300 'Duta Hijau' gerakkan program alam sekitar di GRC East Coast
Seramai 300 'Duta Hijau' akan direkrut untuk memacu program-program alam sekitar di GRC East Coast.

(Gambar: Heng Swee Keat/facebook)
SINGAPURA: Seramai 300 'Duta Hijau' akan direkrut untuk memacu program-program alam sekitar di GRC East Coast.
Ia adalah sebahagian daripada rancangan East Coast yang lebih luas untuk meningkatkan daya usaha penghijauan dan kemampanan di kawasan itu.
Bagi mendorong minat mereka yang gemar berkebun, 1,000 paket tanah dan benih akan diagihkan kepada isi rumah di GRC East Coast.
Lebih banyak kebun masyarakat akan disediakan bagi menggalak interaksi dan jalinan antara penduduk.
Selain usaha penghijauan, GRC East Coast akan menganjurkan lebih banyak kegiatan seperti wisata ke Pulau Ubin bagi meningkatkan kesedaran tentang kepelbagaian flora dan fauna.
Bagi menggalak amalan mengitar semula, tapak-tapak kitar semula juga dilancarkan di Bedok.
Tempat-tempat kitar semula itu akan diluaskan ke divisyen lain tidak lama lagi.
Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat memberi sokongannya terhadap gerakan menghijau di kawasan undinya semasa acara menanam pokok di Bedok.
"Saya amat gembira melihat ramai penduduk kita yang sangat berminat. Mereka tampil ke depan untuk berkongsi idea-idea bagi mewujudkan East Coast yang lebih menghijau.
"Ini dilakukan dengan semangat Singapura Bersama, di mana mereka yang mempunyai idea serupa boleh berkumpul dan melakukan sesuatu untuk menjayakan idea-idea demikian," menurut Encik Heng.
Para penduduk GRC East Coast boleh menyumbang saranan bagi rancangan Koridor Hijau sepanjang 15 kilometer di kawasan undi itu.
Ia akan menghubungkan Taman East Coast dengan Pantai Changi merentasi New Upper Changi Road dan Loyang Way.
Laluan baru itu akan menambah laluan-laluan alam semula jadi sedia ada sepanjang 130 kilometer di merata negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.