Skip to main content

Singapura

3 orang alami kesan sampingan buruk setelah ambil ubat untuk sakit lutut, langsingkan badan

Tiga individu mengalami kesan sampingan serius termasuk tekanan darah tinggi dan insomnia, selepas mengambil produk yang mengandungi bahan perubatan yang kuat atau terlarang untuk sakit lutut dan melangsingkan badan.

Anggaran Waktu Membaca:
3 orang alami kesan sampingan buruk setelah ambil ubat untuk sakit lutut, langsingkan badan

HSA pada 18 Mac 2026 memberi amaran kepada orang ramai agar tidak membeli atau mengambil empat produk – Ubat Angin Tulang, Tianma Duzhong Shujing Wan, IM SO am dan IM TOX pm. (Gambar: HSA)

Diterbitkan : 18 Mar 2026 10:28PM
SINGAPURA: Tiga individu mengalami kesan sampingan serius termasuk tekanan darah tinggi dan insomnia, selepas mengambil produk yang mengandungi bahan perubatan yang kuat atau terlarang untuk sakit lutut dan melangsingkan badan.

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Rabu (18 Mac) memberi amaran kepada orang ramai agar tidak membeli atau mengambil empat produk iaitu Ubat Angin Tulang, Tianma Duzhong Shujing Wan, IM SO am dan IM TOX pm.

“Ia telah diuji oleh HSA dan didapati mengandungi bahan perubatan yang boleh memudaratkan jika diambil tanpa pengawasan perubatan,” menurut pengawal selia produk kesihatan itu dalam satu kenyataan media.

Ini termasuk bahan-bahan kuat seperti steroid serta sibutramine, iaitu sejenis bahan yang diharamkan.

Keempat-empat produk tersebut dijual di pelbagai lokasi, termasuk gerai sementara di Singapura serta di platform e-dagang Shopee, Lazada dan Carousell, menurut HSA.

“HSA telah bekerjasama dengan platform online untuk menurunkan penyenaraian tersebut, dan siasatan terhadap para penjual sedang dijalankan.”

RASA PENING, KESAN TERHADAP TEKANAN DARAH

Seorang pengguna hampir pengsan sebanyak dua kali selepas mengambil IM SO am dan IM TOX pm. Beliau juga mengalami gegaran teruk, insomnia dan rasa pening, kata HSA.

Dipasarkan untuk diambil bersama bagi tujuan pelangsingan badan, kedua-dua produk itu mendakwa ia mengandungi ekstrak-ekstrak makanan dan botani untuk “menggalakkan keseimbangan badan yang lebih baik”.

Namun, HSA mendapati IM SO am mengandungi sibutramine manakala IM TOX pm pula mengandungi julap yang tidak diisytiharkan, iaitu sennosides.

Sibutramine diharamkan di Singapura sejak 2010 kerana dikaitkan dengan peningkatan risiko serangan jantung dan angin ahmar. Kesan seriusnya termasuk tekanan darah tinggi, degupan jantung tidak teratur, halusinasi dan perubahan emosi.

Dua lagi pengguna mengalami kesan sampingan yang serius selepas mengambil produk untuk sakit lutut.

Salah seorang daripadanya iaitu seorang wanita dalam lingkungan usia 60-an, yang mengambil Ubat Angin Tulang selama tiga bulan, mengalami peningkatan berat badan sebanyak 10 kilogram secara mendadak serta tekanan darah tinggi, kata HSA.

Produk itu dipasarkan sebagai cara untuk menguatkan otot dan membantu dalam menguruskan rasa sakit,

Walaupun label produk tersebut hanya menyatakan ia mengandungi bahan-bahan herba, HSA mendapati ia mengandungi dexamethasone, furosemide dan chlorpheniramine, iaitu bahan-bahan perubatan yang kuat.

“Ini adalah bahan-bahan ubatan yang kuat dan boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius jika diambil tanpa pengawasan doktor,” kata HSA.

“Bahan steroid dalam produk itu berkemungkinan menyebabkan peningkatan berat badan secara mendadak dan tekanan darah tinggi yang dialami oleh wanita tersebut.”

Wanita itu mendapatkan produk tersebut daripada seorang saudara yang membelinya di sebuah gerai sementara di Jurong.

Siasatan lanjut mendapati penjual tersebut berasal dari Malaysia dan membuka gerai-gerai sementara di merata Singapura.

“Siasatan terhadap penjual sedang dijalankan,” kata HSA.

Dalam satu lagi kes, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 80-an mengalami rasa pening dan penurunan tekanan darah selepas mengambil Tianma Duzhong Shujing Wan untuk merawat sakit lutut selama kira-kira setahun.

Beliau didiagnos dengan kekurangan adrenal, yang menyebabkan doktornya mengesyaki produk itu dicampur dengan bahan lain, lalu melaporkan kes tersebut kepada HSA.

HSA mengesan lima bahan perubatan yang kuat dalam produk Tianma Duzhong Shujing Wan iaitu dexamethasone, prednisolone, diclofenac, furosemide dan chlorpheniramine.

Label produk tersebut hanya menyenaraikan bahan-bahan herba seperti ginseng.

Lelaki itu mendapatkan produk tersebut daripada seorang saudara yang membelinya dari Malaysia.

Berdasarkan siasatan HSA, tiada pembekal tempatan yang diketahui bagi produk tersebut.

APA YANG PERLU DILAKUKAN OLEH PENGGUNA

Pengguna yang mengambil Ubat Angin Tulang atau Tianma Duzhong Shujing Wan perlu berjumpa doktor dengan segera, nasihat HSA.

“Jangan henti mengambilnya secara tiba-tiba kerana ia mengandungi steroid dan boleh menyebabkan gejala serius seperti keletihan, kekeliruan dan tekanan darah rendah, terutama jika ia diambil selama tempoh lebih daripada beberapa minggu,” tambahnya.

Mereka yang mengambil IM SO am dan IM TOX pm harus henti mengambilnya dengan serta-merta dan berjumpa doktor jika mereka berasa tidak sihat atau bimbang tentang keadaan kesihatan mereka.

“Semua penjual dan pembekal mesti menghentikan penjualan keempat-empat produk ini dengan serta-merta,” tegas pengawal selia itu.

“HSA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap sesiapa yang menjual dan membekalkan produk yang didapati dicampurkan dengan bahan-bahan terlarang atau bahan kuat.”

Penjual dan pembekal boleh didakwa dan jika sabit kesalahan, berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun dan/atau denda sehingga S$10,000.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita