34 kes import baru COVID-19 di S'pura; hasil awal ujian dapati 2 lagi positif B117
Singapura melaporkan 34 kes baru COVID-19 pada Khamis (28 Jan), menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Singapura melaporkan 34 kes baru COVID-19 pada Khamis (28 Jan), menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
Kesemuanya adalah kes import dan sudah dikenakan notis jangan keluar rumah atau diasingkan sebaik mereka tiba di sini.
Tiada kes baru COVID-19 dalam kalangan masyarakat buat hari keenam berturut-turut.
Kes-kes diimport termasuk tiga warga Singapura dan lima penduduk tetap yang pulang dari Indonesia, Malaysia, Oman, Sri Lanka, Amiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat.
Terdapat dua pemegang pas tanggungan yang tiba
dari Bangladesh dan UAE serta seorang pemegang pas jangka panjang dari India.
Tiga daripada kes itu adalah pemegang pas lawatan jangka pendek. Dua daripada mereka tiba dari Indonesia dan Amerika Syarikat atas urusan kerja, manakala seorang tiba dari Indonesia untuk melawat anaknya, seorang warga Singapura.
KEPUTUSAN AWAL UJIAN DAPATI 2 KES POSITIF B117
Enam belas kes melibatkan pemegang permit kerja yang tiba dari Bangldesh, India, Indonesia dan Malaysia. Sembilan daripadanya adalah pembantu rumah asing.
MOH menyatakan daripada kalangan pemegang permit kerja - Kes 59697 - belum memulakan kerja sejak tiba di Singapura. Lelaki 31 tahun itu tiba dari Bangladesh pada 6 Januari dan menjalani notis jangan keluar rumah di sebuah kemudahan khusus. Ujian swab yang dilakukan pada 17 Januari semasa menjalani notis jangan keluar rumah adalah negatif bagi COVID-19.
Pada 18 Januari, beliau dikuarantin dan diasingkan kerana telah dikenal pasti sebagai kontak penerbangan Kes 59423 - seorang pemegang permit kerja 41 tahun dari Bangladesh.
Lelaki itu diuji lagi pada 26 Januari walaupun tidak mengalami gejala dan keputusannya adalah positif untuk jangkitan COVID-19. Hasil ujian serologinya negatif, dan hasil awal ujian mendapati beliau positif untuk koronavirus jenis B117, dan sedang menanti ujian pengesahan lebih lanjut, kata MOH.
Antara kes import lain yang dilaporkan pada Khamis adalah empat pemegang pas kerja yang tiba dari India, Pakistan dan Romania.
Kes 59703, seorang lelaki 33 tahun, bekerja sebagai jurutera perisian di Pacific International Lines.
Beliau tiba dari India pada 27 Disember dan dikenakan notis jangan keluar rumah di sebuah kemudahan khusus sehingga 10 Januari. Ujian swab yang dilakukan pada 7 Januari semasa tempoh notis itu adalah negatif bagi jangkitan COVID-19.
Beliau bekerja dari rumah dari 11 Januari hingga 21 Januari. Beliau kemudian mengalami rasa mual pada 25 Januari dan mendapatkan rawatan perubatan di klinik pengamal perubatan umum pada keesokan harinya. Oleh kerana beliau juga melaporkan mengalami batuk-batuk sekali-sekala dan sakit tekak, beliau diuji untuk COVID-19 dan keputusannya pada 27 Januari adalah positif.
Hasil awal ujiannya untuk virus jenis B117 dan ujian serologinya juga positif, menurut kementerian kesihatan.
MOH menyatakan kedua-dua Kes 59697 dan 59703 diklasifikasikan sebagai jangkitan yang diimport kerana sejarah perjalanan mereka baru-baru ini.
KES-KES MASYARAKAT LAWAT TEMPAT MAKANAN POPULAR DI TENGAH BANDAR
MOH menambah beberapa lokasi baru ke dalam senarai tempat yang dikunjungi oleh kes-kes COVID-19 dalam masyarakat semasa tempoh berjangkit - Pusat Makanan China Square, Pusat Makanan Amoy Street dan restoran Shrimp Prawn Seafood di Boat Quay.
(Sumber: MOH)
MOH menyatakan jumlah keseluruhan kes baru dalam masyarakat telah berkurangan daripada 21 kes pada minggu sebelumnya kepada satu kes pada minggu lalu.
Jumlah kes tanpa kaitan dalam masyarakat juga berkurangan dari enam kes pada minggu sebelumnya kepada sifar pada minggu lalu.
Dalam kalangan 190 kes disahkan yang dilaporkan dari 22 Januari hingga 28 Januari, 105 kes diuji positif untuk ujian serologi mereka manakala 38 daripadanya diuji negatif. Keputusan bagi 47 ujian serologi belum diketahui.
Empat puluh empat lagi kes dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan jumlah mereka yang pulih di Singapura seramai 59,148 orang.
Terdapat 40 kes yang masih berada di hospital. Kebanyakan daripada mereka stabil atau beransur sihat, dan tiada yang berada di unit jagaan rapi. Lagi 208 diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat.
Sehingga Khamis, Singapura melaporkan sebanyak 59,425 kes COVID-19 kesemuanya, dengan 29 kematian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.