Skip to main content

Singapura

30 pereka beri nafas baharu kepada kebaya, ada guna bahan 'knitwear' dan moden

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Nov 2023 06:34PM Dikemas Kini : 09 Nov 2023 10:41AM
SINGAPURA: Seramai 30 pereka fesyen tempatan bergabung untuk memberi idea dan nafas baharu bagi busana kebaya.

Jika lazimnya menggunakan bahan seperti kain les dan batik, para pereka tersebut mencabar diri mereka untuk menggunakan bahan-bahan tidak konvensional untuk rekaan kebaya mereka yang diperagakan di sebuah acara makan malam dianjurkan Majlis Fesyen Singapura pada Khamis (12 Okt).

Dengan tema, 'Kebaya, Re-imagined', rekaan-rekaan tersebut diperagakan sempena acara Singapore Stories 2023 di Hotel Pan Pacific.

Majlis tersebut juga diadakan untuk meraikan pembukaan semula Muzium Peranakan dan Lembaga Warisan Negara (NHB) dalam pencalonan berbilang negara untuk menyenaraikan kebaya sebagai Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO.
REKA KEBAYA GUNA KAIN KAIT, CETAKAN CORAK DIGITAL

Antara bahan bukan konvensional yang digunakan termasuk kain yand kait atau 'knitwear' yang bergetah seperti dalam rekaan pengasas label fesyen, NUDE FEMME, Adelyn Putri.

Menurutnya, ini adalah kali pertama kain jenis kait digunakan untuk membuat kebaya.

Namun, ia juga merupakan cabaran terbesar untuk menghasilkan rekaan kebayanya.
Related article image
(Gambar: Nurfazirah Azman)
Rekaannya menonjolkan corak rama-rama, burung dan bunga yang dihasilkan melalui cetakan digital.

"Ini kali pertama saya bekerja dengan 'knit wear', selalunya saya buat rekaan saya dengan kain tenunan dan juga pertama kali saya bekerjasama dengan kilang tekstil yang membuat cetakan digital," kata Cik Adelyn.

"Disebabkan kesempitan masa untuk menghabiskan pakaian ini, kita cuma ada masa dalam sebulan dua bulan untuk memastikan cetakan digital ini sebati, serata. Saya tidak boleh ke China, kami hanya boleh berhubung melalui emel, gambar dan video untuk memastikan cetakannya sebati," tambah beliau

Menurut beliau, inspirasi rekaan kebayanya datang daripada seorang pereka asal Belanda.
kebayawork1
"Rekaan saya ini menggunakan cat air yang saya kaji daripada Internet kerana ia menyerupai inspirasi saya iaitu daripada batik Belanda, Eliza van Zuylen dan bila kita meneroka zaman dahulu, batik Belanda sebenarnya adalah satu inovasi juga dan ia dibuat daripada cara-cara batik tradisional tetapi dibuat dengan corak motif Belanda dari Eropah," ujar Cik Adelyn.

Menariknya, kebaya yang dihasilkan adalah gabungan kain batik dan baju kebaya.

"Saya tidak lari jauh daripada bentuk-bentuk dan gaya kebaya, saya cuma cantumkan kebaya top dengan kain balik. Selalunya bila kita fikirkan kebaya kita fikirkan kain batik jadi corak dan motifnya saya gunakan batik sebagai keseluruhan 'dress' ini dan saya gabungkan sebagai 'dress' panjang," kata Cik Adelyn.
Related article image
Beliau yang bekerja separuh masa sebagai guru aktiviti kokurikulum (CCA) Rekaan Fesyen di Raffles Instituition, berharap agar rekaannya dapat dikembangkan ke luar negara.

Cik Adelyn juga menanam harapan agar boleh menjadi peran contoh dan inspirasi buat para pelajarnya.

GUNA TEKNIK 'DRAPING' DAN 'VOLUME' DALAM KEBAYA

Bagi Khairina Sari Ramlan pula, rekaan kebayanya lebih cenderung kepada busana pengantin atau 'bridal' yang menggunakan teknik 'draping' dan juga 'volume'.

Pereka berusia 25 tahun ini mahu memenuhi jurang dalam pasaran bagi rekaan kebaya moden dan mengambil ilham daripada rekaan klasik.
Related article image
"Jadi saya mulakan kajian saya ini dengan ikon kebaya seperti Saloma sebagai sumber inspirasi utama. Jadi kebaya yang digayakan oleh Saloma itu adalah dengan korset sebagai pakaian dalam, jadi untuk baju saya ini saya ingin mencantumkan korset dengan kebayanya sekali untuk menjadi satu. Saya juga menggabungkan keistimewaan reka bentuk saya sendiri iaitu 'draping' dan pakaian dengan 'volume' yang besar-besar dengan elemen tradisional yang sudah ada dalam kebaya ini," kata Cik Khairina.

Beliau akur mereka busana kebaya yang lain daripada lain bukanlah mudah.

"Yang paling mencabar ialah untuk menggabungkan kepakaran dan kemahiran saya sendiri untuk menjadi sesuatu yang moden dan unik daripada pereka lain. Ini membolehkan saya meneroka dan mendedahkan gaya putih saya sendiri yang masih mengekalkan intipati kebaya itu,"ujar Cik Khairina.

Melangkah ke hadapan, beliau bercita-cita untuk menghasilkan jenamanya sendiri.
kebayawork2
"Untuk masa hadapan, saya harap satu hari nanti, saya mempunyai label saya sendiri yang menjual pakaian pengantin sedia untuk diguna kerana saya mendapati terdapat kekurangan jenama pengantin seperti ini terutamanya di Singapura," ujar Cik Khairina.

Beliau juga akan menyulamkan elemen kemampanan dalam perniagaannya nanti di mana pengantin perempuan boleh mengubah gaun mereka menjadi rekaan lain yang boleh dipakai secara santai atau majlis-majlis khas seperti Hari Raya.

Buat masa ini, Khairina sibuk memenuhi beberapa tempahan khas dan projek-projek.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita