30 aktivis Melayu hadiahkan limau kepada orang-orang Cina di Chinatown
Lazimnya sempena Tahun Baru Cina, orang Cina yang memberikan limau kepada orang Melayu. Namun hari ini (3 Feb), orang Melayu pula yang memberi limau kepada masyarakat Cina di Chinatown.
SINGAPURA: Lazimnya sempena Tahun Baru Cina, orang Cina yang memberikan limau kepada orang Melayu. Namun hari ini (3 Feb), orang Melayu pula yang memberi limau kepada masyarakat Cina di Chinatown.
Buat julung-julung kalinya, anggota Majlis Penyelaras Jawatankuasa Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA) berbuat demikian dalam usaha menghidupkan semangat berbilang kaum dan agama yang lebih mendalam antara kedua-dua masyarakat.
388 BEG LIMAU 'BERTUAH'
Sedang ramai yang lain berehat di rumah pada pagi minggu (3 Feb), 30 sukarelawan MESRA pula sejak 11.00 pagi lagi sibuk membuat persiapan di Kelab Masyarakat Kreta Ayer bagi menyediakan 388 beg berisi dua biji limau dan sampul-sampul duit atau paket merah.
Menurut budaya Cina, angka 3 dan 8 merupakan angka bertuah. Untuk itu, pemberian beg-beg merah tersebut diharap dapat membawa tuah kepada para penerima.
Inisiatif itu juga mewujudkan peluang bagi orang Melayu mempelajari tentang budaya kaum Cina.
Dalam satu sesi perkongsian yang disampaikan oleh anggota Persekutuan Persatuan-Persatuan Suku Kaum Cina Singapura, para sukarelawan Melayu tersebut diberi pencerahan tentang amalan-amalan dan budaya Cina.
Ini termasuklah amalan pemberian paket merah dan makanan tradisional 'lo hei' yang lazimnya disajikan semasa sambutan Tahun Baru Cina.
"Ia memberi saya pengalaman dan peluang baru dan juga saya sangat mengharapkan bahawa ramai lagi belia-belia Melayu kita pada masa depan akan tampil ke hadapan untuk menyertai kegiatan-kegiatan seperti ini," kongsi anggota sukarelawan MESRA, Encik Fauzi Saini.
Namun demikian, MESRA juga boleh dikatakan sambil menyelam minum air.
"Kita juga meletakkan kad informasi mengenai MESRA, MAEC supaya siapa yang membaca dapat memahami apakah peranan yang boleh kita main di Singapura, terutamanya dalam suasana masyarakat majmuk," kongsi Naib Pengerusi MESRA, Cik Amatul Jameel Suhani Sujari.
CERMINAN KEIKHLASAN MELAYU UNTUK FAHAMI KAUM LAIN
Penasihat MESRA, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang menyertai daya usaha ini melahirkan rasa gembira bahawa ini "mencerminkan keikhlasan" masyarakat Melayu untuk mempelajari dan memahami kaum lain.
Beliau malah berharap, bukan MESRA sahaja yang melakukannya.
"Saya harap lebih ramai yang bukan sahaja memahami, tapi akan melakukannya di peringkat individu dan juga di peringkat masyarakat. Saya juga diberitahu bahawa MESRA sudah mempunyai rancangan melakukan program-program seperti ini di masa hadapan," ujar Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang juga Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga.
Bagi inisiatif hari ini, ia nampaknya sudah membuahkan hasil, kerana disambut baik oleh para penerima beg-beg limau berkenaan.
"Saya datang sini ada paket merah, limau yang diberi oleh orang Melayu. Saya gembira, banyak suka, macam dahulu di kampung," kata seorang penerima, Cik Keok Lan yang berusia 70 tahun.
"Saya sangat gembira untuk terima beg-beg ini daripada teman-teman Melayu kita di Chinatown. Selamat Tahun Baru kepada semua," ujar seorang lagi penerima, Encik Chim Keng Hoong.
Dr Faishal menambah bahawa kesediaan para sukarelawan Melayu ini juga membuktikan mereka "mahu keluar" dari hanya bergiat di peringkat masyarakat dan sebaliknya "turun padang" ke peringkat nasional.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.