300 perhentian bas dipasang papan maklumat baru; lebih banyak maklumat perjalanan penumpang
Penumpang di lebih 300 perhentian bas akan mendapat akses kepada lebih banyak maklumat mengenai perjalanan mereka melalui sistem paparan yang baru.

Sistem paparan maklumat penumpang yang baru akan dipasangkan di lebih 300 perhentian bas di Singapura. (Gambar: LTA)
SINGAPURA: Penumpang di lebih 300 perhentian bas akan mendapat akses kepada lebih banyak maklumat mengenai perjalanan mereka melalui sistem paparan yang baru.
Sistem itu akan dipasangkan secara bertahap-tahap sepanjang tempoh dua tahun berikutnya, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) hari ini (1 Sep).
Sistem paparan maklumat penumpang yang baru itu adalah versi dipertingkat dengan grafik lebih terang dan saiz huruf lebih besar, menurut LTA. Ciri-ciri itu menyediakan maklumat yang membolehkan penumpang merancang perjalanan dengan lebih baik.
SISTEM PAPARAN DIPERTINGKAT
Seperti paparan LED sedia ada, panel baru itu juga akan menunjukkan maklumat tentang "bas-bas seterusnya yang akan tiba".
Panel "Quickest Way To" pula memaklumkan penumpang tentang perkhidmatan bas yang membawa mereka ke destinasi-destinasi popular berdekatan dalam waktu yang paling singkat.
Waktu ketibaan bas juga disusun berdasarkan perkhidmatan. Panel "Buses Arrivals by Service" memaparkan maklumat tentang bila dua bas seterusnya bagi setiap perkhidmatan bas akan tiba.
"Ia juga menyatakan destinasi dan tempat di sepanjang laluan itu seperti stesen MRT dan hospital," menurut LTA.
Makluman perjalanan seperti maklumat tentang perubahan pada perkhidmatan bas, gangguan kereta api atau kerja penyenggaraan yang dirancang ke atas rangkaian MRT juga akan dipaparkan di panel "Messages", menurut LTA.
Ia menambah lima panel akan dipasang secara berperingkat-peringkat di beberapa perhentian bas pada bulan ini - di Bedok Reservoir Road, Jalan Eunos, Paya Lebar Road, Serangoon Road dan Sims Avenue.
"Pemasangan akan dijalankan di lebih banyak perhentian bas mulai November 2021," tambah LTA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.