3 warga asing diberkas berhubung kes pecah rumah di kawasan Bukit Timah
Polis Singapura merampas wang tunai dan barang kemas daripada tiga lelaki yang ditahan pada 11 Mei 2025 kerana disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan mencuri di kawasan Bukit Timah. (Gambar: CNA/Wan Ting Koh)
SINGAPURA: Tiga lelaki ditahan pada Ahad (11 Mei) kerana disyaki terlibat dalam tiga kes pecah rumah dan mencuri di tiga unit rumah privet di kawasan Bukit Timah secara berasingan beberapa hari lalu.
Semasa taklimat media pada Ahad, Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan pihaknya dimaklumkan mengenai kes di Cluny Park, Dunearn Close dan Eng Neo Avenue antara 9 Mei dengan 10 Mei.
Tiga lelaki terbabit merupakan warga Sepanyol/Colombia berusia 60 tahun, warga Mexico berusia 51 tahun dan warga Mexico/Colombia berusia 48 tahun.
Mereka akan didakwa di mahkamah pada Isnin (11 Mei).
Polis berjaya menemukan sebuah kereta, gergaji pekeliling (circular power saw), barang kemas dan wang tunai lebih S$6,000, 3,100 euro (S$4,970)dan AS$6,400 (S$8,300) daripada ketiga-tiganya suspek.
Mereka bertiga ditahan dalam tempoh 27 jam selepas kes pertama dilaporkan, menurut polis.
Dua daripada mereka ditangkap di Jalan Kubor di kawasan Lavender, manakala suspek ketiga diberkas di Tyrwhitt Road di Jalan Besar.
Para pegawai daripada pelbagai jabatan mengenal pasti identiti suspek melalui siasatan di tempat kejadian serta dengan bantuan rakaman CCTV dan kamera polis.
Polis menyatakan pihaknya tidak menolak kemungkinan ketiga-tiga kes ada kaitan dengan kes-kes lain, namun menambah bahawa tiada bukti yang menunjukkan ada sindiket lebih besar terlibat.
Ini adalah kes terbaharu dalam beberapa rompakan hartanah yang berlaku sejak pertengahan tahun lalu.
Antara awal Jun hingga Ogos 2024, 10 kes dilaporkan di estet perumahan privet di sekitar Koridor Rel dan Jalan Bukit Timah, dengan nilai barangan yang dicuri berjumlah S$3.85 juta.
Tiga suspek sudah ditahan berikutan kes-kes tersebut, sementara lebih ramai masih diburu.
Lebih banyak kes pecah masuk rumah dilaporkan berlaku di kawasan Holland dan Pasir Panjang pada Disember tahun lalu, dengan dua suspek kemungkinan ada kaitan dengan sindiket kes yang pernah ditahan sebelumnya.
Dalam kes-kes berkenaan, suspek didapati beroperasi dalam kumpulan kecil, memasuki Singapura menggunakan pas lawatan sosial dan meninggalkan negara ini sejurus selepas jenayah itu dilakukan.
Mereka pecah masuk ke dalam rumah dengan memanjat dinding atau pagar.
Tiga lelaki yang ditahan pada Ahad itu akan didakwa atas tuduhan pecah masuk rumah dengan niat untuk mencuri.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan mungkin didenda.
Polis menasihatkan orang ramai yang ternampak penceroboh atau mana-mana suspek yang mencurigakan di kawasan kejiranan mereka supaya bertenang dan mengutamakan keselamatan diri serta ahli keluarga masing-masing.
Orang ramai harus jerit dan membuat bunyi bising jika boleh dan tarik perhatian serta mengingati pakaian suspek, penampilan fizikal dan sebarang ciri yang boleh bantu membezakan mereka.
Orang ramai juga perlu perhatikan arah di mana suspek melarikan diri dan catit nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan mereka.
Mereka harus segera menghubungi polis untuk melaporkan kejadian itu sebaik sahaja ia selamat untuk berbuat demikian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.