3 pendekatan, saranan tangani radikalisasi dan keganasan golongan Gen Z
Dalam usaha mencegah radikalisasi atau pengganasan, amat penting untuk memahami bahawa golongan muda yang disebut sebagai 'Gen Z' - iaitu berusia 24 tahun ke bawah - merupakan generasi berlainan daripada generasi kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah misalnya.
SINGAPURA: Dalam usaha mencegah radikalisasi atau pengganasan, amat penting untuk memahami bahawa golongan muda yang disebut sebagai 'Gen Z' - iaitu berusia 24 tahun ke bawah - merupakan generasi berlainan daripada generasi kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah misalnya.
Jadi, pendekatan untuk menangani radikalisasi Gen Z juga berbeza daripada pelampauan zaman sebelumnya, menurut Ketua Pusat Harmoni Masjid An-Nahdhah, Ustazah Liyana Rosli Asmara.
(Gambar: MUIS)
Tiga pendekatan disarankan oleh Ustazah Liyana yang perlu digunakan untuk menangani radikalisasi untuk golongan Gen Z.
Pertama, adalah penting untuk golongan ini memahami dan mengingatkan diri mereka bahawa cara media sosial berfungsi ialah dengan algoritma dan Search Engine Optimization (SEO), menurut Ustazah Liyana.
"Berdasarkan apa yang dikatakan online, satu benda yang dicari itu boleh bertambah apabila isu-isu lain yang berkaitan juga turut ditawarkan, tetapi kita tidak dapat mengesan maklumat kedua atau maklumat alternatif," ujar Ustazah Liyana.
Beliau turut memberi amaran bahawa Internet dapat mempercepatkan proses radikalisme secara sendiri.
Lantaran itu, menurut Ustazah Liyana, adalah penting untuk menekankan kepada Gen Z bagaimana proses media sosial mempengaruhi psikologi mereka.
LATIH GOLONGAN GEN Z JADI LEBIH KRITIKAL DI MEDIA SOSIAL
Pendekatan kedua pula menurut beliau ialah pentingnya melatih golongan itu untuk menjadi kritikal apabila membaca sesuatu di wadah media sosial.
(Gambar: Rami Al-zayat/Unsplash)
Ini kerana ia sering mempengaruhi seseorang dengan emosi seperti banyak menggunakan emotikon, dan dalam lain perkataan, lebih menggunakan perasaan daripada sikap rasional atau pemikiran.
"Kita perlu kesemimbangan tersebut jadi selalunya apabila membaca sesuatu, kita harus bertanya diri sendiri sama ada ini sahaja pendapat yang ada atau ada pendapat lain yang turut diutarakan oleh pihak berlainan yang kita juga perlu mendengar," ujar Ustazah Liyana.
WADAH SELAMAT PERLU DISEDIAKAN BUAT GEN Z UNTUK BINCANG ISU SENSITIF
Pendekatan ketiga menurut Ustazah Liyana ialah pentingnya memahami bahawa Gen Z merupakan generasi yang amat bersedia untuk membincangkan isu-isu di media sosial.
"Mungkin kalau beberapa tahun yang lalu kalau kita bercakap mengenai isu yang sensitif seperti isu agama dan perkauman, ia merupakan sesuatu yang mereka tidak ingin berbincang dengan mendalam atau mungkin ada perbincangannya tetapi dalam sesi tertutup contohnya," kongsi Ustazah Liyana.
"Tetapi kalau kita lihat sekarang, sekiranya ada isu-isu seperti diskriminasi, keganasan rumah tangga dan sebagainya, mereka mahu mengutarakannya di media sosial dan mereka mahu berbincang."
(Gambar: TODAY)
Lantas, Ustazah Liyana menegaskan peri pentingnya pihak-pihak yang mendekati atau berhubung rapat dengan golongan Gen Z ini untuk menyediakan wadah yang selamat agar mereka dapat mengutarakan soalan mereka dan berbincang.
"Ini amat penting kerana jika tidak, mereka akan mencari wadah lain," tegas Ustazah Liyana.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.