Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

300 penduduk sertai acara ‘Woodlands Jalan Kakis’ bagi galak gaya hidup sihat

Sekitar 300 penduduk Melayu/Islam menyertai acara ‘Woodlands Jalan Kakis’ yang dianjurkan buat julung-julung kalinya hari ini (3 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekitar 300 penduduk Melayu/Islam menyertai acara ‘Woodlands Jalan Kakis’ yang dianjurkan buat julung-julung kalinya hari ini (3 Nov).

Acara tersebut adalah hasil kerjasama antara Masjid Yusof Ishak, Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan M³@Woodlands.

Acara ini mengajak para peserta untuk berjalan kaki dari Masjid Yusof Ishak ke Kelab Masyarakat Woodlands Galaxy.

M³ adalah rangkaian kerjasama di bawah MUIS, MESRA dan MENDAKI yang bertujuan untuk mendampingi masyarakat Melayu/Islam dengan lebih dekat lagi menerusi pelbagai program dan inisiatif.

Turut menyertai para peserta ialah Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin. Encik Amrin juga adalah Anggota Parlimen GRC Sembawang.

SUNTIK SEMANGAT GAYA HIDUP SIHAT

Dianjurkan pada hari Ahad pertama setiap bulan, acara ‘Woodlands Jalan Kakis’ ini merupakan inisiatif terkini di bawah M³@Woodlands untuk menggalak gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk di kawasan tersebut. Inisiatif ini juga adalah sebahagian daripada tumpuan M³@Woodlands yang menitikberatkan nilai 3K - Kesediaan Kewangan dan Ekonomi, Kesihatan serta Kemaslahatan Keluarga dan Masyarakat.

TURUT BINCANG ISU KESIHATAN

Namun lebih daripada hanya acara bersenam, 'Woodlands Jalan Kakis' sebenarnya menawarkan lebih daripada itu.

Para peserta yang kebanyakannya terdiri daripada wanita warga emas turut diberikan nasihat dan bimbingan mengenai pelbagai skim dan bantuan Pemerintah seperti CareShield Life, Eldershield serta Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS).

"Kita juga akan teruskan acara ini di mana kita akan berkongsi tentang skim-skim Pemerintah dan juga tentang soalan-soalan yang mereka ada, di mana kita dapat huraikan di mana kita dapat ketengahkan juga kita dapat memberikan penjelasan selanjutnya.

"jadi saya rasa ini adalah satu sesi yang penting di mana kita berkumpul sebagai satu masyarakat kenal antara satu sama lain dan juga mempelajari tentang kesihatan dan juga bagaimana kita dapat membina keluarga yang baik," tekan Encik Amrin. 

Dianjurkan pada hari Ahad pertama setiap bulan, acara berjalan ini akan diakhiri dengan sesi sarapan, yang turut membincangkan isu-isu berkaitan kesihatan yang mungkin kurang dibincangkan secara terbuka seperti kemurungan dan tekanan mental.

Pengerusi M³ @Woodlands berkata melalui program yang dijalankan, ia berharap untuk memberi manfaat kepada masyarakat Melayu/Islam yang jumlahnya ramai di kawasan kejiranan itu.

"Pada saya ini adalah satu permulaan, saya berharap ini akan menambah dan memutikkan minat mereka untuk menjadi lebih aktif, menambahkan minat dalam sukan," kongsi Dr Noorul Fatha As'art, Pengerusi M³ @Woodlands.
 

(Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

Bagi penduduk yang melakukan sebanyak tiga kali dalam tiga pusingan berbeza, acara ‘Woodlands Jalan Kakis’, mereka boleh mendapatkan piring edisi khas yang direka sendiri oleh para kakitangan Masjid Yusof Ishak. 

"Memandangkan masjid ini adalah pusat penting bagi pembelajaran Islam, maka kita juga menekankan kepada masyarakat kita, khususnya bahagian Muslimah ataupun ibu-ibu yang hadir di masjid, bukan sahaja untuk memfokuskan diri mereka kepada pembelajaran agama mengikut kitab dan sebagainya tapi kita juga perlu mengamalkan apa yang kita belajar, jadi pada masa yang sama dalam ajaran agama kita ialah untuk menjaga kesihatan," tekan Ustaz Muhammad Aiman Khalid, Ketua Pembelajaran Islam Masjid Yusof Ishak.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan