300 keluarga berpendapatan rendah berbilang agama dibantu sempena Krismas
Sambutan Krismas lazimnya dimeriahkan dengan tradisi memberikan hadiah kepada orang tersayang.
Seorang penerima bantuan, Cik Sidah Akhbar, bersama anak-anaknya. (Gambar-Gambar: CDC Timur Laut)
SINGAPURA: Sambutan Krismas lazimnya dimeriahkan dengan tradisi memberikan hadiah kepada orang tersayang.
Di Singapura, semangat muhibah itu turut melibatkan bantuan bersifat inklusif yang dihulurkan kepada keluarga-keluarga berpendapatan rendah tanpa mengira kaum, budaya atau agama.
Tahun ini, Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Timur Laut berganding bahu dengan New Creation Church Singapore untuk membawa keceriaan kepada seramai 300 keluarga yang kurang bernasib baik.
Kesemua keluarga itu, dengan lebih separuh daripada mereka adalah keluarga Melayu/Islam, masing-masing akan menerima habuan bernilai S$200 menerusi edisi ketiga 'Christmas Gift of Love' yang diadakan di Hab Tampines Kita hari ini (7 Dis).
Habuan itu meliputi baucar pasar raya NTUC FairPrice bernilai S$100, baucar makanan Festive Mall Hab Tampines Kita bernilai S$50, baucar Kedai Buku Popular bernilai S$20, serta troli pasar raya dan sebuah beg perayaan yang mengandungi barangan keperluan dapur seperti susu, beras dan barangan asas yang lain.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan secara bersama oleh CDC Timur Laut dan New Creation Church, habuan itu diharap dapat sedikit sebanyak membantu keluarga-keluarga membuat persiapan bagi perayaan Krismas atau Tahun Baru Cina yang bakal menjelang, mahupun bagi menyambut ketibaan Tahun Baru dengan memastikan agar anak-anak yang bersekolah mempunyai barangan asas yang mencukupi untuk memulakan penggal sekolah yang baru.
Di acara 'Christmas Gift of Love' hari ini (7 Dis), para penerima bantuan juga berpeluang mendapatkan bimbingan daripada Junior Achievement Singapore mengenai cara-cara menguruskan wang menerusi sesi celik kewangan.
Acara itu turut dihadiri oleh tetamu terhormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat dan Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli, yang juga adalah para Anggota Parlimen GRC Tampines.
Mengulas mengenai inisiatif itu, anggota majlis New Creation Church, Deacon Matthew Kang, berkata: "Kami menganggapnya suatu kegembiraan dan keistimewaan kerana dapat menghulurkan bantuan kepada 300 keluarga dengan menghadiahkan troli serta baucar pasar raya dan makanan, dengan kerjasama CDC Timur Laut.
"Sepanjang musim perayaan Krismas ini, kami akan mendampingi lebih tujuh ribu orang daripada merata Singapura tanpa mengira kaum, bahasa atau agama, dengan mengagihkan hadiah-hadiah praktikal."
Katanya lagi, lebih 120 sukarelawan daripada gereja itu juga akan membantu para penerima dengan pembelian dan pengagihan habuan-habuan tersebut.
Datuk Bandar CDC Timur Laut, Desmond Choo, melahirkan harapan agar lebih ramai rakyat Singapura akan sama-sama membantu para anggota masyarakat yang memerlukan.
"Kami tahu sepanjang musim ini, sesetengah keluarga mungkin menghargai bantuan yang dapat membantu meringankan beban mereka.
"Kami berbesar hati dengan sumbangan yang diterima daripada semua rakan kerja kami. Sejajar dengan gerakan 'Singapore Together', kami mahu menggalak lebih ramai rakyat Singapura supaya membantu masyarakat-masyarakat yang memerlukan."
Sejak dilancarkan tiga tahun lalu, CDC Timur Laut sudah bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan agama serta rakan korporat dan masyarakat untuk melaksanakan inisiatif tersebut.
Antaranya, New Creation Church, Yayasan NTUC FairPrice, Touch Community Services, Kelab Masyarakat Seni dan Kebudayaan Tampines Changkat (CACC), ActiveSG dan Junior Achievement Singapore.
Kerjasama yang berterusan itu, menurutnya, mewujudkan sebuah ekosistem sokongan yang dapat menyediakan khidmat lebih baik kepada golongan yang memerlukan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.