Skip to main content

Singapura

3 stesen baharu Laluan Circle dibuka; rangkaian siap sepenuhnya selepas 30 tahun

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Jul 2026 11:53AM Dikemas Kini : 27 Jul 2026 01:09AM
SINGAPURA: Stesen MRT Keppel, Cantonment dan Prince Edward Road dibuka kepada orang ramai untuk meninjau-meninjau pada Sabtu (4 Julai), menandakan Laluan Circle sudah siap sepenuhnya lebih 30 tahun selepas projek itu mula dirancang.

Ketiga-tiga stesen itu dibuka kepada orang ramai sehingga pukul 9.00 malam pada Sabtu (4 Jul), dengan perjalanan percuma antara stesen-stesen berkenaan. Perkhidmatan penumpang akan bermula pada Ahad (12 Jul).

Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Laluan Circle kini merangkumi 39 kilometer dengan 33 stesen, termasuk 12 stesen pertukaran yang menghubungkan penumpang dengan semua laluan MRT sedia ada.

Semasa majlis pelancaran Fasa 6, iaitu fasa terakhir Laluan Circle, Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow berkata projek itu sudah melalui usaha ramai jurutera, pengurus projek, kontraktor dan pekerja.

Encik Siow, yang bertugas di Kementerian Pengangkutan (MOT) pada 2013 semasa keputusan membina Fasa 6 Laluan Circle diumumkan, berkata beliau "amat berterima kasih" kerana dapat membuka stesen-stesen itu kepada orang ramai 13 tahun kemudian.

Walaupun Fasa 6 merupakan sebahagian daripada reka bentuk asal Laluan Circle sejak bertahun-tahun lalu, pembinaannya hanya dapat dimulakan selepas tanah yang diperlukan tersedia, katanya.

Ini termasuk bekas tapak Stesen Kereta Api Tanjong Pagar dan landasannya, yang hanya dikembalikan kepada Singapura pada 2011, serta terminal pelabuhan di kawasan bandar selepas rancangan memindahkannya ke Tuas dimuktamadkan.

"Akhirnya hari ini, orang ramai tidak lagi akan bertanya kepada LTA mengapa Laluan Circle bukan berbentuk bulatan," katanya.

Encik Siow berkata tiga stesen baharu itu akan memberikan penduduk di kawasan berkenaan akses langsung kepada rangkaian MRT, dengan lebih 10,000 penumpang dijangka menikmati perjalanan MRT yang lebih singkat.

"Namun manfaat sebenar ialah tiga stesen ini akan membuka lembaran baharu bagi pembangunan bandar kita, termasuk Kawasan Pesisiran Selatan (Greater Southern Waterfront) dan Marina Bay.

"Ia akan mewujudkan lebih banyak peluang, termasuk lebih banyak rumah, pekerjaan dan ruang masyarakat, bukan sahaja sekarang malah pada masa hadapan," katanya.

Encik Siow berkata pembinaan tiga stesen baharu di kawasan pusat bandar yang sibuk merupakan antara projek kejuruteraan paling mencabar pernah dilaksanakan LTA.

Beliau berkata beberapa struktur pesisir pantai yang sebelum ini tidak diketahui kewujudannya di bawah terminal pelabuhan terpaksa dialihkan sebelum kerja-kerja binaan dapat dimulakan.

"Jurutera kami terpaksa menggali terowong hanya tujuh meter di bawah bekas tapak Stesen Kereta Api Tanjong Pagar tanpa menjejas struktur berusia hampir 100 tahun itu yang sememangnya kami mahu pelihara.

"Mereka juga perlu menggali terowong di bawah Jejambat Keppel yang masih digunakan, sekali gus memerlukan kerja yang sangat teliti bagi melindungi asas jejambat supaya tidak menjejaskan aliran trafik jalan raya," katanya.

Encik Siow turut menyifatkan ketiga-tiga stesen baharu itu sebagai "stesen-stesen paling indah reka bentuknya dalam rangkaian MRT kita".

Menurutnya, Stesen Keppel mendapat inspirasi daripada alam semula jadi, Stesen Prince Edward Road pula menampilkan warisan maritim Singapura, manakala Stesen Cantonment diinspirasikan oleh bekas Stesen Kereta Api Tanjong Pagar.

"Saya yakin pengangkutan awam berkait rapat dengan sejarah dan identiti sesebuah bandar. Ia bukan sekadar infrastruktur, malah sebahagian daripada memori kita bersama," katanya lagi.
 
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita