Skip to main content

Singapura

3 warga asing didakwa pecah masuk rumah di Bukit Timah, curi wang tunai dan barangan bernilai S$684,800

Tiga lelaki didakwa pada Isnin (12 Mei) atas kesalahan memecah masuk ke sebuah rumah di Bukit Timah dan melarikan wang tunai serta barangan lain bernilai S$684,800.

Anggaran Waktu Membaca:
3 warga asing didakwa pecah masuk rumah di Bukit Timah, curi wang tunai dan barangan bernilai S$684,800

Polis Singapura merampas wang tunai dan barang kemas daripada tiga lelaki yang ditangkap pada 11 Mei 2025 kerana disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan mencuri di kawasan Bukit Timah. (Gambar: CNA/Wan Ting Koh)

SINGAPURA: Tiga lelaki didakwa pada Isnin (12 Mei) atas kesalahan memecah masuk ke sebuah rumah di Bukit Timah dan melarikan wang tunai serta barangan lain bernilai S$684,800.

Hernando Giraldo Franco, 60 tahun, warga Sepanyol-Kolombia; Garces Murillo Mateo Andres, 48 tahun, warga Mexico-Kolombia; dan Garcia Iglesias Hector Daniel, 51 tahun, warga Mexico, masing-masing dikenakan satu pertuduhan pecah rumah.

Mereka didakwa memecah masuk ke sebuah rumah berkembar di sepanjang Dunearn Close sekitar pukul 9.55 malam pada 9 Mei.

Berdasarkan dokumen pertuduhan, mereka mencuri wang tunai, barang kemas dan barangan lain termasuk jam tangan berjenama Cartier, Breguet dan Chaumet La Carree.

Franco dan Andres memiliki dua kewarganegaraan. Ketiga-tiga mereka kini direman.

Polis menyatakan pada Ahad bahawa mereka dimaklumkan mengenai kes pecah rumah di kawasan Cluny Park, Dunearn Close dan Eng Neo Avenue antara 9 hingga 10 Mei.

Pihak berkuasa merampas sebuah kereta, sebilah gergaji bulat elektrik, pelbagai barang kemas, serta wang tunai melebihi S$6,000, €3,100 (S$4,500) dan US$6,400 (S$8,300).

Polis memaklumkan bahawa ketiga-tiga suspek berjaya diberkas dalam tempoh 27 jam selepas kes pertama dilaporkan.

Dua daripada mereka – lelaki berusia 60 dan 51 tahun – ditangkap di sepanjang Jalan Kubor di kawasan Lavender, manakala seorang lagi diberkas di Tyrwhitt Road di Jalan Besar.

Polis juga menyatakan bahawa mereka tidak menolak kemungkinan terdapat kes lain yang berkaitan, namun tiada bukti menunjukkan penglibatan sindiket yang lebih besar.

Suspek dipercayai memasuki Singapura dalam satu hingga dua minggu lalu dengan menggunakan pas lawatan sosial.

Siasatan terhadap kes tersebut masih dijalankan.

Jika disabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita