Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

33,100 ditempatkan dalam pekerjaan, latihan di bawah Pakej Pekerjaan dan Kemahiran

Sekitar 33,100 pemohon kerja ditempatkan ke dalam pekerjaan, latihan amali dan peluang latihan di bawah Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited setakat hujung bulan Ogos, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Rabu (7 Okt). 

Anggaran Waktu Membaca:
33,100 ditempatkan dalam pekerjaan, latihan di bawah Pakej Pekerjaan dan Kemahiran

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 07 Oct 2020 02:58PM Dikemas Kini : 07 Oct 2020 03:00PM

SINGAPURA; Sekitar 33,100 pemohon kerja ditempatkan ke dalam pekerjaan, latihan amali dan peluang latihan di bawah Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited setakat hujung bulan Ogos, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Rabu (7 Okt).

Ini adalah kenaikan sebanyak 9,100 daripada 24,000 pemohon kerja yang ditempatkan sehingga hujung bulan Julai, tambah kementerian itu.

Sejumlah 29,580 orang ditempatkan dalam pekerjaan, meningkat sebanyak 5,580 dari hujung bulan Julai. Penempatan pekerjaan jangka pendek atau untuk tempoh kurang 12 bulan jatuh daripada 58 peratus kepada 55 peratus.

"Ini terutamanya disebabkan oleh tumpuan pemerintah sebelum ini dalam menempatkan para pemohon kerja dan pekerja terjejas ke dalam pekerjaan sektor awam jangka pendek bagi menangani peningkatan mendadak operasi berkaitan COVID-19," menurut MOM dalam laporan terkininya berhubung keadaan pekerjaan.

Penempatan ke dalam pekerjaan jangka panjang naik kepada 45 peratus, meningkat daripada 42 peratus setakat hujung bulan Julai.

Memadankan pekerjaan jangka lebih panjang lazimnya mengambil masa lebih lama berbanding pekerjaan jangka lebih pendek, menurut MOM. Bagi jawatan tetap, pemohon kerja kemungkinan besar "melaburkan masa dalam proses mencari" untuk sekitar tiga hingga enam bulan atau lebih lama, tambah kementerian itu.

“Majikan juga cenderung mengambil masa lebih lama untuk mengisi jawatan tetap sedang mereka mengenal pasti pemohon kerja yang paling sesuai untuk pekerjaan itu dan pertubuhan mereka," jelas laporan tersebut.

Serupa dengan keadaan pada hujung bulan Julai, lima sektor utama yang mana kebanyakan pemohon kerja dan pekerja ditempatkan adalah maklumat dan komunikasi, khidmat makanan, khidmat profesional, jagaan kesihatan serta kewangan dan insurans.

Daripada sektor-sektor itu, sektor khidmat makanan menempatkan paling ramai pemohon kerja ke dalam pekerjaan jangka panjang manakala sektor jagaan kesihatan menempatkan paling ramai pemohon kerja ke dalam pekerjaan jangka pendek, dedah MOM.

Dalam sektor jagaan kesihatan, sesetengah pemohon kerja juga mengambil pekerjaan jangka panjang seperti karyawan kejururawatan dan pembantu pergigian.

Industri maklumat dan komunikasi menempatkan paling banyak pemohon kerja dalam peluang-peluang latihan serta latihan amali, tambah MOM.

Dengan usaha yang dipertingkat untuk menggalak pemohon kerja supaya menyertai latihan amali serta penempatan yang dihoskan oleh syarikat serta peluang-peluang latihan, penempatan ke dalam peluang-peluang itu naik kepada 3,510 setakat hujung bulan Ogos daripada 1,170 setakat akhir bulan Julai, berdasarkan laporan tersebut.

Ini boleh dikaitkan dengan hambatan kemasukan yang lebih rendah bagi pemohon kerja yang memanfaatkan peluang untuk memasuki sektor yang mereka kurang mempunyai pengalaman sebelum ini. Ini selain pemohon kerja "semakin berminat" untuk mempelajari kemahiran yang relevan supaya "mereka dalam kedudukan lebih baik untuk pemulihan ekonomi pada akhirnya", tambah MOM.

Selepas Program Laluan Pertengahan Kerjaya SGUnited dilancarkan pada Ogos, syarikat-syarikat yang menawarkan latihan amali dan penempatan juga mempunyai "pangkalan bakat lebih luas" untuk membuat pilihan, tambah MOM.

MOM mengambil perhatian bahawa meskipun sasaran asal Majlis Pekerjaan Kebangsaan sebanyak 100,000 peluang pekerjaan dan kemahiran sudah dijangkaui, masih terdapat "jumlah besar" jawatan yang tidak diisi.

MOM menyatakan: "Berdasarkan maklum balas di lapangan, masih terdapat jangkaan dan kemahiran yang tidak sepadan."

Sambil menggesa majikan untuk "meluaskan" pilihan mereka selain calon dengan latar belakang yang sepadan dengan pekerjaan itu, MOM menyatakan: "Sebaliknya, majikan mungkin lebih berjaya jika mereka menumpukan kepada kemahiran calon yang boleh dipindah milik dan memanfaatkan bantuan dana Pemerintah untuk merapatkan jurang kemahiran."

Pemohon kerja juga boleh ditempatkan dengan lebih cepat jika mereka "bersedia untuk mempertimbangkan" peranan atau sektor yang mereka kurang terbiasa, tambah MOM, sambil menasihati mereka untuk mendapatkan bimbingan kerjaya profesional lebih awal. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan