Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

30% tempat letak kereta HDB akan ada tempat cas EV jelang hujung 2023

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kumpulan pertama enam tempat mengecas kenderaan elektrik (EV) di bawah tender berskala besar Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mula beroperasi pada Rabu (22 Feb), di dua tempat letak kereta awam di Telok Blangah dan Boon Lay, dengan tiga tempat mengecas di setiap lokasi.

Tender untuk memasang tempat mengecas EV itu meliputi hampir 2,000 tempat letak kereta Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) .

Tempat mengecas di tempat letak kereta itu masing-masing dikendalikan oleh ChargEco dan Charge+.

Bercakap kepada pemberita di majlis pelancaran itu, Menteri Pengangkutan S Iswaran memuji pemasangan kumpulan pertama tempat mengecas tersebut sebagai perkembangan penting dalam usaha Singapura untuk membangunkan ekosistem kenderaan elektrik.

“Seperti yang kita semua tahu, salah satu keprihatinan ialah mengenai apa yang dipanggil sebagai kebimbangan jarak jauh; ‘Di mana boleh saya dapatkan khidmat caj seterusnya?’” kata Encik Iswaran.

"Dengan menyediakan tempat mengecas EV di seluruh negara, terutamanya di HDB (tempat letak kereta), kami berharap dapat menghapuskan kebimbangan itu dan oleh itu menggalakkan penggunaan yang lebih besar."

Semua tempat mengecas di tempat letak kereta HDB adalah caj perlahan. Satu caj boleh bertahan kira-kira lima hari berdasarkan purata jarak perjalanan 48 kilometer sehari.

Pemandu boleh mencari tempat mengecas terdekat mereka melalui  aplikasi MyTransport.SG.

2,000 lagi tempat mengecas meliputi satu pertiga – atau lebih daripada 700 tempat letak kereta HDB dijangka disediakan menjelang akhir tahun, sejajar dengan matlamat Singapura untuk mempunyai sekurang-kurangnya 12,000 tempat mengecas EV menjelang 2025, tambah LTA.

Buat masa ini, ada lebih 3,600 tempat mengecas EV di seluruh negara.

Pada 2022, pendaftaran kereta elektrik membentuk 11.8 peratus daripada semua pendaftaran kereta baru, kata LTA.

Singapura kini mempunyai lebih 6,500 kereta elektrik berdaftar, dan hampir 10,000 EV termasuk kelas kenderaan lain.

“Kami telah menyaksikan peningkatan yang sangat ketara dalam kadar penerimaan EV. … Saya fikir ia adalah gabungan faktor termasuk ramai penumpang atau pembeli telah menilai dan mendapati bahawa cadangan bagi kenderaan elektrik ada nilainya juga,” tambah Encik Iswaran.

ANAK SYARIKAT BARU DIBENTUK

Dalam usaha memantau pemasangan EV di seluruh tempat letak kereta awam, sebuah anak syarikat yang dipanggil EV-Electric Charging Pte Ltd telah ditubuhkan.

Dimiliki sepenuhnya oleh LTA, anak syarikat itu akan bekerjasama rapat dengan lima pemenang tender dan agensi pemerintah untuk merancang dan menguruskan pemasangan tempat  mengecas EV, kata LTA.

Anak syarikat itu juga akan "menyelaraskan kerja-kerja naik taraf  prasarana elektrik sokongan untuk khidmat mengecas EV", tambah pihak berkuasa itu.

Encik Iswaran menarik perhatian pelbagai jenis tempat letak kereta sebagai faktor penting dalam fasa awal sekarang.

"Tempat letak kereta terbuka, tempat letak kereta bertingkat, tempat letak kereta yang lebih baru di mana terdapat infrastruktur elektrik yang mencukup dan tidak terdapat di kemudahan yang lama," jelasnya.

“Jadi kita perlu mencari jalan untuk menghuraikan masalah ini, kerana ia menjadi templat untuk pelaksanaan seterusnya. Jadi tempoh awal ini penting dalam hal tersebut.”

Sumber : CNA/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan