3 poliklinik, PHPC terpilih tawar vaksinasi COVID-19 bagi kanak-kanak
Seorang kanak-kanak mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 pada 27 Dis 2021. (Gambar: Hanidah Amin/CNA)
SINGAPURA: Kanak-kanak berusia lima ke 11 tahun boleh mendapatkan vaksinasi COVID-19 di tiga poliklinik dan Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) terpilih mulai bulan ini.
Tiga poliklinik - Poliklinik Pioneer, Poliklinik Punggol dan Poliklinik Woodlands - akan mula menawarkan suntikan vaksin itu pada 18 Mei manakala PHPC yang terpilih akan menyediakan dos vaksin COVID-19 kanak-kanak secara beransur-ansur mulai 25 Mei, menurut Kementerian Kesihatan (MOH), Kementerian Pendidikan (MOE) dan Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) dalam satu kenyatan media bersama.
Langkah itu menyusuli pengumuman bahawa baki dua pusat vaksinasi kanak-kanak di Kelab Masyarakat Hougang dan Kelab Masyarakat Senja-Cashew akan ditutup pada 30 Jun, memandangkan sebahagian besar kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah mendapatkan siri vaksinasi asas mereka.
Pusat vaksinasi tersebut akan memberi suntikan terakhir dos pertama kanak-kanak pada 9 Jun dan dos kedua pada 30 Jun.
Setakat Selasa, sekitar 81 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sama ada sudah menempah janji temu atau menerima dos pertama vaksin COVID-19, manakala kira-kira 69 peratus sudah menerima dos kedua mereka.
Dalam kalangan pelajar sekolah rendah, lebih 86 peratus sudah menerima dos pertama mereka, manakala sekitar 77 peratus pelajar sudah menerima kedua-dua dos.
Selain itu, kira-kira 35,600 kanak-kanak yang dilahirkan pada 2016 dan 2017 sudah mendaftar dalam Sistem Janji Temu Nasional MOH. Kira-kira 32,700 kanak-kanak sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama mereka, manakala 26,700 dos kedua mereka, kata pihak berkuasa.
Ibu bapa atau penjaga yang mahu anak mereka divaksin di poliklinik dan PHPC terpilih, perlu mendaftarkan dulu anak atau anak jagaan mereka.
Untuk menguruskan dengan lebih baik jumlah pesakit dan mengurangkan masa menunggu, poliklinik dan PHPC yang menawarkan vaksinasi kanak-kanak akan hanya menerima janji temu yang dibuat menerusi Sistem Janji Temu Nasional, menurut pihak berkuasa.
"Vaksinasi kekal sebagai bahagian penting dalam strategi kami untuk memastikan anak-anak kita dilindungi daripada jangkitan dan penyakit yang teruk sekiranya mereka dijangkiti COVID-19."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.