Skip to main content

Singapura

3 orang dibawa ke hospital, 50 penduduk dipindahkan susuli kebakaran flat Toa Payoh

Anggaran Waktu Membaca:
3 orang dibawa ke hospital, 50 penduduk dipindahkan susuli kebakaran flat Toa Payoh

Pasukan bomba memadamkan kebakaran di sebuah flat di Blok 63 Lorong 5 Toa Payoh pada 22 Ogos 2025. (Gambar: Facebook/SCDF)

Diterbitkan : 22 Aug 2025 11:44AM Dikemas Kini : 22 Aug 2025 12:00PM
SINGAPURA: Tiga orang dibawa ke hospital dan 50 yang lain dipindahkan dari rumah mereka selepas berlaku kebakaran di sebuah flat di Toa Payoh awal pagi Jumaat (22 Ogos).

Siasatan awal menunjukkan kebakaran itu melibatkan Alat Bantuan Mobiliti Peribadi.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dimaklumkan mengenai kebakaran di Blok 63 Lorong 5 Toa Payoh pada kira-kira pukul 2.30 pagi.

Apabila pasukan bomba SCDF tiba di tempat kejadian, mereka mendapati ruang tamu unit tingkat 12 itu terbakar.

Pasukan bomba terpaksa memasuki flat tersebut secara paksa untuk memadamkan kebakaran, yang menjejas ruang tamu unit berkenaan.

"Semasa operasi memadam kebakaran, pasukan bomba menyelamatkan seseorang dari dapur. Orang itu dipercayai terhidu asap dan mengalami kelecuran ringan, dan dibawa dalam keadaan sedar ke Hospital Besar Singapura (SGH)," menurut SCDF dalam catatan Facebooknya.

"Dua lagi orang dari unit bersebelahan flat tersebut turut dibawa ke hospital, seorang ke SGH kerana sesak nafas dan seorang lagi ke Hospital Tan Tock Seng kerana cedera pada buku lali."

Akibat kebakaran itu, kira-kira 50 penduduk blok tersebut dipindahkan oleh polis dan SCDF sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut SCDF, penemuan awal menunjukkan kebakaran itu melibatkan alat bantuan mobiliti peribadi yang berada di ruang tamu flat tersebut.

SCDF menasihatkan orang ramai supaya jangan membiarkan bateri atau peranti dicas bagi tempoh yang lama dan jangan membiarkan bateri dicas tanpa pengawasan.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya jangan membeli atau menggunakan bateri bukan asli," nasihat SCDF.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita