Skip to main content

Singapura

330 Rakan Bahasa dilantik tahun ini, turun 10% dari 2023

Seramai 330 pelajar dilantik sebagai Rakan Bahasa pada Isnin (6 April).

Anggaran Waktu Membaca:
330 Rakan Bahasa dilantik tahun ini, turun 10% dari 2023

Rakan Bahasa 2026 yang dilantik, terdiri daripada 182 pelajar sekolah rendah, 134 pelajar sekolah menengah, 12 pelajar maktab rendah dan 2 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IHL). (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

SINGAPURA: Seramai 330 pelajar dilantik sebagai Rakan Bahasa pada Isnin (6 April).

Jumlah itu kira-kira 10 peratus lebih rendah berbanding 2023 iaitu apabila program-program Bulan Bahasa kembali diadakan secara fizikal buat pertama kalinya selepas pandemik COVID-19.

Mereka yang dilantik, terdiri daripada 182 pelajar sekolah rendah, 134 pelajar sekolah menengah, 12 pelajar maktab rendah dan 2 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IHL).
Related article image
Seramai 330 pelajar dilantik sebagai Rakan Bahasa pada Isnin (6 April), dalam satu majlis di Pusat Budaya Cina Singapura (SCCC). (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Sebagai Rakan Bahasa, mereka menggalas peranan memupuk rasa cinta dan bangga terhadap bahasa Melayu dalam kalangan mereka di sekeliling, baik di bilik darjah mahupun di rumah.

Mengulas lanjut mengenai trend penurunan dalam jumlah Rakan Bahasa itu, Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) Zhulkarnain Abdul Rahim menjelaskan:

"Walaupun ada penurunannya tetapi program ataupun pendekatan Rakan Bahasa kita amat menyeluruh dan kita mendapat maklum balas bahawa mereka mahu pendekatan yang lebih interaktif dan lebih bekerjasama. Penggunaan bahasa tidak kira latar belakang etnik ataupun usia ataupun minat."
 
Related article image
Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) Zhulkarnain Abdul Rahim. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Encik Zhulkarnain yang juga merupakan Menteri Negara Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga menyertai para Rakan Bahasa dalam satu majlis di Pusat Budaya Cina Singapura (SCCC).

Antara yang dilantik tahun ini ialah Elias Hadi Mohammed Andie dan Suhaib Nu’man Sofyan Astsauri dari Sekolah Menengah Commonwealth.
 
Related article image
Antara yang dilantik tahun ini ialah Elias Hadi Mohammed Andie (paling kiri) dan Suhaib Nu’man Sofyan Astsauri (paling kanan) dari Sekolah Menengah Commonwealth. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
"Saya berasa bangga untuk menjadi Rakan Bahasa 2026," ujar Suhaib Nu'man.

Elias pula berkata:

"Sebagai rakan bahasa, saya akan cuba menggalakkan kawan kawan untuk bercakap bahasa Melayu bukan sahaja dalam kelas, tapi di luar kelas, bila waktu rehat atau bercakap dengan keluarga," kongsi Elias.

BINA KEYAKINAN GUNAKAN BAHASA ANTARA FOKUS SESI LATIHAN OPERA ACADEMY BUAT JULUNG KALINYA

Di majlis itu juga, pelbagai program dan kegiatan dilakarkan bagi membantu Rakan Bahasa memperdalam kebolehan serta penghayatan bahasa Melayu.

Antara inisiatif yang diteruskan bagi tahun ini termasuk Kad Kembara dan Pertandingan TeeVers yang mencungkil bakat pelajar dalam drama audio.

Pertandingan itu akan diadakan dari 20 April hingga 8 Mei 2026.

Bagi mempersiapkan diri untuk pertandingan tersebut, para Rakan Bahasa menghadiri sesi latihan bersama Opera Academy yang dikendalikan buat julung-julung kalinya.
 
Related article image
Para Rakan Bahasa menghadiri sesi latihan bersama Opera Academy yang dikendalikan buat julung-julung kalinya. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Sesi tersebut antaranya memberi tumpuan kepada penghayatan skrip serta teknik penyampaian yang berkesan termasuk lontaran dan intonasi suara, melalui pengenalan kepada seni bangsawan.
Related article image
Para Rakan Bahasa menyertai sesi latihan kendalian Opera Academy, yang antara lainnya memberi tumpuan kepada penghayatan skrip. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Antara yang mengendalikan sesi latihan itu ialah Pengarah, Program & Operasi Opera Academy, Hafiz Yusof.

"Secara teknikalnya, kita ingin menyampaikan tentang kemahiran-kemahiran dari segi pemahaman mereka dengan seni teater bangsawan dan juga elemen-elemen dalam dalam asas drama itu sendiri.
 
Related article image
Pengarah, Program & Operasi Opera Academy, Hafiz Yusof. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
"Namun bagi saya, saya rasa lebih kepada membina keyakinan pelajar-pelajar ni untuk berbahasa untuk mereka berjinak-jinak untuk mereka bermain-main dengan bahasa. Jadi kita, mereka tidak seharusnya berasa takut gentar dengan dengan bahasa Melayu," jelas Encik Hafiz.

Bulan Bahasa tahun ini akan berlangsung dari 14 Ogos hingga 11 Oktober 2026.
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita