3 penerima Biasiswa PSC berprestij ini kongsi aspirasi untuk berbakti, bina SG lebih inklusif
SINGAPURA: Seramai empat penuntut Melayu/Islam menerima biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) tahun ini.
Jumlah itu adalah yang tertinggi sejak 2023. Dua tahun ini mencatatkan jumlah penerima Melayu yang paling tinggi dalam masa lima tahun.
Mereka ialah Muhammad Nor Akmal, Arissa Kamaruzaman, Arman Ibrahim Mustaffa dan Muhammad Asy'raf Khaizal.
Tiga daripada mereka akan meneruskan pengajian di universiti-universiti terkemuka di United Kingdom manakala Asy'raf akan meneruskan pengajian di Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam jurusan Geografi dan Komunikasi.
Mereka berkongsi dengan wartawan Nazirah Jamzuri antara aspirasi dan dorongan mereka untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pilihan masing-masing.
AKMAL PEKA AKAN KESIHATAN MENTAL DALAM KALANGAN PELAJAR
Peka akan kesihatan mental dalam kalangan para pelajar di sekolah, Muhammad Nur Akmal, 20 tahun, berusaha untuk menyediakan ruang selamat bagi mereka untuk meluahkan apa yang terbuku dalam isi hati mereka.
Ini dilakukan menerusi peranannya sebagai Pengerusi 'Peer Helpers Programme' (PHP) di Institusi Raffles.
Di bawah program itu, para pelajar antara lain diberi ruang untuk mengirimkan masalah-masalah yang membelenggu mereka tanpa perlu mendedahkan identiti mereka.
Sebuah artikel kemudian akan diterbitkan dengan kerjasama Raffles Press, yang dilampirkan bersama cadangan dan jalan penyelesaian.
Ini selain menganjurkan 'Mental Health Awareness Week' atau Minggu Kesedaran Kesihatan Mental yang menekankan kepentingan penjagaan diri sendiri.
Beberapa individu juga diundang untuk berkongsi tentang topik-topik berkaitannya.
"Kami berasa bahawa kebanyakan murid mengabaikan kesihatan fizikal dan kesihatan mental mereka untuk mencapai prestasi dan jangkaan diri mereka sendiri dan orang di sekeliling," kongsi Akmal kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
IKUT JEJAK LANGKAH GURU SEJARAH
Lebih dari itu, Akmal juga mempunyai satu lagi impian iaitu untuk memainkan peranan penting bagi memberi makna dan harapan buat kehidupan golongan muda di Singapura.
Beliau berharap untuk mengikut jejak langkah guru sejarahnya di Institusi Raffles yang menjadi sumber inspirasi untuk memburu kerjaya dalam bidang Sejarah sebagai seorang guru.
Dengan biasiswa PSC itu, beliau mengambil setapak lebih dekat lagi ke arah merealisasikan impian itu.
Akmal berjaya menjadi antara 60 penerima biasiswa PSC yang menerima anugerah itu daripada Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, Chan Chun Sing, pada Jumaat (25 Jul) di Hotel InterContinental Singapore.
"Sejak sekolah menengah lagi, saya memang berminat dengan sejarah kerana saya rasa bahawa sejarah merupakan cara bagi kami memahami keadaan pada masa kini bukan sahaja sebagai sebuah negara tetapi sebagai masyarakat minoriti Melayu/Islam di dalam Singapura. Semangat ingin tahu mendorong diri saya untuk sentiasa menyoal segala di sekeliling saya untuk memahami diri saya dan peranan yang saya boleh main di dunia ini," luah Akmal.
"Beliau (guru sejarah) menunjukkan saya bahawa sejarah itu bukan sesuatu yang patut dikaji sahaja tetapi sesuatu yang tetap mempengaruhi dunia kini. Oleh itu, saya juga didorong untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang guru sejarah supaya saya dapat menunjukkan murid-murid saya kesedaran ini," ujar Akmal.
LANJUTKAN PENGAJIAN DI UNIVERSITI OXFORD DALAM SEJARAH & POLITIK
Menerusi biasiswa PSC dalam Perkhidmatan Perguruan, Akmal akan melanjutkan pengajian di Universiti Oxford, United Kingdom dalam jurusan Sejarah dan Politik.
"Melalui kursus sejarah dan politik, saya berharap bahawa saya akan didedahkan kepada kepelbagaian perspektif daripada murid-murid dari seluruh dunia. Saya juga berharap saya akan mempelajari dengan lebih mendalam kaitan antara sejarah dan politik supaya saya dapat memahami dengan lebih mendalam cara-cara sejarah membentuk dunia kita sekarang," menurutnya.
AKMAL INGIN TANGANI ISU KESAKSAMAAN, ROMBAK DEFINISI KEJAYAAN
Selepas tamat pengajian, beliau akan meneruskan pelajaran di Institut Pendidikan Nasional (NIE) dalam sebuah Diploma pos-siswazah dalam pendidikan.
Beliau berkata: "Selepas itu, apabila saya bekerja di Kementerian Pendidikan, saya akan bertekad untuk memberikan pelajar-pelajar saya sokongan supaya mereka bebas daripada tekanan yang melampau."
"Sebagai penerima biasiswa PSC, saya juga berharap bahawa saya akan diberikan peluang untuk bekerja di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) supaya saya dapat memahami dengan lebih jelas isu-isu yang dihadapi dalam proses membesarkan kanak-kanak di Singapura."
"Selain kesihatan mental juga, saya juga berharap bahawa dalam masa saya di Kementerian Pendidikan, saya dapat menangani isu-isu kesaksamaan dan merombak definisi kejayaan yang sudah lama membelenggu sistem pendidikan kami."
ARISSA KAMARUZAMAN INGIN LANJUTKAN PENGAJIAN DALAM SEJARAH & POLITIK DI LSE
Seperti Akmal, seorang lagi penerima biasiswa PSC, Arissa Kamaruzaman, 19 tahun, juga mahu meluaskan perspektifnya dengan merantau ke luar negara.
Ini menjadi antara dorongan bagi beliau melanjutkan pengajian dalam bidang yang sama - iaitu Sejarah dan Politik di Sekolah Ekonomi dan Sains Politik London (LSE).
"Saya ingin meluaskan minda saya kepada perspektif-perspektif baharu kerana sejarah dan politik disiplin ini amat relevan kepada dunia kini. Politik masih mempunyai pengaruh kepada sejarah kerana terdapat pelbagai pemerintah ataupun ahli politik yang cuba untuk mencabar naratif sejarah dahulu untuk agenda politik mereka. Sebaliknya, sejarah itu juga dapat mempengaruhi politik kerana ideologi-ideologi lama masih menjadi fokus ataupun asas kepada politik ataupun konflik-konflik yang masih berada di pelbagai negara," menurut Arissa.
Arissa berharap untuk memahami sebuah isu sosial dan politik secara menyeluruh - dari pelbagai sudut - daripada pemikiran pihak pemerintah, sektor privet, hinggalah lapisan masyarakat termasuk golongan yang memerlukan.
"Saya juga amat ghairah untuk membincangkan isu-isu ini dengan orang daripada pelbagai negara kerana mereka juga mempunyai sistem pemerintah yang berbeza dan ini akan membuka minda saya kepada pelbagai perspektif," tambahnya.
GUNA MINAT DALAM PENULISAN UNTUK BERI SUARA KEPADA PELAJAR
Malah, keprihatinan beliau terhadap isu-isu sosial sudah bermula di sekolah lagi di mana beliau dan rakan-rakan di Sekolah Perempuan Raffles (RGS) melancarkan semula inisiatif 'Bingkisan Srikandi', sebuah majalah bagi meraikan semangat juang wanita yang gigih.
Bakatnya dalam bidang penulisan juga digunakan untuk memberi suara kepada rakan-rakan di sekolah serta berkongsi pengetahuan tentang adat dan budaya Melayu kepada semua.
"Saya harap bahawa ada lebih ramai anak muda yang ingin berkongsi cerita mereka tentang isu-isu yang mereka berasa genting dan juga mencuba pelbagai wadah untuk berkongsi cerita ini, tidak kira jika ia hanya karya kreatif ataupun penulisan berita dan penghasilan video," ujarnya yang merupakan pengerusi Raffles Press, sebuah CCA kewartawanan di institusi itu.
INGIN BINA MASYARAKAT LEBIH INKLUSIF DI SG
Arissa juga berharap untuk menyumbang kepada usaha membina masyarakat yang lebih inklusif di Singapura.
Beliau berkata: "Saya harap bahawa saya dapat menyumbang kepada masyarakat dengan mengambil bahagian lebih dalam kerja-kerja sukarelawan. Bagi saya, politik sebenarnya bukan sahaja melibatkan negara dan negara ataupun pemerintah dengan ahli pemerintah yang lain. Politik itu sebenarnya memberi tumpuan kepada individu-individu dalam masyarakat."
"Oleh itu, saya berharap saya dapat meluangkan lebih banyak masa untuk memahami pengalaman daripada pelbagai individu daripada latar belakang yang berbeza dan dengan itu, mempunyai perspektif yang lebih matang ataupun kritis terhadap dasar-dasar yang memberi kesan mereka dan juga mendapat ilham untuk membentuk dasar ini supaya ia dapat membangunkan sebuah masyarakat yang lebih inklusif untuk semua."
ARMAN INGIN LANJUTKAN PENGAJIAN DALAM GEOGRAFI; BENTUK DASAR LEBIH BAIK
Seperti Arissa, Arman Ibrahim Mustaffa, 18 tahun, juga berharap untuk membentuk dasar yang baik, untuk mengimbangi keperluan berbeza masyarakat.
Bagi dirinya, ilmu-ilmu dalam bidang Geografi juga boleh membantu dalam usaha itu.
Penerima biasiswa PSC itu bakal melanjutkan pengajian di Universiti Kolej London (UCL), Geografi (Program Internasional).
"Ini adalah satu subjek yang sangat luas dan aplikasinya pelbagai sektor. Jadi bila saya sudah tamat pengajian saya di UCL, dan saya pulang ke Singapura untuk berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam, saya akan bertukar-tukar jabatan dalam perkhidmatan awam dan saya rasa bahawa subjek geografi ini yang bersifat 'interdisciplinary' atau rentas disiplin sangat relevan," kongsi Arman kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Sebagai seorang penggubal dasar, kita harus membuat dasar yang mengimbangi keperluan berbeza masyarakat dan saya rasa bahawa subjek geografi ini akan menolong saya untuk membuat dasar dengan baik," tambahnya.
TIMBA ILMU DI LUAR UK JUGA
Selain fleksibiliti yang disediakan untuk memilih modul yang relevan, kursus empat tahun di UCL itu membolehkan Arman untuk menimba ilmu di luar United Kingdom pada tahun ketiganya nanti.
"Saya mahu pendedahan bukan sahaja di UK dan London tetapi juga ada potensi untuk mendapatkan pendedahan di negara-negara bukan Anglo-Saxon seperti Finland, Sweden ataupun Jepun. Jadi sebagai pembuat dasar, kita harus meluaskan perspektif kita dan saya rasa kursus ini yang membolehkan saya pergi ke dua negara antarabangsa akan menolong saya untuk meluaskan perspektif saya," ujar Arman.
Peka terhadap isu-isu berkaitan kemampanan dan persekitaran, Arman mengasaskan Projek Futurum yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang isu tersebut di Institusi Raffles.
Beliau berkata: "Saya rasa bahawa golongan muda harus peka terhadap isu alam sekitar kerana isu ini bukan sahaja tentang perubahan iklim atau cuaca panas dan kenaikan paras laut, tetapi ia adalah isu 'existential' untuk Singapura. Sebagai contoh, isu tentang tenaga dan keterjaminan makanan adalah isu-isu besar yang Singapura akan menghadapi pada masa depan," ujar Arman.
"Sebagai sebuah negara yang bergantung kepada import, isu-isu perubahan iklim yang berlaku di negara-negara lain akan menjejas keselamatan Singapura dari segi tenaga dan juga makanan."
INGIN ATASI ISU BERKAITAN PERSEKITARAN & KEMAMPANAN
Selepas tamat pengajian di UCL, Arman berharap untuk memburu ijazah di peringkat sarjana pula.
Seperti para penerima biasiswa PSC yang lain, Arman juga terdorong untuk berkhidmat kepada masyarakat di tanah air.
"Cita-cita saya adalah untuk bekerja dalam Sekretariat Perubahan Iklim Negara (NCCS), sebuah kumpulan strategik di dalam Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan saya berharap untuk menangani isu-isu dalam Pelan Hijau Singapura 2030. Jadi isu yang saya ingin mengatasi dahulu ialah isu tentang 'A City in Nature'. Saya ingin bekerja untuk mengatasi isu ini dan saya ingin memberi tumpuan kepada aspek 'Urban Greening' atau Penghijauan Bandar,"
Secara keseluruhannya, 60 penuntut terpilih untuk menerima biasiswa berprestij itu tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.