Skip to main content

Singapura

314 kes bunuh diri dilaporkan di SG pada 2024

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Jul 2025 10:25AM Dikemas Kini : 19 Jul 2025 10:28PM
SINGAPURA: Sebanyak 314 kes bunuh diri dilaporkan di Singapura pada 2024, menurut Samaritans of Singapore (SOS) pada Sabtu (19 Jul).

Menurut data sementara dari pusat pencegahan bunuh diri itu, peningkatan tertinggi dalam kes bunuh diri disaksikan dalam kalangan individu dewasa berumur antara 30 hingga 39 tahun, menurut SOS dalam kenyataan medianya.

SOS menyatakan bahawa individu dalam kumpulan usia ini menghadapi pelbagai tekanan rumit yang berkaitan dengan isu keluarga, kestabilan pekerjaan dan cabaran kesihatan mental.

Kebimbangan ini disuarakan mereka yang mendapatkan bantuan melalui talian hotline dan perkhidmatan teks 24 jam SOS.

Daripada 314 kematian akibat bunuh diri yang dilaporkan, sebanyak 202 kes atau 64.3 peratus adalah lelaki, manakala 112 atau 35.7 peratus adalah wanita.

Untuk tahun keenam berturut-turut, bunuh diri kekal sebagai penyebab utama kematian dalam kalangan belia berumur 10 hingga 29 tahun.

Kadar kematian akibat bunuh diri di Singapura tahun lalu ialah 5.91 bagi setiap 100,000 penduduk, menurut SOS.

“Di sebalik setiap statistik adalah satu nyawa yang hilang, keluarga yang berduka, dan masyarakat yang tertanya-tanya apa lagi yang boleh dilakukan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SOS, Gasper Tan.

“Jumlah kematian akibat bunuh diri yang dilaporkan ini mengingatkan kita bahawa tugas kita belum selesai, terutamanya dalam kalangan dewasa berumur 30 hingga 39 tahun.

"Kita mesti terus melabur dalam membina sebuah masyarakat yang penyayang dan saling berhubung, di mana tiada siapa perlu berjuang sendirian.”

Berdasarkan data sementara, jumlah kes bunuh diri pada 2024 turun sebanyak 2.5 peratus berbanding tahun 2023.

Namun, jumlah keseluruhan kematian akibat bunuh diri pada 2023 sudah dikemas kini kepada 434 oleh Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), menunjukkan peningkatan 34.8 peratus daripada angka awal iaitu 322, menurut SOS.

CNA sudah meminta maklumat lanjut daripada ICA mengenai angka yang dikemas kini itu.

Pada Sabtu, SOS memaklumkan bahawa lebih daripada 6,000 individu dilatih melalui program 'Be A Samaritan' untuk mengenal pasti dan memberi respons kepada tanda-tanda tekanan emosi.

Sebuah program junior yang memberi tumpuan kepada senario kes yang sesuai mengikut umur juga telah diperkenalkan bagi mendekati belia berumur 13 hingga 16 tahun, bagi menggalak mereka mendapatkan bantuan awal.

Pada 2024, perkhidmatan kaunseling secara bersemuka dan kumpulan sokongan diberikan kepada 1,112 individu yang bergelut dengan hasrat untuk bunuh diri, serta mereka yang kehilangan orang tersayang akibat bunuh diri.

Dapatkan bantuan di sini:

Talian bantuan kesihatan mental nasional: 1771

Hotline Samaritans of Singapore: 1767

Talian bantuan Persatuan Kesihatan Mental Singapura: 1800 283 7019

Anda juga boleh mendapatkan senarai talian bantuan antarabangsa di sini.

Jika seseorang yang anda kenali berada dalam risiko segera, sila hubungi perkhidmatan kecemasan 24 jam.
Sumber : CNA/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita