300 pekerja firma SG berkait China diberhentikan selepas dikenakan sekatan Amerika berhubung minyak Iran
Sebuah syarikat berpangkalan di Singapura yang ada kaitan dengan China memberhentikan ratusan pekerja dan kini menjalani proses pembubaran selepas dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat bulan lalu.
Pejabat CCIC Singapore. (Gambar: Glassdoor)
CCIC Singapore merupakan antara 15 syarikat yang disenarai hitam Amerika Syarikat pada 13 Mei kerana membantu menyembunyikan asal usul minyak Iran yang dihantar ke China.
Syarikat pemeriksaan kargo itu merupakan anak syarikat milik penuh China, Certification & Inspection Group (CCIC), sebuah entiti milik pemerintah China yang ibu pejabatnya terletak di Beijing.
Bercakap kepada Mediacorp pada Jumaat (6 Jun), tiga pekerja yang terjejas memaklumkan bahawa kakitangan di semua jabatan CCIC Singapore sudah dimaklumkan mengenai pemberhentian kerja pada 30 Mei, dan ia berkuat kuasa keesokan harinya.
Dua daripada pekerja tersebut mengatakan bahawa CCIC Singapore mempunyai lebih 400 kakitangan di Singapura dan Malaysia, dengan kebanyakannya berkhidmat di Singapura. Seorang lagi pekerja pula memaklumkan bahawa syarikat itu mempunyai lebih 300 kakitangan di Singapura sahaja.
Para pekerja yang bercakap dengan Mediacorp dengan syarat agar tidak dinamakan, berkata syarikat tersebut telah menangguhkan pembayaran gaji bagi bulan Mei. Notis pemberhentian yang dikeluarkan menyatakan kelewatan itu berpunca daripada "pembubaran yang sedang berlangsung".
Mereka juga membangkitkan isu pampasan pemberhentian kerja sebanyak dua minggu gaji bagi setiap tahun perkhidmatan, terutamanya bagi juruukur yang bergantung kepada bayaran kerja lebih masa dan elaun untuk menambah gaji asas mereka.
Dua daripada pekerja terbabit berkata juruukur junior menerima kurang S$1,000 sebulan sebagai gaji asas, manakala juruukur lebih kanan memperoleh antara S$1,000 hingga S$1,500.
Menurut pekerja-pekerja berkenaan, CCIC Singapore tidak mempunyai kesatuan sekerja. Beberapa pekerja menghubungi Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Perikatan Tiga Pihak bagi Pengurusan Pertikaian (TADM) untuk mendapatkan bantuan.
Mediacorp sudah menghubungi CCIC Singapore, syarikat induknya CCIC, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian, serta NTUC untuk mendapatkan komen.
SEKATAN AMERIKA SYARIKAT
CCIC Singapore ditubuhkan pada 1989, dengan alamat berdaftar di Taman Sains Singapura.
Pelanggan syarikat berkenaan termasuk Shell, BP, Total, Exxon Mobil serta syarikat-syarikat petrokimia utama China, menurut laman CCIC.
Syarikat induknya, CCIC, ditubuhkan pada 1980 dan berada di bawah penyeliaan Suruhanjaya Penyeliaan dan Pentadbiran Aset Milik Negara Majlis Negeri China.
Amerika Syarikat menyenarai hitam CCIC Singapore kerana membantu menyembunyikan asal usul minyak Iran, yang biasanya dilakukan melalui pemindahan minyak dari kapal ke kapal, pencampuran minyak dan dokumentasi palsu.
Sepehr Energy, yang merupakan syarikat hadapan tentera Iran, "secara konsisten bergantung" kepada CCIC Singapore bagi pemeriksaan kargo minyak yang dihantar ke China, menurut Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat.
Pada 2024, CCIC Singapore menyediakan perkhidmatan pemeriksaan semasa pemindahan sekitar 2 juta tong minyak Iran dari sebuah kapal yang telah dikenakan sekatan.
Pada tahun yang sama, syarikat itu juga "berkemungkinan telah menyediakan" dokumen palsu untuk menyembunyikan identiti kapal lain yang dikenakan sekatan serta mengesahkan muatan minyak Iran itu sebagai minyak mentah Malaysia.
Menurut Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat, perdagangan minyak haram Iran membiayai pembangunan peluru berpandu balistik, dron dan kumpulan pengganas serantau.
Sekatan yang dikenakan membekukan semua aset syarikat dan individu disenarai hitam yang mempunyai kaitan dengan Amerika Syarikat. Sebarang syarikat yang dimiliki sekurang-kurangnya separuh oleh pihak yang dikenakan sekatan juga dihalang daripada menjalankan sebarang urus niaga melibatkan perniagaan atau sistem kewangan Amerika Syarikat.
KEMARAHAN DALAM KALANGAN PEKERJA
Dua daripada pekerja yang terjejas menafikan sebarang pengetahuan mengenai aktiviti yang menyebabkan Amerika Syarikat mengenakan sekatan terhadap CCIC Singapore, dan menyatakan bahawa jabatan mereka tidak terlibat.
Kedua-dua pekerja itu memberitahu Mediacorp bahawa mereka hanya mengetahui syarikat mereka telah disenarai hitam apabila pelanggan mula membatalkan pesanan kerja pada 13 Mei, dengan merujuk kepada sekatan tersebut.
Kata mereka, pada awalnya mereka tidak menyedari betapa seriusnya kesan sekatan tersebut. Namun lama-kelamaan, kebimbangan terhadap tindakan menyenarai hitam itu bertukar menjadi kemarahan berkenaan cara pihak pengurusan berkomunikasi dengan para pekerja.
Mereka mengkritik pendirian syarikat yang dilihat "berubah-ubah" mengenai kesan sekatan tersebut, serta apa yang dianggap sebagai kekurangan kebertanggungjawaban dan ketelusan daripada pengarah urusan CCIC Singapore.
"Jika anda benar-benar menghargai ... usaha kami yang telah kami curahkan ke dalam syarikat ini, saya rasa mungkin dia perlu datang dan mengucapkan terima kasih kepada kami, atau meminta maaf, perkara malang seperti ini berlaku," kata salah seorang pekerja.
Namun menurutnya, tiada sebarang ucapan permohonan maaf atau rasa kesal dilafazkan. Malah sebelum Jumaat (6 Jun), syarikat tersebut juga tidak menyediakan sebarang sokongan buat para pekerja terjejas dari segi penempatan kerja atau bimbingan kerjaya.
"Ini adalah syarikat asing. Mereka bertindak seperti orang yang tinggi dan berkuasa, mereka meninggalkan kami dalam kesusahan, begitu sahaja. Dan saya sangat marah kerana orang atasan tidak pun berjumpa kami, bercakap dengan kami," kata pekerja itu.
Biarpun aset yang dikaitkan dengan Amerika Syarikat telah dibekukan, para pekerja mempersoalkan mengapa aset syarikat di Singapura, termasuk hartanah dan peralatan, tidak boleh digunakan untuk membayar gaji dan pampasan pemberhentian kerja.
Mereka turut mempersoalkan mengapa syarikat induk tidak tampil membantu dengan memastikan pekerja dibayar.
"Apabila anak-anak anda dalam kesusahan, sepatutnya, ibu bapa harus menyelamatkan mereka, bukan? Mengapa ibu pejabat tidak menyelamatkan kami?" tanya pekerja itu.
EMEL DALAMAN
Para pekerja menunjukkan kepada Mediacorp notis pemberhentian kerja mereka serta emel dalaman syarikat, yang menunjukkan garis masa bagaimana kesan sekatan tersebut menjejas para pekerja.
Pada 14 Mei, para pekerja CCIC Singapore menerima emel daripada pegawai sumber manusia (HR) yang mengakui kebimbangan terhadap sekatan tersebut.
Emel berkenaan menyatakan bahawa ibu pejabat syarikat "komited sepenuhnya untuk menyokong operasi kami" dan telah melantik peguam untuk membuat rayuan terhadap sekatan tersebut.
"Sebagai tindak balas kepada situasi ini, sebuah syarikat baharu – yang disokong sepenuhnya oleh ibu pejabat kami – akan ditubuhkan dalam bulan ini," menurut emel tersebut.
"Semua pekerja akan dipindahkan dengan lancar ke entiti baharu itu, dan operasi akan diteruskan seperti biasa. Tiada gangguan terhadap peranan, tanggungjawab atau terma pekerjaan anda."
Namun, sehari kemudian, para pekerja menerima satu lagi emel daripada jabatan HR yang meminta mereka untuk "mengabaikan" emel yang dihantar sehari sebelumnya.
Emel itu merujuk kepada "inisiatif penstrukturan semula dalaman", tetapi terus memberi jaminan bahawa gaji dan tuntutan pekerja akan dibayar seperti biasa.
Pada 16 Mei, ketua-ketua jabatan diminta untuk mengenal pasti pekerja utama sebagai persiapan kepada satu latihan pengurangan tenaga kerja.
Mereka turut dimaklumkan bahawa CCIC Singapore "tidak berada dalam kedudukan" untuk membayar pampasan pemberhentian kerja kerana akaun bank syarikat telah dibekukan.
Seminggu kemudian, satu emel kepada semua kakitangan memaklumkan bahawa pembayaran gaji juga akan ditangguhkan akibat pembekuan akaun, dan bahawa pengarah urusan syarikat tersebut akan ke Beijing bagi menjalankan “perbincangan peringkat tinggi”.
Para pekerja menerima notis pemberhentian mereka pada 30 Mei.
Notis tersebut menyatakan bahawa syarikat berkenaan akan menjalani proses pembubaran, dan faedah pemberhentian hanya akan dibayar sepenuhnya selepas proses itu selesai, dengan tarikh anggaran pada 30 Jun 2026.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.