Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 madrasah bantu Madrasah Wak Tanjong yang akan duduki PSLE pertama sejak 2016

Dalam satu semangat gotong-royong sektor madrasah tempatan, tiga buah madrasah tampil untuk membantu persiapan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah (MWTI) yang akan menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pertamanya sejak 2016.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam satu semangat gotong-royong sektor madrasah tempatan, tiga buah madrasah tampil untuk membantu persiapan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah (MWTI) yang akan menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pertamanya sejak 2016.

Antara tahun 2017 hingga 2019, ia tidak menduduki sebarang PSLE.

Madrasah Wak Tanjong sebelum ini tidak dibenarkan mengambil pelajar Darjah 1 antara tahun 2012 hingga 2014 kerana gagal memenuhi ukur tara minimum yang ditetapkan Kementerian Pendidikan. Ia mula mengambil semula pelajar Darjah 1 pada 2015 dan kohort tersebut akan menduduki PSLE tahun ini.

Para pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah mencatat prestasi baik dalam Peperiksaan Peringkat 'A' tahun ini. (Gambar: Helmy Sa'at)

BAGAIMANA MADRASAH WAK TANJONG DIBANTU

Demi mempersiapkan MWTI untuk peperiksaan PSLE tahun ini, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini (28 Mei) menyatakan ia sudahpun menjalankan kolaborasi dengan madrasah-madrasah lain untuk berkongsi tentang kaedah pembelajaran serta amalan terbaik yang boleh dicontohi para guru MWTI.

Perkongsian tersebut antara lain termasuklah mengenai trend-trend PSLE, skema pemarkahan serta laporan subjek oleh SEAB.

Madrasah Alsagoff Al-Arabiah misalnya bersetuju untuk menyediakan sokongan IT bagi pentadbiran PSLE sepanjang tempoh peperiksaan tersebut.

Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah pula berkongsi sumber-sumber PSLE kepada MWTI, selain memberikan ceramah-ceramah motivasi bagi para pelajar dan ibu bapa.

Manakala Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah pula menawarkan sesi-sesi konsultasi dengan kakitangan MWTI untuk membimbing mereka tentang keperluan-keperluan logistik dan prasarana PSLE yang diperlukan.

Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah. (Gambar fail: BERITAMediacorp)

MWTI: YAKIN DENGAN PERSIAPAN DUDUKI PSLE

Mudirah MWTI, Ustazah Masnia Nassim berharap murid-murid Darjah 6 madrasah tersebut dapat mengharungi cabaran-cabaran persiapan untuk PSLE, di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Meski begitu, beliau yakin dengan persiapan madrasahnya.

"Selepas 3 tahun tidak mengambil PSLE, tahun ini merupakan tahun pertama Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah mempunyai pelajar yang akan menduduki peperiksaan PSLE.

"Sejak tiga tahun yang lalu, para guru kami secara berterusan melihat kepada perkembangan-perkembangan terkini. Kami juga bersyukur terhadap bantuan dan perkongsian yang disediakan oleh madrasah lain seperti Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah and Madrasah Alsagoff Al-Arabiah.

"Dengan sokongan yang diberikan itu bersama bantuan yang dihulurkan MUIS, MWTI yakin dengan persiapan PSLE pada tahun ini," kata beliau.

PAKEJ BANTUAN KOMPREHENSIF MWTI

Di bawah perjanjian Pakej Bantuan Komprehensif antara MUIS dan MWTI pada 2018, MUIS memperuntukkan dana sehingga $0.5 juta setiap tahun bagi memberikan sokongan tambahan kepada madrasah itu.

Anggota Lembaga Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah bersama Menteri Dr Yaacob, Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram semasa memeterai Pakej Bantuan Menyeluruh. (Gambar: BERITAMediacorp)

Bantuan tersebut meliputi pembangunan profesional bagi kakitangan madrasah, selain sumber-sumber pembelajaran seperti Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC).

MADRASAH SEDIA DIBUKA BAGI MURID DARJAH 6

Sementara itu MUIS serta madrasah-madrasah memberi jaminan bahawa persiapan peperiksaan bagi pelajar PSLE secara keseluruhannya sudah dipertingkat dan tidak terhenti.

Ini setelah madrasah-madrasah terpaksa melalui pelbagai gangguan dan perubahan akademik ekoran COVID-19.

Antara persiapan tersebut termasuklah tetap meneruskan dengan Pembelajaran di Rumah (HBL) bagi para pelajar Darjah 6 sepanjang cuti sekolah ini.

Pelajar Madrasah Irsyad Zuhri menerima keputusan PSLE 2019. (Gambar: BERITAmediacorp/Ira Musfirah)

MUIS menyatakan pelajar-pelajar Madrasah Irsyad Zuhri sudahpun kembali ke sekolah pada bulan ini.

Para pelajar rendah dari madrasah- madrasah lain pula akan kembali semula ke sekolah sewaktu Fasa Pertama penyambungan semula aktiviti selepas pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Berikut adalah jadual pembukaan semula sekolah bagi madrasah-madrasah tempatan untuk murid Darjah 6:

Madrasah Irsyad: Para pelajar Darjah 6 akan melaporkan diri pada 19 Mei 2020.

Madrasah Maarif: Para pelajar Darjah 6 akan melaporkan diri pada 2 Jun 2020.

Madrasah Alsagoff: Para pelajar Darjah 6 akan melaporkan diri pada 1 Jun 2020.

Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah: Para pelajar Darjah 6 akan melaporkan diri pada 2 Jun 2020.

JAWATANKUASA HBL DIBENTUK

Bagi memantau keberkesanan HBL sewaktu tempoh 'Circuit Breaker', MUIS menyatakan sebuah jawatankuasa bertindak untuk HBL sudahpun dibentuk.

Jawantakuasa bertindak yang dibentuk oleh MUIS itu merangkumi Ketua Jabatan serta pegawai penting daripada setiap madrasah bagi menilai kesan pembelajaran HBL terhadap para pelajar.

Sebagai sebahagian daripada proses itu, jawatankuasa bertindak itu mengenal pasti jurang-jurang dalam penyampaian pembelajaran menerusi kaedah baru itu, selain menyediakan sokongan kepada para guru dan pelajar.

Dalam pada itu, MUIS juga berkerjasama dengan pihak Penguasa Pembangunan Media Infokomunikasi (IMDA) bagi menyediakan sokongan kepada para pelajar dari keluarga berpendapatan rendah mendapatkan komputer riba untuk HBL.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan