3 pegawai SPF dikuarantin setelah pegawai perubatan haiwan unit K-9 dijangkiti COVID-19
Tiga pegawai Pasukan Polis Singapura (SPF) yang mempunyai kontak rapat dengan seorang pembantu doktor haiwan yang diuji positif COVID-19, sudah pun dikuarantin, menurut SPF pada Jumaat (15 Jan).
(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Tiga pegawai Pasukan Polis Singapura (SPF) yang mempunyai kontak rapat dengan seorang pembantu doktor haiwan yang diuji positif COVID-19, sudah pun dikuarantin, menurut SPF pada Jumaat (15 Jan).
25 ekor anjing polis yang dikendalikan pembantu doktor haiwan itu sepanjang dua minggu lalu, sebelum beliau mengalami simptom, turut diuji bagi COVID-19 dan kesemua haiwan itu didapati negatif, tambah SPF.
Pegawai pembantu doktor haiwan itu yang merupakan seorang warga Singapura berusia 32 tahun, adalah satu-satunya kes jangkitan COVID-19 dalam masyarakat yang dilaporkan pada Khamis (14 Jan).
Menjawab pertanyaan Mediacorp, SPF menyatakan bahawa beliau melaporkan diri untuk bertugas pada pagi Isnin (11 Jan) tanpa mengalami simptom, namun berasa demam setelah pulang ke rumah lalu berjumpa doktor di sebuah klinik GP.
"Satu ujian swab dijalankan dan beliau diberi cuti sakit ketika menantikan keputusan ujiannya," menurut polis.
"Pegawai berkenaan pulang ke rumah dengan segera selepas meninggalkan klinik itu dan tidak keluar rumah sepanjang tempoh itu."
Beliau kini dirawat di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).
Kontak-kontak rapat yang dikenal pasti termasuk para anggota keluarga dan rakan sekerja sudah pun diasingkan dan diletakkan di bawah perintah kuarantin, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis sambil menambah bahawa mereka juga akan menjalani ujian COVID-19 dan serologi.
"Menggunakan kaedah ujian PCR bagi haiwan yang disarankan oleh Pertubuhan Sedunia bagi Kesihatan Haiwan (OIE), kesemua 25 ekor anjing diuji negatif bagi SARS-CoV-2," menurut polis sambil menambah bahawa kesihatan anjing-anjing berkenaan dipantau dengan kerap dan mereka tidak menunjukkan sebarang simptom pernafasan.
Unit K-9 polis masih terus beroperasi, menurut SPF.
Ia menyatakan bahawa ia sudah melaksanakan langkah pengasingan tempat kerja bagi unit pekerja mana-mana pegawai yang berinteraksi rapat dengan doktor haiwan itu supaya dapat mengurangkan potensi berlaku penularan virus.
Kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman secara "serta-merta dan menyeluruh" di kawasan umum yang mungkin disentuh oleh pegawai itu sudah pun dijalankan, menurut polis. Kawasan itu termasuk tempat-tempat kerja, lobi lif, bilik mesyuarat, pantri dan tandas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.