Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

30 anak bekas pesalah terima pakej keperluan sekolah dan lawatan ke Taman Di Persisiran

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 30 anak bekas pesalah hari ini (23 Dis) menerima pakej keperluan sekolah dan keluarga mereka juga menerima baucar SingapoRediscover bernilai lebih S$200.

Baucar tersebut digunakan mereka dalam lawatan ke Taman Di Persisiran bersama FITRAH siang tadi. 

Inisiatif itu merupakan yang pertama seumpamanya oleh FITRAH bagi mengeratkan lagi hubungan antara bekas pesalah dan keluarga mereka bersama para sukarelawan. 

Antara penerima pakej tersebut ialah Nur Azizah Abdul Gafar, seorang penerima bantuan FITRAH.

Sejak dibebaskan dari penjara pada Januari tahun ini, ini merupakan kali pertama Cik Azizah mempersiapkan dan menyediakan keperluan anak-anaknya untuk ke sekolah. 

RINGANKAN BEBAN DENGAN PEMBERIAN PAKEJ KEPERLUAN SEKOLAH

Namun, dengan pemberian pakej 'Back-to-School' di bawah FITRAH, satu program oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), perasaan gementar itu berubah menjadi syukur kerana beban kewangan Cik Azizah, yang merupakan pencari nafkah tunggal keluarganya, dapat diringankan. 

Dilengkapi dengan barang-barang keperluan sekolah termasuk set alat tulis, baucar dan kad Ezlink dengan nilai S$10, ibu kepada tujuh orang anak ini dapat menghela nafas lega kerana tidak perlu mengetepikan pendapatannya untuk keperluan tersebut.

"Bantuan ini adalah satu permulaan yang baik kerana saya baru sahaja keluar dari penjara. Saya masih sedang belajar untuk menjadi ibu yang baik," kongsi Cik Azizah yang baru sahaja mula bekerja di RedMart sebagai seorang pembantu operasi. 

Lagi 10 keluarga lain turut menerima pakej keperluan sekolah serupa.

Mereka turut berpeluang meluangkan masa bersama keluarga di Taman Di Persisiran siang tadi, dengan setiap keluarga diberikan baucar SingapoRediscover bernilai lebih S$200 yang didermakan oleh orang awam menerusi Corporate Alliance for Good. 

"Anak-anak saya pun gembira sebab kami tidak ada rancangan cuti sekolah untuk anak-anak. Jadi bila FITRAH memberitahu kami bahawa mereka ingin membawa saya dan keluarga ke Taman Di Persisiran, ia saat yang membahagiakan buat saya dan anak-anak dan mereka sangat teruja," lafaz Cik Azizah. 

Pakej keperluan sekolah dengan lawatan ke Taman Di Persisiran ini sebahagian daripada usaha FITRAH yang ditubuhkan bagi menyediakan sokongan menyeluruh dan bersepadu bagi para pesalah dan keluarga mereka. 

ERATKAN HUBUNGAN BEKAS PESALAH DAN KELUARGA BERSAMA SUKARELAWAN MASYARAKAT 

Selain meluangkan masa bersama ahli keluarga, lawatan hari ini (23 Dis) juga bertujuan mengeratkan lagi hubungan mereka dengan para pendamping masyarakat. 

Bagi Ernie Indrawati Ramlan, seorang pendamping masyarakat bersama FITRAH, acara sebegini memang satu usaha yang baik kerana ia dapat mengumpulkan para relawan dengan keluarga bekas pesalah. 

"Kanak-kanak tadi memang nampak ceria. Mereka sangat kagum dengan keindahan yang ada di persekitaran taman ini, dengan perhiasan-perhiasan yang disediakan," menurut Cik Ernie yang juga seorang pendamping masyarakat bagi keluarga Cik Azizah. 


Bagi Cik Ernie, membina hubungan erat antara bekas pesalah dan keluarga mereka bersama relawan masyarakat amat penting.

"Apa yang mereka (bekas pesalah) inginkan adalah seseorang untuk memimpin tangan mereka dan berada di samping mereka," kongsi Cik Ernie. 

Beliau menambah, "Kita mungkin tidak dapat berada di samping mereka 24 jam tetapi apabila kita berhubung dengan mereka, mereka akan sedar bahawa ada juga orang yang ada untuk mereka."

Turut hadir untuk memberi pakej keperluan kepada bekas pesalah dan keluarga mereka serta memberi ucapan dalam majlis yang sama ialah Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Beliau sempat melahirkan penghargaannya buat FITRAH dan rakan-rakan kongsinya serta para sukarelawan atas dedikasi mereka membantu bekas pesalah dan keluarga mereka. 

FITRAH TERIMA DAN MELATIH LEBIH 330 SUKARELAWAN SEBAGAI PENDAMPING 

Dr Faishal turut menyentuh tentang peranan penting yang dimainkan oleh FITRAH dalam menyokong bekas pesalah dan keluarga mereka ini. 

Ini termasuk menerima dan melatih lebih 330 sukarelawan sebagai pendamping masyarakat.

"Para pendamping masyarakat ini dipersiapkan dengan kemahiran seperti Kemahiran Asas Kaunseling. Dengan kemahiran ini, mereka dapat memberikan sokongan emosi
dan semangat positif kepada mereka yang memerlukan bantuan," kata Dr Faishal. 

Beliau juga menjelaskan bahawa permintaan meningkat bagi khidmat pendamping masyarakat mencerminkan betapa mereka yang dibantu akur akan keberkesanan khidmat berkenaan dalam membantu menjadi jambatan buat mereka kepada sokongan rangkaian sosial. 

Di samping itu, Timbalan Pengarah Pejabat FITRAH, Encik Mohamed Farik Omar turut berbesar hati melihat ramai yang tampil ke hadapan untuk menjadi sukarelawan atau pendamping bagi FITRAH dan menyambut baik kedatangan mereka.

"Kita sentiasa ingin memberikan bantuan pertolongan kepada bekas pesalah dan keluarga mereka dan mahu mereka tahu bahawa di luar sana, masyarakat ingin membantu mereka," ujar Encik Farik. 

FITRAH juga berharap agar badan-badan lain akan terus bekerjasama dengan mereka demi menyediakan keperluan dan bantuan kepada bekas pesalah. 

"Kami ingin melihat bagaimana bantuan-bantuan ini dapat membantu mereka (bekas pesalah) elak daripada mengulang kesalahan demi keluarga mereka dan diri mereka sendiri," menurut Encik Farik.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan