3 pelajar madrasah cemerlang ini penerima Anugerah Madrasah LBKM 2021
Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) menyatakan mutu pelajar yang dicalonkan bagi Anugerah Madrasah LBKM terus "semakin meningkat" dan boleh menjadi contoh bagi pelajar aliran nasional.
SINGAPURA: Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) menyatakan mutu pelajar yang dicalonkan bagi Anugerah Madrasah LBKM terus "semakin meningkat" dan boleh menjadi contoh bagi pelajar aliran nasional.
Ini kerana walaupun mengambil lebih banyak subjek di madrasah, para pelajar itu tetap aktif terlibat dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan kepimpinan.
Demikian menurut Presiden LBKM, Suhaimi Salleh, di majlis penyampaian Anugerah Madrasah LBKM 2021 yang diadakan pada Jumaat (16 Ogos).
Daripada 12 pencalonan bagi Anugerah Madrasah LBKM tahun ini, tiga pelajar dipilih sebagai penerimanya. Penerimanya dianggap sebagai yang 'terbaik dari kalangan terbaik' daripada para pelajar madrasah yang menduduki PSLE, GCE 'O' dan GCE 'A' tahun lalu.
MUHAMMAD SUHAIL SULAIMAN - TERBAIK KATEGORI PSLE
Salah seorang penerimanya ialah Muhammad Suhail Sulaiman dari Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, yang membawa pulang hadiah S$500.
(Gambar: LBKM)
Suhail meraih agregat 275 dalam PSLE tahun lalu, sekali gus muncul sebagai pelajar madrasah terbaik dalam PSLE.
Dia kini bercita-cita mahu membantu golongan memerlukan di negara-negara membangun dan juga di kem-kem pelarian.
Remaja itu kini menuntut di Madrasah Aljunied Al-Islamiah. Semasa di Irsyad Zuhri, Suhail rajin menyertai pelbagai pertandingan termasuk Olimpiad Matematik Amerika dan Peraduan Matematik Dunia oleh Raffles Institution.
Di madrasahnya semasa peringkat rendah, Suhail menjadi Ketua Pelajar selama tiga tahun dan pada tahun akhirnya dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik dalam Peperiksaan Sekolah Rendah Pembelajaran Islam (ISPE).
AHMAD AN-NAFEES MOHD JAJIB - TERBAIK KATEGORI GCE 'O'
Anugerah bagi kategori GCE 'O' pula dimenangi Ahmad An-Nafees Mohd Najib dari Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah. Dia membawa pulang hadiah S$1,000 sebagai hadiah Anugerah Madrasah LBLM GCE 'O'.
(Gambar: LBKM)
Keputusannya dalam peperiksaan GCE 'O' adalah cemerlang. Ahmad An-Nafees mendapat 6 gred A dan 3 gred B. Gred A yang diraihnya termasuklah Matematik Tambahan (A1), Matematik (A1), Biologi (A2) dan Bahasa Arab (A2).
Ahmad An-Nafees bukan sahaja menjadi qari, khatib dan imam solat Jumaat semasa menjadi pelajar madrasah itu, dia juga aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan. Bagi Ahmad An-Nafees, dia menyifatkan guru-gurunya, rakan-rakan serta keluarga tersayang sebagai pendorongnya.
"Setiap kali saya tidak bermotivasi untuk belajar, saya akan mengingati sokongan mereka untuk saya, dan ini menjadi pendorong untuk saya menghabiskan kerja saya sebaik mungkin," ujar belia berusia 17 tahun ini.
(Gambar: Ahmad An-Nafees)
"Pada saya anugerah ini adalah satu refleksi terhadap persekitaran saya, tentang ahli keluarga yang sanggup menyokong saya, kawan-kawan yang tidak pernah berputus asa dan kami saling bantu membantu antara satu sama lain dan juga pihak sekolah di mana mereka telah memberi saya banyak peluang untuk menyertai aktiviti-aktiviti ko korikular."
Dia kini menuntut di Politeknik Ngee Ann, dalam jurusan kejuruteraan sains.
"Cita-cita saya adalah untuk berbakti semula kepada masyarakat menerusi kajian-kajian sains, yang boleh memberikan penyelesaian bagi masalah-masalah yang kita menghadapi pada zaman ini dan zaman yang akan datang," ujar Ahmad An-Nafees lagi.
SHARIFFAH NUR ATHIRAH SYED KASSIM - TERBAIK KATEGORI GCE 'A'
Anugerah Madrasah LBKM bagi peringkat GCE 'A' pula jatuh ke tangan Shariffah Nur Athirah Syed Kassim dari Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah yang menerima hadiah S$1,500.
(Gambar: LBKM)
Sepanjang menuntut di madrasah, belia ini pernah menerima Anugerah Pemimpin Masyarakat Belia Maarif Terbaik dan juga Anugerah Ketua Pelajar Cemerlang Pemimpin Generasi Seterusnya Goh Chok Tong.
Hakikatnya bukan senang bagi Shariffah Nur Athirah sampai ke tahap ini.
"Saya merupakan anak yang pertama untuk melalui laluan sekolah madrasah jadi saya tidak tahu akan cabaran yang datang sebagai seorang pelajar madrasah termasuk lebih banyak mata pelajaran yang harus diimbangi dari segi akademik dan ukhrawi," kongsi Shariffah Nur Athirah, anak keempat daripada lima beradik.
Menurut LBKM, Shariffah Nur Athirah merupakan seorang remaja yang punya azam mendalam untuk berkhidmat kepada masyarakat. Semasa di wawancara sebagai finalis anugerah itu, dia sedang menyertai satu projek sembilan bulan anjuran Youth Corps.
Projek itu menggabungkan para pelajar dari Universiti Nasional Singapura, Universiti Teknologi Nanyang dan Universiti Sains Sosial Singapura dan menjalankan projek bagi membantu keluarga-keluarga berpendapatan rendah.
Maka tidak hairankan anak muda itu dijulang sebagai Pelajar Maarif Terbaik dan menurut LBKM merupakan seorang "contoh sangat baik bagi kecemerlangan dalam sikap dan kerjasama".
(Gambar: Shariffah Nur Athirah)
"Anugerah ini merupakan salah satu simbol untuk bekerja lebih keras untuk mencapai impian saya dan ia juga menunjukkan bahawa kerja keras saya selama ini semua berbaloi," kongsi Shariffah Nur Athirah.
Apa pula rahsia kejayaannya sehingga cemerlang dalam pelajaran dan kegiatan lain?
"Bagi saya, tiada rahsia yang tertentu, tetapi mempunyai azam yang kuat untuk mencapai apa sahaja impian kita dan juga untuk pandai mengeimbangi masa."
"Serta jangan melepaskan peluang kerana jikalau kami melepaskan peluang untuk apa sahaja yang datang ke arah kami, kita juga akan terlepas salah satu peluang yang dapat membuat kami kuat dan matang," tambahnya lagi dengan penuh falsafah.
Shariffah Nur Athirah berharap meneruskan pendidikan di Universiti Jordan dan berminat untuk bekerja dalam sektor khidmat sosial pada masa depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.