Skip to main content

Singapura

3 peruncit online dikesan guna ciri laman web mengelirukan untuk desak pembeli

Badan pemantau persaingan Singapura mengambil tindakan terhadap tiga peruncit online kerana menggunakan taktik laman web mengelirukan yang direka untuk memberi tekanan kepada para pengguna supaya membuat pembelian.

Anggaran Waktu Membaca:
3 peruncit online dikesan guna ciri laman web mengelirukan untuk desak pembeli

Beberapa didapati menggunakan pelbagai taktik untuk mengelirukan dan memberi tekanan kepada para pembeli untuk membuat pembelian. (Gambar: CCS)

Diterbitkan : 18 May 2026 03:10PM
SINGAPURA: Badan pemantau persaingan Singapura mengambil tindakan terhadap tiga peruncit online kerana menggunakan taktik laman web mengelirukan yang direka untuk memberi tekanan kepada para pengguna supaya membuat pembelian.

Seager Inc, yang mengendalikan Boarding Gate, bersama Origin Sleep dan Light In The Box, didapati menggunakan apa yang disebutkan sebagai “dark patterns” - ciri reka bentuk mengelirukan yang mewujudkan gambaran palsu tentang keterdesakan, permintaan atau penjimatan, menurut Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCS) pada Isnin (18 Mei).

Ia termasuk memaparkan jumlah pelawat palsu, kiraan detik rekaan dan kenyataan diskaun yang tidak benar.

Di laman web Boarding Gate, teks seperti “XX orang sedang melihat produk ini sekarang” dan “XX orang meletakkan item ini ke dalam troli” memberi gambaran kepada para pembeli bahawa terdapat permintaan tinggi secara masa nyata.

“Bagaimanapun, apabila CCS meneliti kod sumber laman web itu, pihaknya mendapati angka tersebut dijana secara rawak,” menurut agensi itu.

Origin Sleep didapati menggunakan taktik serupa, termasuk teks yang menyatakan bahawa pembeli lain mempunyai barangan dalam troli mereka tanpa sebarang data masa nyata untuk menyokong kenyataan tersebut.

Halaman pembayaran peruncit tilam itu juga memaparkan kiraan detik, seolah-olah pembelian perlu diselesaikan sebelum masa tamat.

“Pada hakikatnya, mesej dan kiraan detik tersebut tidak memberi kesan terhadap ketersediaan produk atau keupayaan pembeli untuk membuat pembelian,” menurut CCS.

Selain itu, Origin Sleep turut mengadakan promosi yang kelihatan terhad kepada tempoh tertentu dengan menawarkan diskaun sehingga 40 peratus.

Namun siasatan mendapati jualan itu sebenarnya berterusan selama hampir dua tahun menggunakan nama yang berbeza-beza - daripada “Flash Sale” kepada “Valentine’s Day Sale” dan “3.3 Mega Sale” - sekali gus menjejas gambaran bahawa ia merupakan tawaran terhad.

Sementara itu, Light In The Box memaparkan amaran “Hampir habis dijual” pada produk walaupun syarikat itu menggunakan model tempahan mengikut pesanan dengan inventori yang sedikit atau tanpa inventori.

“Pada hakikatnya, label kekurangan stok itu digunakan secara rawak bagi tujuan promosi,” kata CCS.

Syarikat itu juga didapati mengiklankan diskaun berdasarkan harga “asal” yang sebenarnya tidak pernah ditawarkan, sekali gus mewujudkan gambaran palsu tentang penjimatan.

“CCS dimaklumkan mengenai tindakan Light In The Box oleh sebuah pengawal selia Eropah, menunjukkan bagaimana amalan mengelirukan seperti itu boleh merentasi pelbagai negara,” tambah agensi tersebut.

Tanpa menamakan peruncit yang terbabit, CCS menyatakan salah satu syarikat mendakwa reka bentuk laman webnya adalah berdasarkan templat yang dibeli daripada vendor luar negara.

Agensi itu menegaskan bahawa perniagaan tetap bertanggungjawab dalam mematuhi undang-undang perlindungan pengguna tanpa mengira bagaimana laman web mereka dibangunkan.

“'Dark patterns' bersifat licik kerana ia sukar untuk dikesan dan menghakis kepercayaan pengguna terhadap pasaran digital,” kata ketua pegawai eksekutif (CEO) CCS Alvin Koh.

Ketiga-tiga syarikat sejak itu sudah memberikan ikrar rasmi kepada CCS, menghentikan amalan mengelirukan tersebut dan berjanji untuk mengelakkan amalan perdagangan tidak adil pada masa hadapan.

Light In The Box juga sudah menghapuskan kenyataan mengelirukan daripada laman web dan aplikasi mudah alihnya yang ditujukan kepada para pengguna di Singapura dan Eropah, menurut CCS.

“Tindakan penguatkuasaan ini menunjukkan komitmen Singapura untuk melindungi pengguna daripada amalan mengelirukan yang mewujudkan gambaran palsu tentang populariti, kekurangan bekalan dan keterdesakan,” tambah CCS.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita