Skip to main content

Singapura

3 stesen baharu Laluan Circle akan dibuka pada 12 Jul

Stesen MRT Keppel, Cantonment dan Prince Edward Road akan memulakan operasi khidmat penumpang pada 12 Julai, sekali gus melengkapkan Laluan Circle dengan menghubungkan stesen HarbourFront ke stesen Marina Bay.

Anggaran Waktu Membaca:
3 stesen baharu Laluan Circle akan dibuka pada 12 Jul

Platform Stesen MRT Cantonment, yang akan dibuka kepada orang ramai pada 4 Julai 2026 sebelum ia mula beroperasi bagi khidmat penumpang pada 12 Julai 2026. (Gambar: LTA)

Diterbitkan : 14 May 2026 09:53PM Dikemas Kini : 14 May 2026 09:55PM
SINGAPURA: Stesen MRT Keppel, Cantonment dan Prince Edward Road akan memulakan operasi khidmat penumpang pada 12 Julai, sekali gus melengkapkan Laluan Circle dengan menghubungkan stesen HarbourFront ke stesen Marina Bay.

Orang ramai boleh meninjau-ninjau tiga stesen baharu itu dari pukul 9.30 pagi hingga pukul 9.00 malam pada 4 Julai sebelum ia mula beroperasi secara rasmi, dan para penumpang boleh menikmati perjalanan percuma antara stesen-stesen tersebut, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam kenyataannya pada Khamis (14 Mei).

Menurut LTA, Laluan Circle yang siap sepenuhnya itu akan merangkumi jarak 39 kilometer meliputi 33 stesen, dengan 12 stesen pertukaran yang menghubungkan penumpang kepada semua laluan MRT sedia ada.

Penumpang akan menikmati masa perjalanan yang lebih singkat antara kawasan di barat seperti Pasir Panjang dan Kent Ridge, dengan daerah pusat bandar serta Marina Bay, selain kawasan di timur seperti Paya Lebar.

Buat masa ini, penumpang yang menaiki MRT dari Telok Blangah ke Marina Bay perlu melakukan pertukaran antara Laluan Circle, Laluan Timur Laut dan Laluan Utara-Selatan.

Dengan siapnya Laluan Circle, perjalanan yang sama boleh dilakukan tanpa sebarang pertukaran menerusi satu perjalanan langsung, sekali gus menjimatkan kira-kira 10 minit masa perjalanan.

Stesen Keppel yang terletak di Keppel Road akan menyediakan khidmat bagi penumpang kawasan kediaman dan komersial pada masa depan.

Bangunan-bangunan itu sedang dibangunkan di Kawasan Pesisiran Selatan, selain meningkatkan akses kepada hab-hab perniagaan berhampiran termasuk Keppel Distripark.

Stesen itu terletak 20 meter di bawah tanah, bersamaan kira-kira ketinggian blok enam tingkat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), dan boleh diakses menerusi tiga pintu masuk. Sebuah laluan bawah tanah yang beroperasi selama 24 jam menghubungkan Laluan Masuk 1 dan 2 (Entrances 1 and 2).

Stesen Cantonment pula terletak di bawah bekas tapak Stesen Kereta Api Tanjong Pagar dan akan menyediakan khidmat bagi kawasan bersejarah Tanjong Pagar.

Stesen sedalam 28 meter itu boleh diakses menerusi empat laluan masuk yang menghubungkannya dengan Muzium Seni Singapura, Spottiswoode Park Estate, Everton Road dan Stesen Kereta Api Tanjong Pagar yang diperbaharui apabila ia siap kelak.

Stesen Prince Edward Road yang terletak di kawasan Shenton Way pula akan meningkatkan keterhubungan pengangkutan bagi pekerja pejabat dan pengunjung berhampiran.

Stesen sedalam 30 meter itu boleh diakses menerusi dua laluan masuk. Satu pintu masuk disambungkan terus dengan pembangunan kediaman dan pejabat berhampiran, manakala satu lagi menyediakan akses ke mercu tanda seperti Kuil Hock Teck See dan Masjid Haji Muhammad Salleh.

Menurut LTA, Laluan Circle yang siap sepenuhnya "akan mendatangkan lebih memudahkan penumpang, mengukuhkan hubungan dan daya tahan rangkaian rel, serta meningkatkan akses kepada hab-hab pekerjaan utama, kawasan kediaman dan destinasi gaya hidup".
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita