33 cedera selepas bas SMRT, SBS Transit berlanggar di Jalan Jurong Kechil
Seramai 33 orang cedera dalam kemalangan yang melibatkan dua bas di Jalan Jurong Kechil berdekatan Bukit Batok pagi tadi (11 Mei).
SINGAPURA: Seramai 33 orang cedera dalam kemalangan yang melibatkan dua bas di Jalan Jurong Kechil berdekatan Bukit Batok pagi tadi (11 Mei).
Gambar-gambar yang dimuat naik online menunjukkan bas SBS Transit 157 bertembung dengan bas SMRT 970 yang belum bergerak. Kedua-dua bas rosak teruk.
SMRT menambah bahawa pemandu basnya antara mereka yang cedera dalam kejadian itu.
Menurut Polis ia dimaklumkan tentang kemalangan itu pada 9.30 pagi.
Anggota Pasukan Pertahanan Awam (SCDF) juga dilihat di tempat kemalangan dan 33 orang dibawa ke beberapa hospital di merata Singapura.
14 penumpang yang cedera dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong manakala 14 yang lain dihantar ke Hospital Universiti Nasional dan lima lagi dibawa ke Hospital Tan Tock Seng, menurut SCDF.
"DARAH DI LANTAI"
"Saya terdengar bunyi yang kuat dan saya ternampak para penumpang terhumban ke lantai," kata Cik Linie Gabas Sajonia, 46 tahun, salah seorang penumpang di bas SBS Transit.
"Saya nampak darah di lantai dan para penumpang menangis."
Tambahnya: "Sesetengah penumpang di dalam bas tidak boleh berjalan dan cedera."
Bas SBS Transit itu naik bebendul jalan dan melanggar tonggak jalan atau bollard. Cermin depan bas itu pecah teruk dan serpihan kaca kelihatan di merata jalan raya.
Bahagian depan bas juga remuk dengan beberapa bahagian terjuntai keluar.
Bahagian belakang bas SMRT pula remuk dan cermin belakangnya pecah. Lampu di belakang bas juga tertanggal.
SBS TRANSIT DAN SMRT MOHON MAAF
Kedua-dua syarikat bas memohon maaf atas kejadian itu dan menyatakan bahawa ia sedang membantu penumpang yang cedera.
"Keutamaan kami adalah kesejahteraan para penumpang dan kakitangan dalan bas kami," kata Naib Presiden SMRT bagi Penerangan Korporat Margaret Teo.
"Pasukan CARE kami sedang menghulurkan bantuan.
"Kami ingin mohon maaf kepada penumpang yang terjejas disebabkan kemalangan pagi tadi. Dalam pada itu, kami sedang membantu polis dalam menjalankan sisasatan."
Naib Presiden Kanan bagi Perhubungan Korporat SBS Transit Tammy Tan pula berkata bahawa syarikat tersebut sudah menghantar lima pegawainya ke hospital untuk memberi bantuan kepada penumpang yang cedera.
"Kami mohon maaf atas kejadian itu dan keutamaan kami adalah kesejahteraan semua penumpang yang cedera," kata beliau. "Kami juga sedang membantu polis dan LTA dalam siasatan mereka."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.