Skip to main content

Singapura

3 penumpang disahkan terkena sakit campak susuli penerbangan dari SG ke Australia

Anggaran Waktu Membaca:
3 penumpang disahkan terkena sakit campak susuli penerbangan dari SG ke Australia

Pesawat Qantas yang dilihat di Lapangan Terbang Melbourne pada 22 Februari 2021. (Gambar fail: AFP/Saeed Khan)


SINGAPURA: Tiga kes sakit campak dilaporkan dalam kalangan sekumpulan pelawat yang pulang ke Melbourne dalam penerbangan dari Singapura.

Demikian menurut wilayah Victoria, Australia pada Jumaat (18 Nov).

Ketiga-tiga kes tersebut dikesan pada sebuah keluarga yang melakukan penerbangan menaiki pesawat QF36 Qantas pada 14 November.

Pesawat itu juga membawa para penumpang dari syarikat penerbangan Emirates dengan kod EK5036, menurut Jabatan Kesihatan Victoria.

Dua daripada kes-kes itu berjangkit semasa penerbangan dan sudahpun mendapatkan rawatan perubatan dengan segera, tambah jabatan tersebut.

Jabatan itu mengenal pasti penerbangan berkenaan dan Lapangan Terbang Melbourne sebagai tempat-tempat awam yang terdedah.


"Mereka yang berada di tempat-tempat itu digesa supaya mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mereka mengalami sebarang simptom dan mereka perlu memakai pelitup dan memaklumkan (pihak-pihak berkuasa yang relewan) lebih awal untuk memastikan mereka boleh diasingkan daripada orang lain," jelas jabatan tersebut.

Mereka yang menaiki penerbangan tersebut atau di dewan ketibaan antarabangsa di Lapangan Terbang Melbourne pada 15 November, antara 6.10 pagi dengan 8.40 pagi, dinasihatkan supaya memantau kesihatan mereka sehingga 3 Disember.

"Sakit campak adalah penyakit yang sangat mudah berjangkit dan ia menular dengan pantas, khususnya mereka yang berada dekat dengan pesakitnya, terutama sekali mereka yang belum melengkapkan suntikan vaksin mereka," ujar Timbalan Ketua Pegawai Kesihatan Victoria, Deborah Friedman.

"Kanak-kanak kecil dan orang dewasa dengan sistem imun yang lemah adalah yang paling berisiko mendapat penyakit serius."

Lima kes sakit campak sudah dilaporkan di Victoria sejak Januari tahun ini.

Setakat 12 November, tiga kes sakit campak sudah dilaporkan di Singapura pada tahun ini, menurut Kementerian Kesihatan (MOH). Tiada kes jangkitan dilaporkan antara 6 November hingga 12 November.

Mediacorp sudah menghubungi MOH, Lapangan Terbang Changi dan syarikat penerbangan tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita