3 murid Sekolah Rendah Sengkang Green digantung daripada sekolah selepas ugut bunuh rakan sedarjah dan keluarganya
Tiga murid Sekolah Rendah Sengkang Green digantung daripada sekolah selepas membuat ugutan bunuh. (Gambar: Google Street View, Facebook/Ni Yin)
- Tiga murid Darjah 3 dari Sekolah Rendah Sengkang Green digantung daripada sekolah selepas mereka menghantar ugutan bunuh kepada ibu seorang rakan sedarjah yang melaporkan mereka kerana membuli anak perempuannya.
- Ibu tersebut berkata anak perempuannya dibuli "berbilang kali" dan meminta tindakan yang lebih tegas daripada Kementerian Pendidikan (MOE) dan pihak sekolah.
- Selepas menerima ugutan bunuh, keluarga tersebut membuat laporan polis, sedang panggilan telefon itu berterusan, kata ibu murid tersebut.
- "Anak perempuan saya kini terlalu takut untuk kembali ke sekolah dan sudah empat hari berturut-turut tidak pergi sekolah. Dia kini menerima sokongan psikologi profesional," menurut catatan Facebooknya.
Dalam satu catatan pada Khamis (14 Ogos), seorang pengguna Facebook bernama Ni Yin, yang mendakwa sebagai ibu mangsa, memperincikan dakwaan buli sehingga membawa kepada ugutan terhadap dirinya dan keluarganya.
Beliau juga memuat naik satu klip audio yang diterimanya.
Dalam klip tersebut, seseorang berkata: "Saya mungkin akan kelar dia. Saya mungkin akan potong dia sampai berkeping seperti anda. Jadi yang mana satu anda mahu saya lakukan? Kelar dia? Atau bunuhnya di sekolah? Pilih satu. Jika tidak mahu salah satu pun, saya akan bunuh anda dan suami anda."
Ibu tersebut berkata anak perempuannya dibuli "berbilang kali" dan meminta tindakan yang lebih tegas daripada Kementerian Pendidikan (MOE) dan pihak sekolah.
Sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp, Sekolah Rendah Sengkang Green menyatakan bahawa ia sudah pun menghubungi ibu bapa ketiga-tiga murid berkenaan mengenai tingkah laku mereka, dan murid-murid yang membuat panggilan dan ugutan itu digantung daripada sekolah dengan serta-merta.
Memandangkan perbuatan mereka itu amat serius, pihak sekolah akan menyemak dan mengenakan hukuman disiplin selanjutnya, yang mungkin termasuk sebatan, selepas siasatan polis, menurut pihak sekolah.
Murid-murid tersebut juga sudah menjalani kaunseling.
"Sepanjang siasatan sekolah, kami mendapati bahawa murid yang terjejas juga terlibat dalam tingkah laku yang menyakitkan. Ini juga akan ditangani untuk memastikan murid-murid terus mempelajari nilai-nilai hormat menghormati dan tanggungjawab," tambah Sekolah Rendah Sengkang Green.
Sejak kejadian tersebut dilaporkan kepada guru-guru, pihak sekolah sudah pun menghulurkan bantuan kepada murid yang terjejas dan berkomunikasi dengan ibu bapanya, menurutnya, sambil menambah bahawa satu pelan keselamatan sedang dilaksanakan untuknya.
DAKWAAN MEMBULI
Dalam catatan tersebut, pengguna Facebook itu berkata anak perempuannya, yang berada di Darjah 3, pulang ke rumah pada 24 Julai dan memberitahunya bahawa dia mahu berhenti pergi ke sekolah.
Dia berkata dia "dibuli secara berterusan" oleh tiga murid di kelasnya selama hampir enam bulan.
Ibu murid tersebut juga berkata bahawa anak perempuannya sudahpun melaporkan tindakan buli itu kepada guru-gurunya beberapa kali.
Selepas beliau menghubungi ibu salah seorang budak lelaki yang membuli anak perempuannya, guru kelas murid tersebut berkata beliau meminta kedua-dua pihak "saling memaafkan".
Pada 26 Julai, ibu tersebut berkata mereka sudah melengkapkan aduan bertulis terperinci dan menghantarnya ke sekolah serta guru-guru yang berkaitan. Beberapa jam kemudian, ibu pelajar tersebut mula menerima beberapa panggilan dari nombor yang tidak dikenali, yang bersifat mengganggu, katanya.
"Ugutan itu datang dari salah seorang budak lelaki yang dituduh membuli anak perempuan saya. Dalam pesanan teksnya dia berkata ini adalah balas dendam kerana saya menghubungi ibu kawannya untuk mengadu tentang anak perempuan saya yang dipukul," tulisnya dalam catatan tersebut.
Selepas menerima ugutan bunuh, keluarga tersebut membuat laporan polis, sedang panggilan telefon itu berterusan, kata ibu murid tersebut. Mereka juga membangkitkan masalah itu dengan MOE dan Anggota Parlimen mereka.
Polis mengesahkan kepada CNA bahawa laporan mengenai kejadian tersebut sudah dibuat.
Umur minimum bagi tanggungjawab jenayah di Singapura, iaitu usia minimum di mana seseorang boleh dipertanggungjawabkan atas tindakan jenayah mereka, adalah 10 tahun. Ini bermakna sesiapa yang berumur di bawah 10 tahun tidak boleh dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka, walaupun mereka melakukan kesalahan.
Tiga hari kemudian, murid yang mengeluarkan ugutan bunuh cuba menyerang anak perempuannya lagi di kawasan sekolah, katanya, sambil mendakwa bahawa pihak sekolah tidak tahu tentang kejadian itu.
Keluarga tersebut menghantar e-mel kepada pihak sekolah untuk menyuarakan kebimbangan mereka tentang tindak balas daripada pembuli budak perempuan itu, katanya.
Beliau kemudian diserang lagi tiga kali, katanya.
"Anak perempuan saya kini terlalu takut untuk kembali ke sekolah dan sudah empat hari berturut-turut tidak pergi sekolah. Dia kini menerima sokongan psikologi profesional," menurut catatan Facebooknya.
Dia menyeru MOE untuk membenarkan anak perempuannya bertukar sekolah, serta mengambil tindakan disiplin dan kaunseling yang sesuai terhadap murid-murid yang terlibat dalam kejadian buli dan ugutan bunuh itu.
Dalam catatan Facebook pada malam Sabtu, ibu budak yang dibuli itu memberi respons terhadap kenyataan sekolah yang diterbitkan oleh media Cina, Lianhe Zaobao.
Beliau berkata belum menerima sebarang jawapan bertulis atau rancangan kukuh mengenai keselamatan anak perempuannya sehingga 16 Ogos, dan terkejut bahawa pihak sekolah mendakwa anak perempuannya juga terlibat dalam tingkah laku yang menyakiti orang lain.
Beliau menggesa pihak sekolah agar memberikan bukti bagi menyokong dakwaan mereka. "Jika anak perempuan saya memang terlibat dalam tingkah laku salah, saya tidak akan menutupnya dan akan menyokong prosedur MOE secara sepenuhnya," tulis beliau.
Ibu tersebut berkata kenyataan sekolah tentang tingkah laku anak perempuannya "sangat menyakiti mangsa, mengalihkan perhatian awam, dan memindahkan kesalahan kepada anaknya".
CNA sudahpun menghubungi ibu tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.