Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 pelajar terima Anugerah Madrasah LBKM 2020

Mereka diiktiraf atas pencapaian akademik, prestasi terbaik dalam kegiatan luar darjah atau pelibatan bersama masyarakat dan menunjukkan kelakuan yang baik serta ciri-ciri kepimpinan.

Anggaran Waktu Membaca:
3 pelajar terima Anugerah Madrasah LBKM 2020

Para penerima Anugerah Madrasah LBKM 2020 bersama Presiden LBKM Suhaimi Salleh. (Gambar: LBKM)

SINGAPURA: Tiga pelajar madrasah menerima Anugerah Madrasah Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) 2020 dalam satu majlis yang diadakan secara maya pada Selasa (29 Dis).

Mereka diiktiraf atas pencapaian akademik, prestasi terbaik dalam kegiatan luar darjah atau pelibatan bersama masyarakat dan menunjukkan kelakuan yang baik serta ciri-ciri kepimpinan.

Anugerah Madrasah LBKM yang sudah memasuki tahun keempat bertujuan menggalak para pelajar madrasah untuk mencapai sasaran lebih tinggi dalam bidang akademik, kepimpinan dan pelibatan bersama masyarakat.

Ketiga-tiga pelajar madrasah itu, terpilih daripada kategori PSLE, Peringkat O dan A membawa pulang wang tunai bernilai antara $500 dengan $1,500 serta sijil pencapaian.

PELAJAR MADRASAH TERBAIK 2019 ANTARA PENERIMA ANUGERAH

Bagi kategori PSLE, anugerah itu dimenangi Sumaiyah Yang Iskandar dari Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah.

Sumaiyah juga merupakan pelajar madrasah terbaik bagi PSLE pada tahun 2019.

Ketika itu, Sumaiyah berjaya meraih gred 3 A* dan 1 A bagi peperiksaan nasional berkenaan.

Kini seorang pelajar di Madrasah Al-Ma'arif, Sumaiyah diberikan Anuergah Madrasah LBKM kerana turut mempamerkan kecemerlangan dalam bidang-bidang lain.

Menurut LBKM, Sumaiyah bukan saja menjadi ketua pelajar sejak Darjah 4 tetapi juga aktif dalam kegiatan luar darjah.

Sumaiyah juga antara pendaki pasukan Irsyad yang sampai ke puncak Gunung Ledang dua tahun lalu.

PEMBAHAS ANTARABANGSA DIIKTIRAF

Nur 'Aqilah Syifa Kamarudin pula memenangi kategori Peringkat O anugerah itu dengan mengalahkan empat lagi calon lain.

Semasa di Madrasah Al Ma'arif, 'Aqilah mencatat keputusan akdemik yang baik dan berjaya memasuki Maktab Rendah Anderson untuk melanjutkan pelajaran di Peringkat A.

Selain itu, 'Aqilah juga merupakan seorang pembahas yang hebat dan pernah mewakili sekolahnya di Pertandingan Bahas Terbuka Bahasa Arab Universiti Antrabangsa Islam Malaysia.

'Aqilah dan pasukannya berjaya menjadi naib johan dalam pertandingan bahas tersebut.

'Aqilah juga aktif dalam bidang kepimpinan semasa di Madrasah Al Ma'arif dengan menjadi Naib Ketua Pengawas dan terlibat dalam beberapa kegiatan madrasah itu sebagai fasilitator.

PENERIMA INGIN LANJUTKAN PENGAJIAN KE MAGHRIBI

Bagi kategori Peringkat A pula, terdapat empat calon yang akhirnya menyaksikan panel juri memilih Maghfirah Senewi sebagai penerima anugerah.

Maghfirah ialah bekas pelajar Madrasah Aljunied dan sedang menantikan jawapan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Sidi Mohamed Ben Abdellah di Maghribi.

LBKM menyatakan Maghfirah mempamerkan hubungan antara perorangan yang baik dan bangkit mencapai kejayaan meskipun berdepan dengan beberapa cabaran.

Dalam pada itu, Maghfirah juga merupakan anggota jawatankuasa eksekutif Lembaga Ketua Pelajar semasa di Madrasah Aljunied dan terlibat dalam banyak kegiatan pendidikan madrasah berkenaan.

Semasa upacara pemberian anugerah semalam, Presiden LBKM Suhaimi Salleh dalam ucapannya memuji ciri-ciri ditonjolkan para pemenang dan mengharapkan masa depan yang terbaik buat mereka.

Beliau berkata: "Saya lihat anda semua bukan sebagai pelajar saja tetapi juga sebagai ulama dan cendekiawan masa depan yang akan memberikan bimbingan berguna dan menambah nilai kepada masyarakat dan ummah secara keseluruhan."

Encik Suhaimi juga merujuk bagaimana para pelajar madrasah sejauh ini mampu membuktikan keupayaan mereka dalam bidang masing-masing.

"Alhamdulillah semakin ramai pelajar madrasah kita kini mencipta sejarah dengan kejayaan mereka dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik di peringkat ijazah sehingga PhD di universiti-universiti utama dunia.

"Insyaallah anda akan membawa obor madrasah anda ke peringkat lebih tinggi dan membuktikan anda boleh berjaya dalam sebarang bidang yang diceburi," ujar beliau.

Sumber : BERITA Mediacorp/ru

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa