkang Square alami gejala gastroenteritis. (Gambar fail: laman web E-Bridge Pre-School)

Diterbitkan : 03 Oct 2025 07:52PM Dikemas Kini : 03 Oct 2025 07:53PM
SINGAPURA: Pihak berkuasa sedang menyiasat 44 kes yang disyaki gastroenteritis (radang perut dan usus) di dua cawangan E-Bridge Pre-School di Dawson Road dan Sengkang Square, kurang sebulan selepas wabak serupa melanda cawangannya di MacPherson.

Agensi Penyakit Berjangkit (CDA), Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) mengeluarkan kenyataan bersama pada Jumaat (3 Okt), menyatakan 34 murid dan 10 kakitangan mengalami gejala gastroenteritis di kedua-dua cawangan tersebut setakat Rabu lalu.

Di cawangan Dawson Road, 20 murid dan empat pekerja telah melaporkan simptom gastroenteritis sejak 18 Sep. Seorang murid dimasukkan ke hospital pada 26 Sep dan dibenarkan pulang pada hari berikutnya.

Setakat sehingga Rabu (1 Okt), 12 murid dan empat kakitangan sudah pulih dan kembali ke prasekolah, manakala murid yang selebihnya "sedang beransur pulih dengan baik," menurut agensi itu semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.

Siasatan awal menunjukkan bahawa kes-kes di cawangan Dawson Road berkemungkinan disebabkan oleh norovirus, yang boleh merebak dari manusia ke manusia dan menyebabkan gastroenteritis.

Di cawangan Sengkang Square, 14 murid dan enam kakitangan telah mengalami gejala tersebut sejak 24 Sep.

Tiada seorang pun yang memerlukan kemasukan ke hospital. Lapan murid dan seorang kakitangan sudah pulih dan kembali ke prasekolah, manakala selebihnya semakin beransur pulih, kata agensi itu.

Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan sama ada terdapat sebarang kaitan antara kedua-dua insiden itu.

"ECDA sedang memantau keadaan dan bekerjasama dengan pengendali prasekolah untuk memastikan kesejahteraan murid dan kakitangan," menurut kenyataan itu.

"ECDA juga telah mengingatkan pengendali untuk memastikan pematuhan terhadap garis panduan pencegahan dan kawalan jangkitan yang relevan."

Dua insiden terbaharu itu berlaku selepas 17 murid dan dua kakitangan prasekolah E-Bridge di Circuit Road jatuh sakit dengan gejala gastroenteritis bulan lalu.

Wabak serupa di prasekolah lain juga dilaporkan pada bulan Ogos. Di prasekolah PCF Sparkletots di Mountbatten Blok 92, 24 murid dan dua kakitangan terjejas, dan di Mulberry Learning di Punggol, 17 murid dan seorang kakitangan mengalami gejala.

Agensi itu turut menyatakan bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam mencegah wabak sedemikian di prasekolah.

Ini termasuk memastikan kanak-kanak duduk di rumah sehingga mereka pulih sepenuhnya daripada penyakit tersebut, mendapatkan rawatan perubatan segera apabila diperlukan, dan segera memaklumkan kepada pihak prasekolah tentang sebarang diagnosis penyakit berjangkit supaya langkah perlindungan yang sesuai dapat dilaksanakan.

Ibu bapa juga digalakkan untuk mengukuhkan tabiat kebersihan di rumah, seperti mencuci tangan dengan cara yang betul, untuk membantu anak-anak mengamalkannya di sekolah.

Prasekolah, sementara itu, dikehendaki mematuhi keperluan keselamatan dan kebersihan makanan. Ini termasuk memastikan kakitangan yang menyediakan makanan mempunyai pensijilan keselamatan makanan yang terkini.

"Keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama. Walaupun SFA melaksanakan dan menguatkuasakan langkah pengawalseliaan, pengendali makanan mesti memainkan peranan mereka dengan mematuhi amalan keselamatan makanan yang baik," menurut kenyataan itu.

"SFA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pengendali makanan yang tidak bertanggungjawab."
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita