3 UTAMA: SG 2023
SINGAPURA: Garis masa peralihan pucuk pimpinan politik utama Singapura kini sudah jelas.
Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong akan mengambil alih teraju kepimpinan negara tahun hadapan dan akan memimpin pasukan 4G dalam Pilihan Raya akan datang.
Sebelum itu, persiapan gencar dilakukan, diterajui usaha Melakar Hala Tuju Singapura atau Forward SG.
Banyak saranan yang diketengahkan.
2023 juga menyaksikan kenaikan kos kehidupan yakni Inflasi. Pemerintah dengan segera menghulurkan pakej bantuan.
Tiga Utama 2023 singkap peristiwa-peristiwa penting yang mencorak Singapura tahun ini.
Teka-teki tentang bila peralihan pucuk pimpinan politik Singapura terjawab sudah.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan menyerahkan kepimpinan kepada Timbalan beliau Encik Lawrence Wong menjelang November tahun hadapan – ulang tahun ke-70 Parti Tindakan Rakyat (PAP).
"Lawrence telah memberitahu saya bahawa dia sudah bersedia dan pagi ini anda mendengar dia memberitahu anda bahawa dia sudah bersedia untuk tugasan seterusnya, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa majlis Anugerah dan Konvensyen PAP 2023 di Singapore Expo pada Ahad (5 Nov).
"Saya yakin sepenuhnya terhadap Lawrence dan pasukannya dan tidak ada sebab untuk menangguhkan peralihan politik. Oleh itu, saya berhasrat untuk menyerahkan pucuk pimpinan kepada DPM Lawrence sebelum pilihan raya umum akan datang," ujar beliau.
Perhatian kini tertumpu kepada persiapan pasukan 4G yang dipimpin Encik Wong.
"Kita lihat bahawa mereka sudah diuji dan terutama sekali Encik Lawrence Wong kerana beliau dilihat sebagai seorang ikon yang membawa Singapura keluar daripada pandemik COVID-19. Jadi berdasarkan itu, saya fikir bahawa mereka sudah diuji dan mereka sudah bersedia untuk mengambil tampuk kepimpinan seterusnya," kata Zamil Kanan ISEAS - Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat.
Melakar Hala Tuju atau Forward SG menjadi wadah utama bagi pasukan 4G untuk menerajui Singapura ke tahap selanjutnya.
Laporan yang disiapkan pada November merupakan hasil perbincangan bersama lebih 200,000 warga Singapura selama 16 bulan.
Menurut Pengamat Politik Jabatan Sains Politik NUS, Dr Bilveer Singh: "Adakah ini satu rangka tindakan? Ya. Bagaimana kita hendak mengoperasikan itu? Saya tidak tahu kerana masalah asas di Singapura adalah ekonomi."
Selain ekonomi, Forward SG meliputi transformasi sosial yang akan dibina bersama ialah sebuah kompak sosial baru bagi masyarakat Singapura yang termasuk inklusif dan keadlian.
"Sebenarnya kalau kita lihat inklusiviti dan keadilan ini harus dilihat pada strata dalam satu masyarakat. Isu ini sebagainya adalah isu kelas dan sebenarnya banyak isu-isu dan kepayahan yang dirasai oleh golongan bawahan itu tidak kira kaum. Saya fikir kita perlu melihat isu keadilan dan inklusiviti ini secara lebih holistik," kata Dr Norshahril.
Sedang pemerintah melakarkan hala tuju selanjutnya bagi Singapura, ia diterpa dengan beberapa ujian besar.
Tambah Dr Norshahril: "Mungkin pelabur yang melihat kita sebagai sebuah negara yang bersih tiba-tiba ada isu isu ini dibangkit mungkin ia menjejas imej Singapura tetapi yang penting adalah bukan populariti tetapi ketegasan Pemerintah tersebut dan ini sebenarnya boleh meyakinkan pelabur-pelabur luar sana tentang kesediaan Singapura untuk mengambil satu pendekatan yang telus."
Akur dengan pentingnya pemerintah bertindak tegas, Dr Bilveer berkata: "Kita warga Singapura kalau menteri ditangkap, dia itu harus diberi sekatan dan pencegahan yang terkuat dan paling keras supaya masa depan orang tidak akan berani berbicara tentang korupsi, apa lagi hendak melakukannya."
Ketegasan dan ketelusan juga menjadi ciri penting dalam tindakan ke atas jenayah.
Dalam apa yang disifatkan sebagai operasi antipengubahan wang haram terbesar di sini – Ogos lalu, polis menangkap 10 warga asing dan merampas hartanah serta barangan mewah berjumlah S$2.8 bilion.
Timbul spekulasi bahawa kegiatan pengubahan wang haram di Singapura merupakan antara punca utama harga hartanah melonjak.
Data Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) menunjukkan harga hartanah privet melambung hampir 30 peratus pada akhir 2022.
Namun sudah ada tanda-tanda kenaikan tersebut mula reda dengan harga hartanah privet merosot 0.2 peratus pada suku kedua tahun ini.
Pembinaan lebih banyak flat BTO juga dijangka meredakan kenaikan harga perumahan awam.
23,000 flat BTO akan siap menjelang akhir tahun ini.
Selain hartanah, harga COE kenderaan juga melangit.
Ia mencecah paras rekod pada bulan Oktober lalu.
Pengaruh inflasi lebih dirasakan pada perbelanjaan harian.
"Kos seperti barang untuk pergi ke pasar. Mereka melihat mungkin membeli secawan kopi ataupun membeli benda-benda di pasar, umpamanya daging dan sebagainya telah meningkat sedikit", kata Ketua Pasaran Global Maybank, Saktiandi Supaat.
Pemerintah mengeluarkan pakej bantuan sara hidup sebesar S$1.1 bilion.
"Kita memberikan secara bersasar tetapi kosnya ditangani melalui pertolongan umpamanya baucar CDC yang lebih tinggi untuk mereka yang bergaji rendah, pertolongan dari segi mengurangkan impak GST itu hingga hampir 10 tahun untuk keluarga-keluarga yang bergaji rendah," tambahnya.
Apakah kita akan terus menghadapi kenaikan kos pada tahun hadapan?
Ini jawapan Encik Saktiandi: "Saya rasa penurunan inflasi itu tidak akan turun secara mendadak kerana situasi pasaran buruh masih ketat dan juga mengambil kira ekonomi Singapura, mengambil kira pasaran buruh sama ada kita masih perlu untuk menguatkan mata wang Singapura."
Selain faktor domestik, ekonomi Singapura yang terbuka tentu akan dipengaruhi oleh keadaan jagat yang kini bergolak.
Pertembungan strategik kuasa-kuasa besar belum nampak titik cerah.
Dirumitkan pula oleh peperangan di beberapa negara.
Dalam menghadapi semua tantangan ini, rakyat Singapura diseru untuk bersatu – merapatkan barisan.
Pemilihan Presiden kesembilan Singapura mencerminkan sikap kebersamaan dan pragmatik rakyat.
Encik Tharman Shanmugaratnam – mantan Timbalan Perdana Menteri – mendapat 70 peratus undi dalam Pilihan Raya Presiden.
"Saya tetap komited untuk menjadikan Singapura sebuah masyarakat yang lebih inklusif dan adil dari segi sosial, yang telah menjadi tujuan hidup saya. Dasar pemerintah telah berubah dengan ketara untuk membantu kami mencapai matlamat ini, dan ia kekal penting. Tetapi untuk membina masyarakat yang benar-benar inklusif, kita perlu melibatkan semua orang", kata Presiden Tharman.
"Kita mesti membina budaya persaudaraan dan hormat-menghormati yang kuat, di mana kita rasa empati dengan sesama warganegara kita, menonjolkan yang terbaik dalam diri masing-masing, dan merasakan bahawa kita hanya benar-benar berjaya apabila kita berjaya bersama."
Presiden baharu sudah dipilih.
Sama-sama kita nantikan pula kehadiran Perdana Menteri baharu.
Tahun 2024 disambut dengan penuh debaran dan harapan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.