3 warga asing diberkas gara-gara kerja secara haram sebagai pekerja penghantaran
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menjalankan operasi penguatkuasaan terhadap pekerja penghantaran haram dalam beberapa minggu kebelakangan ini, seperti yang dipaparkan dalam petikan skrin dari video pada 18 Ogos 2025. (Gambar: Facebook/Koh Poh Koon)
- Tiga warga asing ditangkap kerana disyaki bekerja secara haram sebagai penghantar makanan, selepas operasi di seluruh negara yang dijalankan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sejak beberapa minggu lalu.
- Kementerian itu juga sedang "menyiasat rakyat tempatan yang bersekongkol dengan warga asing ini untuk melakukan kerja penghantaran haram," kata Dr Koh.
- Salah satu perkara yang difokuskan adalah kebimbangan pekerja platform tentang persaingan yang adil akibat daripada "amalan penyumberan luar dan aktiviti tidak sah" dalam sektor tersebut.
- Warga asing yang bekerja di Singapura tanpa pas kerja yang sah boleh didenda sehingga S$20,000, dipenjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia, Koh Poh Koon, berkata dalam satu catatan Facebook pada Isnin (18 Ogos) bahawa pemeriksaan penguatkuasaan dijalankan selepas menerima aduan dan maklum balas daripada Persatuan Pejuang Pekerja Penghantaran Kebangsaan (NDCA) mengenai lokasi-lokasi di mana pekerja warga asing sedemikian tertumpu. Catatannya turut disertakan dengan sebuah video pemeriksaan yang dijalankan.
Sekitar 375 pekerja penghantaran diperiksa sepanjang operasi MOM. Tiga warga asing ditahan dan kini sedang disiasat kerana disyaki bekerja secara haram sebagai penghantar makanan.
Kementerian itu juga sedang "menyiasat rakyat tempatan yang bersekongkol dengan warga asing ini untuk melakukan kerja penghantaran haram," kata Dr Koh.
Bulan lalu, Mediacorp menyoroti isu warga asing yang bekerja secara haram sebagai penghantar di Singapura dan bagaimana ia memberi kesan kepada penghantar lain yang mencari rezeki secara sah.
Isu hangat ini kini sedang dikaji oleh Kumpulan Perikatan Tiga Pihak Pekerja Platform, yang ditubuhkan pada Julai. Kumpulan itu menyatakan ia berhasrat mengemukakan cadangannya menjelang akhir tahun ini.
Salah satu perkara yang difokuskan adalah kebimbangan pekerja platform tentang persaingan yang adil akibat daripada "amalan penyumberan luar dan aktiviti tidak sah" dalam sektor tersebut.
Mengenai tindakan penguatkuasaan baru-baru ini, Dr Koh berkata: "Operasi ini penting untuk mencegah kerja platform haram, walaupun Kumpulan Perikatan Tiga Pihak Pekerja Platform sedang membangunkan cadangan mereka.
"Kami akan terus bekerjasama dengan NDCA dalam melaksanakan pemeriksaan penguatkuasaan bagi melindungi kepentingan pekerja penghantaran kami."
Setiausaha eksekutif NDCA, Andy Ang, berkata persatuan itu "sentiasa berhubung dan menerima maklum balas daripada para penghantar makanan".
"Kami pula berkongsi maklum balas ini dan maklumat seperti lokasi di mana pekerja asing sedemikian tertumpu dengan MOM," katanya.
Beliau menambah bahawa NDCA akan terus bekerjasama dengan MOM untuk mengadakan lebih banyak pemeriksaan di lokasi yang berbeza.
NDCA merupakan sebuah persatuan bersekutu dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) yang mewakili pekerja bebas yang bekerja sebagai penghantar makanan atau bungkusan.
Warga asing yang bekerja di Singapura tanpa pas kerja yang sah boleh didenda sehingga S$20,000, dipenjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Jika sabit kesalahan, mereka akan diharamkan secara kekal daripada bekerja di Singapura, menurut MOM sebelum ini.
Rakyat tempatan yang membenarkan warga asing menggunakan akaun mereka untuk bekerja secara haram juga boleh dikenakan hukuman yang sama.
Mediacorp sudah menghubungi MOM untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai operasi penguatkuasaan itu, termasuk bila dan di mana warga asing tersebut ditahan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.