Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

330 ditawarkan bekerja dengan syarikat pemula SGUnited antara Apr-Jun

Sekitar 300 pemohon kerja sudahpun mendapat pekerjaan bersama dengan syarikat-syarikat pemula di bawah Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited antara April hingga Jun, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam laporan keduanya mengenai pasaran pekerjaan tempatan pada Khamis (20 Ogos). 

Anggaran Waktu Membaca:
330 ditawarkan bekerja dengan syarikat pemula SGUnited antara Apr-Jun

(Gambar fail TODAY)

Diterbitkan : 20 Aug 2020 02:20PM Dikemas Kini : 20 Aug 2020 02:26PM

SINGAPURA; Sekitar 300 pemohon kerja sudahpun mendapat pekerjaan bersama dengan syarikat-syarikat pemula di bawah Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited antara April hingga Jun, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam laporan keduanya mengenai pasaran pekerjaan tempatan pada Khamis (20 Ogos).

Sekitar separuh daripada mereka adalah karyawan pertengahan kerjaya yang mengambil bahagian dalam Program Pertukaran Profesional (PCP).

Lagi 150 lulusan baru memasuki syarikat pemula di bawah Program Pelatih SGUnited sejak Jun.

Sejauh ini, lebih 1,600 syarikat pemula sudahpun menyertai Program Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited dengan menawarkan lebih 4,600 pekerjaan serta 860 peluang penempatan pekerja dan pelatih bagi para pemohon kerja setempat.

Ini termasuk peranan bukan konvensional seperti eksekutif pengurus galeri serta jawatan berkaitan teknologi seperti pembangun perisian dan aplikasi mudah alih.

Syarikat-syarikat pemula juga sedang mencari pekerja bagi peranan bukan teknologi seperti cef sous dan ketua pembangunan perniagaan.

Dalam laporannya, MOM menyatakan gaji yang ditawarkan oleh syarikat pemula "tidak semestinya lebih rendah daripada norma industri".

Misalnya, gaji median yang ditawarkan bagi pembangun perisian adalah S$6,000, sejajar dengan norma industri.

Peranan lain yang giat dicari oleh syarikat pemula termasuk cef, karyawan kejuruteraan, pengurus pembangunan perniagaan, penjualan dan pemasaran serta karyawan pentadbiran. Gaji median yang ditawarkan bagi jawatan-jawatan tersebut adalah dari S$2,700 hingga S$5,250, berdasarkan laporan tersebut.

LANGKAH FIRMA JIMAT KOS

MOM juga menyatakan ia menerima sekitar 6,300 pemberitahuan daripada majikan tentang langkah penjimatan kos mereka setakat hujung Julai.

Ini menjejas sekitar 224,800 pekerja tempatan dan asing.

Kira-kira separuh daripada mereka yang terjejas adalah daripada tiga sektor - penginapan dan khidmat makanan, binaan serta perdagangan borong dan runcit, menurut MOM.

Sejak 12 Mac, majikan dengan sekurang-kurangnya 10 pekerja dikehendaki memaklumkan MOM jika mereka melaksanakan langkah penjimatan kos yang menjejas gaji bulanan para pekerja mereka.

Jumlah majikan yang membuat permohonan tersebut mencapai paras kemuncak semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan - mencecah 2,800 pada bulan April - tetapi sejak itu merosot "dengan ketara", menurut MOM.

Berdasarkan laporan itu, jumlah majikan yang mengemukakan pemberitahuan mengenai langkah penjimatan kos yang diserahkan kepada MOM jatuh kepada 1,200 pada Mei sebelum merosot lagi kepada 900 dan 600 pada Jun dan Julai. Pada Mac, jumlahnya adalah 800.

Jumlah pekerja yang terjejas pada April meningkat kepada 83,000 orang apabila lebih banyak syarikat mengambil langkah menjimatkan kos, naik daripada 46,000 pada Mac. Walau bagaimanapun, perangkaan itu merosot lagi dengan "mendadak" kepada 38,600 pada Mei, 34,400 pada Jun dan 22,800 pada Julai.

"Ini menggambarkan syarikat-syarikat sudah membuat usaha untuk menahan pemberhentian pekerja, yang mungkin didorong oleh langkah-langkah sokongan luas yang disediakan oleh Pemerintah," jelas MOM.

Tiga langkah menjimatkan kos paling utama yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat termasuk membuat penyesuaian pada komponen gaji bulanan, cuti tanpa gaji dan minggu bekerja lebih singkat.

Pekerja tempatan membentuk kurang separuh daripada jumlah pekerja yang terjejas.

Berdasarkan pendampingan oleh MOM dan Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil (TAFEP), majikan "secara amnya bertanggungjawab dan melaksanakan langkah penjimatan kos dengan adil", menurut laporan itu.

Meskipun langkah penjimatan kos itu disarankan sebagai alternatif kepada pemberhentian pekerja, kehilangan pekerjaan "akan tetap berlaku" memandangkan tekanan yang meningkat dibahu oleh perniagaan di tengah-tengah kemelesetan ekonomi dek pandemik COVID-19.

MOM menyatakan Pasukan Bertindak bagi Pemberhentian Pekerja secara Bertanggungjawab dan Bantuan Pengambilan Pekerja akan terus menghulurkan sokongan kepada pekerja yang diberhentikan kerja dengan menyesuaikan mereka dengan peluang pekerjaan baru di sektor-sektor yang berkembang melalui khidmat bantuan pengambilan pekerjanya. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan