Skip to main content

Singapura

30 Pejuang Kesihatan Masyarakat dilatih dekati penduduk, galak jalani saringan kesihatan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Oct 2026 04:21PM Dikemas Kini : 06 Nov 2026 02:11AM
30 Community Health Champions trained to reach out to residents and encourage them to undergo health screening
  • A total of 30 volunteers were trained by SingHealth as Community Health Champions, as announced by Zaqy Mohamad at KKSB Marsiling-Yew Tee on Oct 11.
  • The PA MESRA initiative with SingHealth will kick off in South East Singapore to encourage health screening through the trust placed in neighbours, mosques and community volunteers.
  • Amatul Jameel Suhani Sujari said the training provides information, not medical expertise, with a focus on trust, empowerment and sustainability.
  • The event, organised by PA at 12 M³@Bandar drew more than 5,000 participants through exercise, health checks and guidance on healthy eating.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Seramai 30 sukarelawan akan dilatih sebagai kumpulan perintis Pejuang Kesihatan Masyarakat bagi mendekati penduduk dan menggalak mereka mengambil langkah awal menjaga kesihatan.

Inisiatif tersebut diumumkan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamad di acara sulung Kasih Keluarga, Sihat Bersama (KKSB) di Marsiling-Yew Tee pada Ahad pagi (11 Okt).

Acara itu turut diadakan serentak di 11 lagi M³@Bandar.

Pejuang Kesihatan Masyarakat itu diharap dapat mendampingi penduduk untuk lebih proaktif dalam menjaga kesihatan mereka.

Encik Zaqy berkata, "Mereka akan bekerjasama dengan M³@Bandar serta rakan-rakan masjid untuk menggalak penduduk menjalani saringan kesihatan, membantu mereka memahami sokongan yang tersedia dan menjadikan penjagaan kesihatan pencegahan sesuatu yang lebih mudah didekati."

"Ini kerana kadangkala, individu yang mendorong kita untuk mengambil langkah pertama itu bukanlah seorang doktor atau pegawai, sebaliknya seseorang yang kita kenali, mungkin jiran, rakan atau seseorang dari masjid atau masyarakat kita," tambah beliau.
 

Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamad mendekati para penduduk Marsiling Yew Tee di acara Kasih Keluarga, Sihat Bersama (Gambar: Nurhelmy Hakim)

Encik Zaqy menarik perhatian bahawa sokongan perlu dibawa lebih dekat kepada penduduk menerusi kawasan kejiranan dan ruang masyarakat yang sudah biasa mereka kunjungi.

Ini termasuk mendengar keperluan penduduk dan menghimpunkan rakan-rakan yang sesuai untuk menyediakan sokongan diperlukan.

MANFAATKAN KEPERCAYAAN UNTUK GALAK PENDUDUK JALANI SARINGAN KESIHATAN

Sebagai permulaan, kumpulan perintis Pejuang Kesihatan itu akan berkhidmat dahulu di daerah Tenggara Singapura.

Mereka juga hadir di acara KKSB M³+@Geylang Serai pagi tadi untuk mendampingi masyarakat.

Inisiatif oleh PA MESRA dengan kerjasama SingHealth itu antara lain bertujuan menggalak penduduk menjalani saringan kesihatan.

Dalam hal itu, Pengerusi Majlis PA MESRA, Amatul Jameel Suhani Sujari menambah: "Salah satu apa yang kita lihat di kalangan para penduduk, ramai yang teragak-agak untuk membuat langkah pertama untuk memeriksa kesihatan mereka, Walaupun mereka sudah menjangkau umur yang sepatutnya mereka sudah membuat beberapa saringan, tetapi mereka ragu-ragu dan takut."

"Jadi tujuan kami, adalah untuk mengenal pasti para relawan yang mereka sudah kenali di ruang yang selalu berinteraksi. Misalnya di masjid-masjid, mereka boleh memberikan kesedaran kepada teman-teman mereka di masjid yang mungkin jarang ke kegiatan masyarakat," tambahnya.

Kumpulan perintis seramai 30 individu itu menjalani latihan dengan SingHealth.

Cik Amatul menegaskan bahawa latihan tersebut bukan bertujuan menjadikan mereka pakar perubatan, sebaliknya melengkapkan mereka dengan maklumat yang sesuai untuk dikongsi bersama penduduk.

Beliau berkata pendekatan tersebut berteraskan tiga perkara iaitu kepercayaan, pemerkasaan dan kemampanan.

"Pertama ialah kepercayaan. Para relawan ini sudah lama mengenali penduduk, jadi kepercayaan itu sudah ada. Mereka akan berasa lebih yakin kerana mereka kenal orang itu.

"Kedua, memperkasa diri sendiri. Dengan adanya maklumat, para penduduk yang menerimanya akan dapat memperkasakan diri mereka. Dengan kesedaran itu, mereka mungkin tergerak untuk menjaga diri dan keluarga mereka," kata Cik Amatul.

Teras ketiga pula ialah memastikan inisiatif tersebut dapat dikembangkan secara mampan.

Memandangkan ia merupakan inisiatif baharu, Cik Amatul berkata maklum balas daripada kumpulan perintis itu akan diteliti bagi menyesuaikan program untuk kohort seterusnya dan pelaksanaannya di kawasan-kawasan lain.

KASIH KELUARGA SIHAT BERSAMA DISERTAI LEBIH 5,000 PESERTA MERENTASI 12 M³@BANDAR

Acara Kasih Keluarga, Sihat Bersama (KKSB) merupakan inisiatif oleh Persatuan Rakyat (PA) bagi menyokong Bidang Tumpuan 5 M³+ (FA5).

Buat julung-julung kalinya, program itu dianjurkan secara serentak di kesemua 12 M³@Bandar pada Ahad (11 Okt).

Ia dilaksanakan dengan kerjasama pertubuhan Melayu/Islam, Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), masjid serta rakan-rakan masyarakat.

Lebih 5,000 peserta daripada masyarakat Melayu/Islam mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan, termasuk berjalan kaki, cabaran kecergasan dan pemeriksaan kesihatan.

Di M³+@Bedok misalnya, para peserta termasuk warga emas mengikuti sesi Zumba Kerusi, iaitu senaman berimpak rendah yang memberi tumpuan kepada kesihatan jantung.

Sementara itu, di Marsiling-Yew Tee pula, Cef Mel Dean berkongsi dengan para hadirin cara masakan sihat rendah natrium bagi menggalak amalan pemakanan lebih sihat untuk membantu mencegah penyakit buah pinggang kronik (CKD).

Bagi penduduk seperti Encik Hardi Mustaffa, seorang bapa dua anak, acara sedemikian memberi peluang kepada keluarga untuk mengetahui lebih lanjut tentang langkah-langkah yang boleh diambil bagi menjaga kesihatan bersama.

Encik Hardi berkata: "Ada seorang doktor daripada MTFA tadi yang memberitahu kami bahawa satu daripada tujuh rakyat Singapura akan mengalami penyakit buah pinggang. Jadi, kita dapat tahu bagaimana untuk mencegahnya — dengan bersenam, makan makanan sihat, mengurangkan garam dan makanan berminyak serta menjalani pemeriksaan kesihatan, terutama apabila usia semakin meningkat."

Encik Hardi menambah, program masyarakat sebegitu juga dapat membantu mengubah tanggapan sesetengah golongan berusia terhadap pemeriksaan kesihatan.

"Acara sebegini bagus kerana orang yang berusia kadangkala malu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan kerana takut mengetahui tentang penyakit mereka tetapi menerusi acara sebegini, kita boleh belajar bagaimana untuk memujuk mereka dan memberi kata-kata galakan supaya mereka mengambil langkah pencegahan." ujar beliau.

Bagi seorang lagi penduduk, Cik Halijah Haron, 69 tahun, kegiatan seperti senaman dan pemeriksaan kesihatan dapat membantunya untuk terus aktif dan memantau keadaan kesihatannya.

Cik Halijah berkata: "Kita perlu jaga kesihatan. Saya tidak rasa takut untuk buat saringan kesihatan sebab nak pastikan saya tidak ada penyakit. Kita perlu beritahu kawan-kawan supaya mereka juga dapat menjaga kesihatan dengan lebih baik."

Dengan acara seperti KKSB, anggota keluarga diharap menjadi lebih peka dan mendorong satu sama lain untuk menjalani gaya hidup lebih sihat.

Secara keseluruhan, acara KKSB di 12 M³@Bandar itu berjaya menarik 5,000 penduduk.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita