Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

30 duta Dian@M³ lengkapi diri dengan kemahiran tentang pembangunan awal kanak-kanak; cara-cara dampingi keluarga susah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pengalaman menjadi seorang guru prasekolah dan pelajar-pelajar berkeperluan khas di sekolah rendah selama 10 tahun membuatkan Cik Eryannie Mohd Sah minat dan prihatin akan pembangunan kanak-kanak dari peringkat awal. 

Meskipun beliau kini sudah meninggalkan kerjaya tersebut, suri rumah sepenuh masa berusia 42 tahun itu masih mahu terus menyumbang dalam bidang berkenaan. 

Keprihatinan itulah yang mendorong beliau untuk meluangkan masa dan tenaga sebagai sukarelawan di bawah Projek DIAN@M³ bagi membantu keluarga-keluarga yang menetap di flat sewa.  

"Saya ingin menjadi teman bicara untuk keluarga yang memerlukan. Saya juga ingin membantu keluarga ibu bapa untuk mempelajari cara yang betul untuk membantu anak-anak mereka dalam kehidupan, dalam pelajaran mereka," kata Cik Eryannie.

Beliau merupakan antara sekitar 30 orang duta program itu yang menjalani sesi latihan pertama mereka pada Ahad (24 Jul).

Selain diharap dapat memperkasa dan memberi dorongan kepada ibu bapa keluarga yang dibantu bagi pembangunan anak-anak mereka, para duta juga diharap dapat memupuk minat membaca dan membantu kanak-kanak mempersiapkan diri untuk ke prasekolah.

(Gambar: PA MESRA)

Ini memandangkan kajian menunjukkan bahawa 90 peratus otak kanak-kanak sudahpun berkembang sebelum mereka mencapai usia lima tahun seperti yang dikongsi oleh jurulatih bengkel itu tadi.  

Oleh itu, asas yang kukuh perlu dipupuk sejak awal lagi demi pembangunan mereka pada masa hadapan.

"Saya dapat berkongsi dengan ibu bapa cara yang betul untuk membantu dan mengubah suai cara mereka mendidik anak-anak mereka di rumah. Jadi mereka dapat membantu anak-anak mereka dengan lebih baik," jelas Cik Eryannie, dengan bersungguh-sungguh.

(Gambar: PA MESRA)

Sebagai permulaan, program akan dilakukan menerusi lawatan rumah ke rumah yang melibatkan 20 isi rumah yang mempunyai anak-anak berusia antara 3 hingga 6 tahun di tiga bandar perintis Projek DIAN@M³ - Bedok, Geylang Serai dan Jalan Besar.

"Saya rasa teruja untuk memulakan perjalanan ini bersama ibu bapa untuk membantu mereka," ujar Cik Eryannie.

PERKEMBANGAN PENTING DALAM PROJEK DIAN@M³

Para duta seperti Cik Eryannie diperlukan menjalani dua sesi bengkel untuk membolehkan mereka menjadi pendamping yang berkesan bagi keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan. 

Inisiatif tersebut dianjurkan oleh Pejabat Penyelarasan Penglibatan Masyarakat M³.

Dalam sesi pertamanya hari ini (24 Jul), para duta dibimbing dengan pemahaman asas tentang kepentingan pembangunan awal, cara-cara mendampingi keluarga-keluarga yang mempunyai anak kecil di flat sewa serta tip untuk mendampingi anak-anak kecil.

(Gambar: PA MESRA)

Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Penasihat Program M³, Dr Mohamad Maliki Osman yang turut menyertai sesi bengkel yang dijalankan di Balai Rakyat Pek Kio itu menyifatkan usaha tersebut sebagai satu pencapaian atau 'milestone' dalam usaha Projek Dian.

"Sasaran hari ini ialah untuk memberi kepakaran dan kemahiran kepada para duta kita supaya mereka berasa yakin, diperkasa untuk mendekati keluarga-keluarga ini supaya mereka dapat menunjukkan bahawa mereka juga memahami selok-belok perkembangan anak-anak kecil dan bagaimana mereka boleh meyakinkan ibu bapa juga bahawa ibu bapa boleh memainkan peranan yang penting dan boleh meningkatkan kemahiran dan kebolehan mereka juga," kata Dr Maliki yang juga Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar.

PROGRAM PENILAIAN DENGAN SUSS UNTUK UJI KEBERKESANAN PROGRAM

Dr Maliki berharap semangat dan kegigihan yang dipamerkan para duta seperti Cik Eryannie itu akan dapat bantu mencungkil kebolehan kedua-dua ibu bapa dan anak-anak mereka.

"Apa yang kita berikan hari ini dari segi kandungan ataupun apa yang mereka harus tahu tentang pendidikan anak-anak, perkembangan otak anak-anak dan apabila mereka mendekati anak-anak ini, mereka menunjukkan kemahiran bagaimana berbual dengan anak-anak," kata Dr Maliki.

Bagi memastikan usaha Projek DIAN@M³ ini berkesan dalam membantu keluarga-keluarga itu, Dr Maliki berkongsi bahawa satu Program Penilaian juga akan dilakarkan menerusi satu kerjasama dengan para profesor di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS). 

"Mereka akan membantu kita menunjukkan keberkesanan supaya selepas program perintis ini kita dapat meningkatkan program ini kepada lebih ramai lagi keluarga-keluarga yang mungkin dapat memanfaatkan lagi program ini," tambah Dr Maliki.

Pada akhir sesi hari ini (24 Jul), para relawan digandingkan secara berpasangan dan dipadankan dengan sebuah keluarga di bawah Projek DIAN@M³.

Program sokongan di rumah tersebut dijangka akan bermula pada Ogos ini selama enam bulan.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan