Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

32,000 aduan buang sampah dari tempat tinggi, naik seganda sejak 4 tahun lalu; 54% libatkan puntung rokok

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Aduan mengenai pembuangan sampah dari tempat tinggi meningkat seganda dalam tempoh empat tahun lalu daripada purata 16,000 aduan setiap tahun sebelum 2019, kepada 32,000 kes pada 2021.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menerima 22,000, 35,000 dan 32,000 aduan masing-masing pada 2019, 2020 dan 2021. Lonjakan kes pada tahun 2020 bertepatan dengan tempoh di mana orang ramai kebanyakannya terkurung di rumah mereka semasa pandemik COVID-19.

Meskipun agensi itu sudah mengambil langkah untuk menangani kes membuang sampah dari tempat tinggi, Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu berkata NEA secara purata tidak dapat mengenal pasti pesalah dalam kira-kira 15 peratus kes yang disiasat dari 2019 hingga 2021.

Cik Fu berkongsi perangkan itu sebagai menjawab soalan parlimen oleh Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Mariam Jaafar mengenai pembuangan sampah dari tempat tinggi pada Khamis (20 Okt).

Menjawab soalan lain melibatkan puntung rokok, oleh AP SMC Bukit Panjang, Liang Eng Hwa, Cik Fu berkata 54 peratus daripada kesalahan membuang sampah dari tempat tinggi yang dikuatkuasakan dalam tempoh empat tahun lalu melibatkan puntung rokok.

Sekitar 95 peratus daripada kesalahan itu berjaya dirakam kamera pengawasan yang digunakan.

Antara 2019 dengan 2021, tindakan penguatkuasaan diambil terhadap purata 400 pesalah setiap tahun yang membuang puntung rokok dari tempat tinggi .

"Dari Januari hingga September 2022, tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap hampir 130 pesalah," kata Cik Fu.

Untuk menangani masalah pembuangan sampah dari tempat tinggi, NEA mengambil pelbagai pendekatan seperti penguatkuasaan, pengawasan dan pendidikan awam, kata Cik Fu sebagai menjawab soalan Cik Mariam.

Apabila NEA menerima aduan mengenai sampah dibuang sembarangan dari tempat tinggi, ia akan bekerjasama dengan majlis bandaran berkaitan untuk mengeluarkan nasihat kepada penduduk dalam bangunan terbabit, dan mengumpulkan maklumat tentang unit-unit yang disyaki.

Tambah Cik Fu lagi, meskipun purata masa yang diambil untuk menyelesaikan kes dapat dikurangkan sebanyak 25 peratus dari 2019 hingga 2021, bilangan aduan masih melebihi usaha NEA untuk menghalang dan mengesan perbuatan membuang sampah dari tempat tinggi.

"Siasatan terhadap kes sedemikian masih memerlukan sumber dan memakan masa," katanya.

“Bergantung kepada kerumitan kes, NEA secara amnya mengambil masa 10 minggu hingga enam bulan untuk mengambil tindakan terhadap pesalah, dari masa perbuatannya itu berjaya dirakamkan kamera pengawasan.

“Selalunya, kamera kami tidak dapat merakam kejadian itu. Terdapat juga banyak kes di mana pesalah tidak dapat dikenal pasti walaupun terdapat bukti pembuangan sampah sembarangan dilakukan dari flat tertentu."

Justeru Cik Fu berkata pendekatan alternatif untuk menangani dengan lebih baik lagi perbuatan membuang sampah dari tempat tinggi perlu dipertimbangkan. Ini termasuk meminta penduduk mencegah perbuatan sedemikian dari dilakukan dari rumah mereka.
Sumber : Today/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan