Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 pilihan untuk benarkan 5 semeja duduk makan di kedai kopi, kantin

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Mar 2022 06:54PM Dikemas Kini : 06 Mar 2022 08:57PM

SINGAPURA: Mulai Isnin (7 Mac), kumpulan-kumpulan sehingga lima orang yang sudah lengkap divaksin boleh duduk makan di kedai kopi dan kantin, sedang tempat-tempat sedemikian memudahkan proses untuk memeriksa status vaksinasi para pelanggan.

Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran Dr Amy Khor berkata pada Ahad (6 Mac) bahawa bagi tempat-tempat makan sedemikian, langkah-langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi (VDS) boleh dilaksanakan mengikut tempat, masa atau kedua-duanya sekali. 

PILIHAN PERTAMA VDS - BERDASARKAN TEMPAT 

Bagi langkah-langkah VDS berdasarkan tempat, kedai kopi dan kantin boleh menetapkan ruang tertentu, dengan mengawal akses dan pemeriksaan status vaksinasi, untuk membenarkan kumpulan sehingga lima orang duduk makan di sana, menurut Dr Khor dalam catatan Facebooknya. 

"Menjangkaui ruang yang ditetapkan, hanya kumpulan dua semeja akan dibenarkan di tempat tersebut di mana tiada pemeriksaan vaksinasi akan dijalankan oleh para pegawai," menurutnya lagi. 

PILIHAN KEDUA VDS - BERDASARKAN MASA 

Manakala bagi langkah-langkah VDS berdasarkan masa, kumpulan sehingga lima orang dibenarkan untuk duduk makan semeja di mana-mana tempat di premis kedai kopi atau kantin pada tempoh yang ditetapkan, iaitu antara 5.00 petang hingga 10.30 malam setiap hari. 

Akses akan dikawal dan pemeriksaan status vaksinasi akan dijalankan sepanjang tempoh tersebut.

Di luar tempoh tersebut, hanya kumpulan dua orang semeja akan dibenarkan untuk duduk makan di sana, tambah Dr Khor lagi. 

PILIHAN KETIGA VDS - BERDASARKAN MASA DAN TEMPAT 

Pilihan terakhir akan menyaksikan kedai kopi dan kantin melaksanakan langkah-langkah berdasarkan masa dan tempat untuk membenarkan kumpulan lima semeja duduk makan di sana, sekiranya mereka menutup ruang tertentu sambil mengawal akses dan memeriksa  status vaksinasi pada waktu yang ditetapkan, iaitu antara 5.00 petang dengan 10.30 malam setiap hari. 

Sekiranya di luar ruang yang ditetapkan dan tempoh masa yang diperuntukkan, hanya kumpulan dua orang semeja akan dibenarkan duduk makan di sana. 

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Agensi Makanan Singapura (SFA) menyatakan bahawa ketiga-tiga pilihan itu sejajar dengan syarat-syarat VDS sedia ada, yang hanya membenarkan individu yang sudah divaksin untuk duduk makan di tempat makan berkenaan. 

"Pilihan-pilihan VDS ini dilakarkan setelah beberapa kali berbincang dengan para pengendali dan pertubuhan-pertubuhan untuk meneroka huraian-huraian bagi menangani isu-isu tenaga kerja dan operasi untuk melaksanakan pemeriksaan status vaksinasi," menurut Dr Khor. 

Beliau menarik perhatian "susun atur dan pergerakan keluar masuk" ke kedai kopi mungkin menyukarkan mereka untuk melaksanakan VDS secara keseluruhannya berbanding tempat-tempat makan yang lain. 

Ketiga-tiga pilihan ini memberikan kelonggaran kepada operasi perniagaan, menurut Dr Khor, sambil menambah bahawa langkah-langkah ini dialu-alukan oleh para pengendali yang menghadapi kesulitan untuk melaksanakan VDS di kedai kopi masing-masing. 

"Sebagai contoh, beberapa pengendali tempat makan berkongsi bahawa pemeriksaan VDS adalah paling mencabar pada waktu sibuk sebelah petang apabila lebih ramai keluarga ingin duduk makan di kedai kopi," menurut Dr Khor. 

Para pengendali yang berminat untuk melaksanakan salah satu pilihan tersebut mestilah menyerahkan saranan mereka kepada SFA bagi memastikan langkah-langkah yang secukupnya sudah dilaksanakan untuk melindungi kesihatan awam. 

Sebaik sahaja diluluskan, para pengendali haruslah memasang papan tanda dan menampal poster untuk memaklumkan dengan jelas kepada para pelanggan tentang syarat-syarat VDS di premis mereka. 

SFA akan terus menjalankan pemeriksaan untuk memastikana syarat-syarat VDS dipatuhi, menurut Dr Khor lagi. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan