Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

300 penjaga mohon sertai Program Permohonan Bantuan Perwakilan (ADAP); hanya 20% daripadanya penjaga Melayu/Islam

Anggaran Waktu Membaca:
02:57 Min
Program ADAP memudahkan para penjaga golongan kurang daya intelek membuat permohonan bagi mendapatkan keputusan guaman bagi pihak golongan itu

BERITAmediacorp: Seramai 300 penjaga golongan kurang daya intelek memohon untuk menyertai Program Permohonan Bantuan Perwakilan (ADAP) setakat ini.

Namun hanya 20 peratus pemohon adalah penjaga Melayu/Islam.

Program ADAP memudahkan para penjaga golongan kurang daya intelek membuat permohonan bagi mendapatkan keputusan guaman bagi pihak golongan itu.

Gerakan Bagi Golongan Kurang Upaya Intelektual (MINDS) dilantik untuk menyediakan perkhidmatan yang menyeluruh program ADAP oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada Oktober 2022.

--

Menurut Pengarah Perkhidmatan Sokongan Berasaskan Masyarakat, MINDS, Cik Ong Lay Hoon berkata bahawa pihaknya membantu para penjaga dalam permohonan ADAP.

Antaranya,menilai keupayaan mental klien-klien mereka serta memproses dokumen-dokumen yang diperlukan.

Khidmat peguam tidak diperlukan.

Pada November 2022, MINDS melancarkan panduan online yang mudah diakses para penjaga.

Ia mengandungi enam modul termasuk permohonan-permohonan Surat Kuasa Berkekalan (LPA), Pencalonan CPF, Amanah Keperluan Khas, Bantuan Perwakilan, Penyediaan Wasiat dan Pelan Penjagaan Awal.

Modul-modul lain seperti Pelan Hayat, Pasport Kesihatan dan Penginapan dijangka dilancarkan dalam suku keempat tahun ini.

"Para penjaga menyedari kepentingan perancangan masa depan untuk anak-anak mereka, tetapi pada masa yang sama, mereka tidak memanfaatkan sumber-sumber yang sedia ada untuk membantu mereka.

"Maka itu, MINDS menyediakan khidmat holistik bagi para penjaga kami. Selain dilantik sebagai agensi ADAP, kami juga menawarkan membantu dan menasihati para penjaga yang melalui cabaran hidup," kata Cik Ong kepada BERITAmediacorp.

MANFAAT SERTAI PROGRAM ADAP

Encik Mohamad Syahid Arif berhenti bekerja pada tahun 2020 untuk menjaga adiknya secara sepenuh masa.

Beliau menganggapnya sebagai satu amanah yang besar.

Adiknya, Saiful Azfar didiagnos dengan kekurangan keupayaan intelektual sejak usianya tiga tahun.

--

Sebelum menyertai ADAP pada 2021, Mohamad Syahid mendapati sukar untuk melaksanakan sebarang urusan rasmi bagi pihak adiknya.

"Contohnya, dengan deputyship ini, kita dapat dokumen, kita pergi ke bank dan kita tunjuk dokumen-dokumen itu. Ia diakui oleh pihak bank dan pihak bank boleh membenarkan kita untuk uruskan hal kewangannya," kata Encik Syahid kepada BERITAmediacorp.

Selain itu, beliau juga membuka akaun bersama Syarikat Amanah Keperluan Khas (SNTC) bagi adiknya agar beliau dapat menyalurkan sebarang aset mahupun sebahagian wang CPF beliau kepada akaun tersebut.

Encik Syahid, yang juga seorang bapa kepada dua anak memberitahu BERITAmediacorp bahawa beliau melakukan sedemikian kerana sumbangan kepada dana itu akan dilindungi meskipun beliau sudah meninggal dunia.

Ini bermakna sesiapa ataupun pertubuhan yang menjaga adiknya boleh memanfaatkan dana itu untuk membiayai penjagaan adiknya.

--

Beliau turut melantik sepupunya untuk mengambil alih tugas sebagai wakil sekiranya beliau hilang kemampuan menjaga adiknya.

Kata Encik Syahid kepada BERITAmediacorp: "Kalau kita rancangkan dengan baik, Insya-Allah semua akan lancar. Kebimbangan terbesar saya adalah jika saya hilang kemampuan untuk terus menjaga adik saya. Jadi, apa yang boleh dilakukan seperti yang saya cakap sebelum ini, saya rancang sebaik mungkin untuk kesejahteraan dan juga untuk keluarga saya."

Meskipun akur mengenai cabaran-cabaran menjaga adiknya itu, Encik Syahid bersyukur mempunyai isteri yang memahami.

Sumber : BERITA Mediacorp/na

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan