Skip to main content

Singapura

30 dipindahkan susuli kebakaran kedai kopi Bukit Batok

Anggaran Waktu Membaca:
 30 dipindahkan susuli kebakaran kedai kopi Bukit Batok

Anggota Parlimen GRC Jurong East-Bukit Batok, Lee Hong Chuang, di tempat kejadian kebakaran pada 11 Oktober 2026. (Gambar: Facebook/Lee Hong Chuang)

Diterbitkan : 11 Oct 2026 08:39PM
30 evacuated following fire at Bukit Batok coffee shop
  • A fire early on Sunday morning at a coffee shop on the ground floor of Block 413, Bukit Batok West Avenue 4, involved items in three food stalls.
  • SCDF was alerted at about 3.50am, with forced entry required and the fire extinguished using two water jets.
  • The police and SCDF evacuated about 30 people as a precaution, while one person was taken to Ng Teng Fong General Hospital.
  • Lee Hong Chuang expressed sympathy to the affected owners, stallholders and workers, while advising one family to be careful because the floor of their unit felt hot.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Kebakaran di sebuah kedai kopi di Bukit Batok pada awal pagi Ahad (11 Okt) menyebabkan kira-kira 30 orang dipindahkan, manakala seorang lagi dibawa ke hospital.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran di Blok 413 Bukit Batok West Avenue 4 pada sekitar pukul 3.50 pagi.

Kebakaran itu melibatkan barangan di tiga gerai makanan di kedai kopi yang terletak di tingkat bawah blok tersebut. Pasukan bomba terpaksa membuka laluan masuk secara paksa sebelum memadamkan kebakaran menggunakan dua jet air.

Sebagai langkah berjaga-jaga, polis dan SCDF memindahkan kira-kira 30 orang dari blok berkenaan. Seorang individu dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong.

Punca kebakaran masih disiasat, menurut SCDF.

Anggota Parlimen GRC Jurong East-Bukit Batok, Lee Hong Chuang, dalam catatannya di Facebook pada petang Ahad, melahirkan rasa simpati kepada pemilik kedai kopi, pengusaha gerai, pekerja mereka serta semua yang terjejas akibat kejadian itu.

Encik Lee, yang mengunjungi tempat kejadian selepas mendapat tahu mengenai kebakaran tersebut, berkata insiden itu kelihatan tidak membawa "kesan ketara terhadap penduduk yang tinggal di tingkat dua".

"Bagaimanapun, di sebuah unit, saya dapat merasakan lantainya agak panas," katanya.

"Saya menasihati keluarga tersebut supaya lebih berhati-hati dan memastikan anak kecil mereka tidak berada di lantai dapur buat sementara waktu kerana kulit kanak-kanak lebih sensitif kepada haba."

"Selain kerosakan fizikal di kedai kopi itu, kita juga harus bersimpati dengan mereka yang kehidupan dan mata pencarian mereka terjejas," tambah beliau.

"Di sebalik setiap gerai, terdapat individu dan keluarga yang bekerja keras dan memerlukan masa untuk membersihkan kawasan serta memulakan semula perniagaan mereka."
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita