Skip to main content

Singapura

3 Majlis Bandaran ini kurang cekap urus tunggakan S&CC

Anggaran Waktu Membaca:
3 Majlis Bandaran ini kurang cekap urus tunggakan S&CC

Gambar: CNA/Calvin Oh

Diterbitkan : 29 Jun 2022 11:59PM Dikemas Kini : 30 Jun 2022 12:00AM
SINGAPURA: Tiga Majlis Bandaran diberikan rating yang lebih rendah bagi pengurusan tunggakan Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) dalam laporan operasi terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada Rabu (29 Jun).

Ketiga-tiga Majlis Bandaran berkenaan adalah Majlis Bandaran Chua Chu Kang, Majlis Bandaran Jurong-Clementi dan Majlis Bandaran Sengkang.

Ketiga-tiga Majlis Bandaran itu menerima rating "kuning jingga" dalam kategori tersebut bagi Tahun Kewangan 2021 (FY2021).

Ketiga-tiga Majlis Bandaran itu disenaraikan "kuning jingga" kerana majlis-majlis bandaran tersebut mempunyai 40 peratus hingga kurang 60 peratus kutipan bayaran bulanan S&CC yang tertunggak ataupun jika isi rumah yang berhutang selama tiga bulan atau lebih adalah antara empat dan kurang enam daripada 100 isi rumah.

Lagi 14 Majlis Bandaran disenaraikan dalam kumpulan "Hijau" bagi FY2021.

Untuk disenaraikan dalam kumpulan "Hijau" bagi pengurusan tunggakan S&CC, tunggakan S&CC setiap bulan hendaklah kurang daripada 40 peratus dan kurang empat daripada 100 isi rumah, dengan tunggakannya haruslah tiga bulan atau lebih daripada itu.

Semasa menjawab pertanyaan Mediacorp, jurucakap Majlis Bandaran Chua Chu Kang berkata bahawa penyumbang utama mengapa tunggakan S&CC kekal 'meningkat' pada FY2021 adalah kesan ketinggalan akibat kelengahan pemilik rumah berpindah ke flat Bina Ikut Tempahan (BTO).

Jurucakap itu juga mengatakan bahawa pihak Majlis Bandaran akan membantu para penduduk mengelak daripada lewat membuat bayaran dengan menghantar surat peringatan bagi memaklumkan mereka tentang sebarang bayaran yang tertunggak.

Para pegawai Majlis Bandaran juga akan mendampingi para penduduk untuk menerangkan sebarang kemusykilan dan menawarkan bantuan termasuk pilihan untuk penduduk yang mengalami kesempitan wang untuk membuat bayaran secara ansuran, tambah jurucakap itu.

PRESTASI LEBIH BAIK BERBANDING TAHUN KEWANGAN LALU

Dalam kenyataan medianya, Kementerian Pembangunan Negara (MND) turut menarik perhatian bahawa prestasi Majlis Bandaran semakin bertambah baik berbanding FY2019.

Penilaian untuk Majlis Bandaran digantung bagi tempoh antara April 2020 dengan Mac 2021 disebabkan oleh perubahan pada Sempadan Kawasan Undi menyusuli Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020) pada Julai 2020 dan gangguan yang dihadapi semasa tempoh "pemutus rantaian jangkitan" pandemik COVID-19.

Kesemua Majlis Bandaran berjaya mencapai rating "Hijau" bagi tiga petunjuk lain dalam laporan pengurusan: Kebersihan estet, penyenggaraan estet dan prestasi lif.

Penilaian diberikan menggunakan tiga jalur warna, iaitu hijau, kuning jingga dan merah.

Pada Februari, MND menyatakan bahawa ia akan menerbitkan Laporan Pengurusan Majlis Bandaran seterusnya bagi FY2021 antara April 2021 hingga Mac 2022 melalui dua laporan.

Laporan pertama merangkumi prestasi majlis-majlis bandaran bagi petunjuk-petunjuk operasi (kebersihan estet, penyenggaraan estet, prestasi lif dan pengurusan tunggakan S&CC, yang dikeluarkan pada Rabu (29 Jun).

Satu lagi laporan akan mencerminkan prestasi majlis-majlis bandaran dari segi pematuhan kawal selia serta pelaporan kedudukan kewangan melalui petunjuk tadbir urus korporat.

Ia akan dikeluarkan pada hujung tahun selepas MND menerima dan menyemak penyata kewangan yang sudah diaudit dan laporan daripada juruaudit mereka.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita