Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 madrasah tempatan tubuh Pusat Kecemerlangan bagi tingkatkan mutu pengajaran sektor madrasah

Tiga buah madrasah tempatan kini mempunyai Pusat Kecemerlangan dan Kolaborasi (COEC) yang berfungsi untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran bagi seluruh sektor madrasah sepenuh masa di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tiga buah madrasah tempatan kini mempunyai Pusat Kecemerlangan dan Kolaborasi (COEC) yang berfungsi untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran bagi seluruh sektor madrasah sepenuh masa di Singapura.

Menerusi inisiatif baru yang diperkenalkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) itu, setiap madrasah membina keupayaan tukikan dalam sesuatu bidang yang kemudian dimanfaatkan madrasah-madrasah lain.

Demikian menurut MUIS dalam satu kenyataan media hari ini (15 September).

MADRASAH WAK TANJONG - PUSAT KECEMERLANGAN BAHASA & SASTERA MELAYU

Menjelaskan lebih lanjut, MUIS menyatakan Madrasah Wak Tanjong akan menjadi COEC dalam Bahasa dan Sastera Melayu untuk sektor madrasah.

Sejak enam bulan lalu, Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah sudahpun menganjurkan enam kegiatan berunsur pendidikan sastera dan bahasa Melayu bagi para pelajar yang menduduki PSLE, GCE 'O' dan 'A' serta untuk para guru juga.

Misalnya pada bulan Jun, ia menganjurkan Bengkel Kertas H1 Bahasa Melayu bagi para guru bahasa Melayu di madrasah-madrasah tempatan. Pada Julai pula ia menganjurkan Bengkel Lisan dan Penulisan Karangan Bahasa Melayu untuk para guru Darjah 6 di madrasah.

MADRASAH IRSYAD ZUHRI JADI COEC MATEMATIK & STEM

Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah pula misalnya memilih untuk COEC bagi matematik sekolah rendah selain bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Sejak Januari tahun ini, ia sudah menganjurkan lebih 10 bengkel dan sesi melibatkan para guru dari semua madrasah serta ibu bapa dan pelajar dengan bimbingan dari para pakar Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Contohnya pada bulan Mei ia menganjurkan bengkel 'Help your child to ace in PSLE Mathematics' (Bantu anak anda cemerlang dalam Matematik PSLE) untuk murid-murid Darjah 4 hingga Darjah 6.

Pada bulan Oktober ini pula, ia akan menganjurkan bengkel 'Teaching Towards Big Ideas in the Primary Mathematics Classroom' (Mendidik idea-idea besar dalam bilik darjah matematik sekolah rendah). Bengkel ini ditujukan kepada para guru matematik sekolah rendah di madrasah-madrasah.

MADRASAH AL-ARABIAH COEC BAGI GUNAAN iSTEM

Manakala Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah pula merancang untuk menjadi pusat kecemerlangan atau COEC bagi Pembelajaran Gunaan iSTEM dan ini dijangka bermula dalam suku ketiga dan keempat tahun ini.

Sebagai sebahagian daripada perjalanannya ke arah itu, Madrasah Al-Arabiah akan menjalankan Bengkel Kecelikan Penilaian Matematik pada 16 Sep. Pada Disember nanti pula, ia akan menganjurkan satu bengkel berhubung pembangunan aset berhubung pengajian Islam dan bahasa Arab.

MUIS menyatakan dengan pelaksanaan COEC, ini memastikan bahawa madrasah-madrasah tidak bergantung kepada kursus-kursus yang dijalankan oleh pihak luar bagi pembangunan para gurunya.

COEC tambahnya akan menjadi satu lagi sumber yang boleh dimanfaatkan sektor madrasah bagi pembangunan profesional para guru.

Timbalan Ketua Eksekutif MUIS Kadir Maideen berharap dengan penubuhan COEC, ia akan dapat menggalak madrasah-madrasah untuk bekerjasama dan menyokong satu sama lain menerusi kekuatan serta kepakaran masing-masing.

"Ini akan membantu sektor madrasah untuk terus maju bersama dan bergerak seiring perubahan pesat landskap pendidikan Singapura yang lebih luas," kata Encik Kadir.

$30,000 DIPERUNTUKKAN SETIAP TAHUN SETIAP MADRASAH

MUIS menyatakan ia akan memperuntukkan sekitar $30,000 kepada setiap madrasah yang menubuhkan pusat kecemerlangannya sendiri.

Bagi tahun pertama ini, sekitar $75,000 diperuntukkan kepada ketiga-tiga madrasah yang sudah memulakan program COEC.

"COEC merupkan suatu pendekatan yang sangat menarik dan berkesan kerana pertama, ia mencungkil masalah dan cabaran yang sama dihadapi oleh guru-guru bahasa Melayu terutama pada zaman dan masa kini di mana Bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa kedua bagi purata masyarakat Melayu Singapura.

"Kedua, setelah mencungkil masalah tersebut, COEC ibarat suatu perantara untuk guru-guru madrasah menyokong satu sama lain dengan memberikan buah fikir dan berkongsi teknik di bawah pantauan pakar dalam bidang Bahasa Melayu khususnya dan pendidikan amnya," komen Cikgu Siti Nurul 'Amira Sa'don dari Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah.

Respons yang diterimanya bagi program-program tersebut pada umumnya menggalakkan, menurut MUIS.

Ia kini menjangkakan lebih banyak madrasah akan tampil dalam tahun-tahun mendatang untuk menghasilkan projek-projek COEC yang lebih kreatif dan inovatif.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan